Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah Sumber: http://hafizfirdaus.com/ Apabila disebut tentang Syi‘ah, maka umat Islam terbahagi kepada dua kubu. Kubu yang pertama menganggap ia hal kecil yang sengaja dibesar-besarkan oleh pihak musuh bagi memecah-belahkan umat Islam. Bagi kubu ini tidak ada “Sunni” dan tidak ada “Syi‘ah”, sebaliknya yang ada hanyalah Muslim. Kubu yang kedua pula menganggap ia hal besar lagi penting. Mereka mengkafirkan golongan Syi‘ah dan menghalalkan darah mereka. Justeru menghukum murtad dan membunuh golongan Syi‘ah dianggap sebagai salah satu perintah agama oleh kubu ini. [1] Kertas kerja ini saya tulis untuk daurah (kursus) Ta’lim Sunnah (Siri 2) yang dianjurkan oleh Intis Consultant & Training, bertempat di Surah al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur, pada 20 September 2008. Juga Edisi PDF Disini Di antara dua kubu yang ekstrim ini terletak golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, golongan yang sememangnya dalam kebanyakan urusan berada di pertengahan antara mereka yang cuai (kubu pertama) dan mereka yang melampaui batas (kubu kedua). Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menilai Syi‘ah secara adil dan mendudukkan mereka berdasarkan timbangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Apabila dikatakan “bahaya” Syi‘ah kepada umat Islam, bahaya tersebut bukanlah dari sudut ketenteraan, ekonomi, teknologi, ilmu dan sebagainya. Akan tetapi bahaya tersebut ialah dari sudut aqidah Syi‘ah berbanding Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.[2] Justeru apabila membicarakan bahaya Syi‘ah kepada umat Islam, aspek yang akan disentuh ialah dari sudut aqidah. Atas dasar keadilan, kajian dan pengamatan saya mendapati aqidah Syi‘ah boleh dibahagikan kepada dua kategori: Pertama: Aqidah yang disenyapkan. Ia merupakan beberapa dasar kepercayaan yang pernah disebut dalam sumber-sumber Syi‘ah akan tetapi tidak lagi disebut pada masa kini. Ada pun sebab mengapa ia tidak disebut: 1. Kepercayaan tersebut bukan merupakan dasar yang disepakati di kalangan tokoh-tokoh Syi‘ah, khasnya di kalangan Syi‘ah Itsna Asyariyah. 2. Kepercayaan tersebut merupakan pegangan serpihan-serpihan yang ekstrim di kalangan Syi‘ah. Ia tidak mewakili pegangan aliran utama Syi‘ah. 3. Kepercayaan tersebut merupakan amalan masyarakat Syi‘ah secara adat tradisi, ia bukan berdasarkan hujah atau pandangan para tokoh Syi‘ah. Tiga sebab di atas tidak khusus berlaku kepada kalangan Syi‘ah tetapi dialami juga dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Justeru di kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sendiri terdapat kepercayaan yang tidak disepakati, kepercayaan yang merupakan pegangan serpihan-serpihan ekstrim dan kepercayaan masyarakat yang diperbetulkan oleh para tokoh dan ilmuan. Ada pun ciri-ciri aqidah atau kepercayaan Syi‘ah yang duduk dalam kategori ini, ia adalah seperti berikut: 1. Tahrif al-Qur’an. Iaitu kepercayaan oleh sebahagian orang Syi‘ah bahawa al-Qur’an yang tulen adalah apa yang asalnya dalam penjagaan Fathimah radhiallahu 'anha, anak Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (Mushaf Fathimah) manakala al-Qur’an yang ada sekarang ini sudah diubahsuai dengan dibuang ayat-ayat berkenaan kepimpinan Ahl al-Bait. Ada juga dakwaan bahawa para tokoh Syi‘ah memiliki wewenang untuk mengubah kandungan al-Qur’an. Perkara ini dinafikan oleh para tokoh Syi‘ah kontemporer.[3] Malah mereka membuktikannya dengan menggunakan seluruh sumber Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah daripada al-Qur’an sehinggalah kepada sumber hadis dan sejarah. 2. al-Bada’ yang bermaksud mengetahui tentang sesuatu yang sebelumnya tidak diketahui. Dikatakan, Tuhan bersifat al-Bada’ sehingga Dia mungkin menetapkan sesuatu lalu kemudian menukar ketetapan itu. Di kalangan tokoh Syi‘ah ada yang menetapkan keyakinan ini dan ada yang menafikannya.[4] 3. Raj‘ah yang bermaksud kembali, iaitu orang yang mati akan kembali hidup di dunia ini (sebelum Hari Kiamat). Setepatnya, apabila Imam Mahdi muncul satu hari nanti, sekumpulan pengikutnya yang telah mati akan hidup semula berjuang bersama Imam Mahdi.[5] 4. Taqiyyah, iaitu berpura-pura. Sikap ini ditekankan oleh para tokoh Syi‘ah satu masa lalu sebagai strategi menghadapi kezaliman orang yang membenci mereka. Kini ia jarang-jarang diamalkan oleh Syi‘ah kontemporer. Mereka tidak segan-segan atau tidak berpura-pura dengan keyakinan mereka, sebaliknya terus mengemukakannya dan mendakwahkannya kepada orang ramai.[6] 5. Jelmaan Tuhan. Terdapat serpihan daripada orang Syi‘ah, yang disebut sebagai al-Qaramitah yang berkeyakinan Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh ialah jelmaan Allah di muka bumi. Terdapat juga aliran al-Khaththabiyah yang berkeyakinan Ja’far al-Sadiq rahimahullah ialah jelmaan Allah di muka bumi. Keyakinan kedua-dua aliran ekstrim ini tidak mewakili aliran utama Syi‘ah dan ia telah pupus masa kini. 6. Jibrail Tersilap. Ada juga serpihan yang mempercayai malaikat Jibrail ‘alaihi as-Salam tersilap dalam membawa wahyu pertama yang mengangkat seseorang menjadi Rasul. Ia sepatutnya dibawa kepada Ali bin Abi Thalib, namun tersilap kepada Muhammad bin Abdillah. Serpihan yang dikenali sebagai al-Ghurabiyah kini telah pupus juga.[7] Dalam rangka berdakwah dan membetulkan aliran Syi‘ah, saya berpandangan enam keyakinan di atas tidak perlu diberi perhatian kerana orang-orang Syi‘ah itu sendiri tidak lagi mempercayainya dan mereka tidak menjadikannya sebagai dasar aqidah. Sebaliknya berilah perhatian kepada keyakinan yang membentuk dasar aqidah mereka sekarang ini, sepertimana yang akan dijelaskan seterusnya. Kedua: Aqidah yang ditonjolkan. Ia merupakan aqidah Syi‘ah sejak zaman awal dan dipertahankan sehingga kini. Aqidah inilah yang akan diberi fokus utama dalam kertas kerja ini. Pertama: Aqidah al-Takfir.[8] Iaitu keyakinan bahawa majoriti para sahabat dan umat Islam telah kafir kerana tidak menyakini konsep al-Imamah yang dibawa oleh Syi‘ah. Syi‘ah mendakwa kekhalifahan Ahl al-Bait telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Muhammad Husain Kasyif al-Ghita menjelaskan: Yang dimaksudkan oleh mereka (Syi‘ah) dengan al-Imamah adalah satu jabatan Ilahi. Allah yang memilih berdasarkan pengetahuan-Nya yang azali menyangkut hamba-hamba-Nya, sebagaimana Dia memilih seorang Nabi. Dia memerintahkan kepada Nabi untuk menunjukkan kepada umat dan memerintahkan mereka mengikutinya. Mereka (Syi‘ah) percaya bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memerintahkan Nabi-Nya (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) untuk menunjukkan dengan tegas Ali radhiallahu 'anh dan menjadikannya tonggak pemandu bagi manusia sesudah baginda.[9] Sebelum itu Muhammad Ridha al-Mudzaffar menegaskan: Kami (Syi‘ah) percaya bahawa al-Imamah, seperti kenabian, tidak dapat wujud kecuali dengan nas dari Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui lisan Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam atau lisan Imam rahimahullah yang diangkat dengan nas apabila dia akan menyampaikan dengan nas imam yang bertugas sesudahnya. Hukum (sifatnya) ketika itu sama dengan kenabian tanpa perbezaan. Oleh kerana itu manusia tidak memiliki wewenang menyangkut siapa yang ditetapkan Allah sebagai pemberi petunjuk dan pembimbing bagi seluruh manusia, sebagaimana mereka (manusia) tidak mempunyai hak untuk menetapkan, mencalonkan atau memilihnya.[10] Maka sesiapa yang menolaknya, bererti dia menolak al-Qur’an dan al-Sunnah. Di sinilah jatuhnya hukum kafir. Malah Syi‘ah menganggap jabatan al-Imamah seumpama jabatan kenabian (al-Nubuwah) sehingga orang yang menolaknya seumpama orang yang menolak kenabian. Seorang tokoh Syi‘ah bernama Nashiruddin al-Thusi dalam bukunya Talkish al-Syafy berkata: Menolak imamah adalah kufur sebagaimana menolak kenabian adalah kufur. Ini kerana kejahilan berkenaan kedua-duanya adalah dalam batas yang sama. Logika imamah adalah logika kenabian dan tujuan kemestian adanya kenabian merupakan tujuan yang sama dari kemestian adanya imamah. Saat terpancarnya kenabian, saat itu juga merupakan saat terpancarnya imamah. Demikianlah, dakwah bersinambungan dengan dua lisan, lisan kenabian dan lisan imamah dalam satu garisan yang sama. al-Imamah memiliki keistimewaan atas kenabian kerana ia berlanjut setelah terhentinya kenabian.[11] Beberapa tokoh Syi‘ah kontemporer ada yang cuba mensederhanakan dasar aqidah di atas. Mereka, seumpama Muhammad Husain Kasyif al-Ghita, menyatakan bahawa orang yang berpegang dengan aqidah al-Imamah ialah seorang mukmin yang khusus manakala orang yang tidak berpegang dengannya ialah seorang muslim dan mukmin yang umum.[12] Pensederhanaan ini amat diragui kerana merupakan satu perkara yang tidak diperselisihkan bahawa dasar Syi‘ah yang paling utama lagi muktamad ialah aqidah al-Imamah. Mencairkan al-Imamah bererti mencairkan Syi‘ah dan ini sudah tentu tidak akan dilakukan oleh mana-mana tokoh Syi‘ah yang tulen. Usaha pensederhanaan juga cuba dilakukan oleh Syi‘ah berkenaan sikap mereka terhadap para sahabat radhiallahu 'anhum. Jika pada masa lalu para tokoh Syi‘ah menghukum seluruh para sahabat sebagai kafir, fasiq dan memiliki kepentingan tersendiri kerana tidak melantik Ahl al-Bait sebagai khalifah atau Imam, kini mereka membahagikan para sahabat kepada tiga kategori: · Pertama: Mereka yang menyokong atau bersimpati terhadap Ahl al-Bait. · Kedua: Mereka yang menentang dan menzalimi Ahl al-Bait, seperti Abu Bakar (kerana kes warisan tanah Fadak), A’isyah, Thalhah, Zubair (kerana Perang Jamal), Muawiyah (kerana Perang Siffin), Abu Hurairah (kerana tidak meriwayatkan hadis berkenaan Ahl al-Bait) dan segelintir yang lain. · Ketiga: Mereka yang bersikap neutral, tidak membela mahupun menyokong Ahl al-Bait kerana tidak mengetahui wujudnya nas-nas yang (didakwa) telah menetapkan sifat Imam bagi Ahl al-Bait. Kategori ketiga ini mewakili majoriti para sahabat. Berdasar tiga kategori ini, Syi‘ah mutakhir berkata mereka hanya mencela dan menghukum para sahabat yang berada dalam kategori kedua. Sekali lagi, pensederhanaan ini tidak diterima oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Ini kerana jika dikaji secara mendalam, jujur dan adil terhadap tindak-tanduk para sahabat yang diletakkan dalam kategori kedua, nescaya akan ditemui penjelasan yang jernih lagi adil. Bahkan jika Ahl al-Bait disertakan dalam kajian tersebut, nescaya didapati – sedikit atau banyak, secara langsung atau tidak langsung – kesalahan juga berada di atas bahu Ahl al-Bait. Maka atas dasar inilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menahan diri daripada membicarakan sejarah para sahabat. Ia bukan sekadar membela para sahabat secara umum, tetapi juga membela Ahl al-Bait secara khusus. Aqidah al-Takfir inilah merupakan pemisah utama antara Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan Syi‘ah. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menyayangi dan menghormati para sahabat radhiallahu 'anhum dan meletakkan sikap sayang dan hormat ini sebagai salah satu dasar aqidah. Ini kerana: * Para sahabatlah yang telah mengorbankan jiwa, harta dan keluarga mereka untuk berjuang bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga Islam tegak di mukabumi ini. * Para sahabat jugalah yang telah mengorbankan keselesaan hidup dan janji syurga untuk keluar dari Kota Madinah selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam demi menyampaikan Islam kepada orang lain sehinggalah ia sampai ke dada kita sekarang ini. Tanpa para sahabat, kita semua entah masih menyembah manusia, patung, pokok dan sungai.[13] Justeru adalah mustahil untuk dianggap para sahabat adalah seorang yang berpura-pura dalam beragama (munafiq), rosak agamanya (fasiq) dan memiliki agenda kepentingan diri sendiri. Maka atas dasar ini, sesiapa di kalangan umat Islam yang mengikuti aliran Syi‘ah atau paling kurang, bersimpati terhadap Syi‘ah, bererti dia mengabaikan keseluruhan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum. Padahal dirinya sendiri, jika diminta satu pengorbanan yang amat kecil sekalipun demi agama dan umat, nescaya akan keberatan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Tidak sekadar itu, ia bererti dia mengabaikan sekian banyak ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mempersaksikan pengorbanan dan jasa para sahabat.[14] Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, nilai agama, kejujuran dan pengorbanan para sahabat disebut sebagai ciri adil. Terhadap ciri adil ini, al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah menyatakan:[15] Ini kerana keadilan sahabat telah sabit dan maklum dengan pengiktirafan Allah terhadap mereka dan perkhabaran-Nya tentang kesucian mereka dan pemilihan-Nya akan mereka di dalam nas-nas al-Qur’an… Semua ini menunjukkan tentang kesucian para sahabat dan kepastian di atas keadilan dan kemurnian mereka. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri yang mengetahui akan hakikat sahabat, telah menyatakan keadilan mereka. Maka para sahabat tidak memerlukan lagi seseorang lain bagi menyatakan keadilan mereka. Mereka kekal dengan status yang demikian kecuali adanya seseorang yang berniat jahat yang sengaja mengeluarkan mereka daripada kedudukan ini dengan menggugurkan keadilan mereka, padahal Allah Taala telah membebaskan mereka daripada tuduhan ini. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengangkat kedudukan mereka di sisi-Nya. Sehinggakan sekiranya Allah ‘Azza wa Jalla dan Rasul-Nya tidak menyebut akan kelebihan mereka, memadailah hal ini dengan keadaan mereka dalam berhijrah, berjihad dan mengorbankan diri dan harta mereka. Malah mereka sanggup membunuh anak-anak serta bapa-bapa mereka demi mempertahankan agama Allah. Sifat memberi nasihat untuk agama serta kekuatan iman dan yakin mereka yang menjadi bukti akan keadilan mereka. Justeru itu adalah menjadi kewajipan kepada kita ber’tikad akan kemurnian atau kesucian mereka dan bahawasanya mereka itu lebih baik dari semua orang yang dikatakan adil dan yang dikatakan murni (atau suci) yang datang selepas mereka untuk selama-lamanya. Seterusnya, sesiapa di kalangan umat Islam yang mengikuti aliran Syi‘ah, bererti dia mengikuti juga aqidah al-Takfir.[16] Padahal aqidah seperti ini amat merbahaya berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلاً بِالْفُسُوقِ وَلاَ يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ. Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak demikian.[17] إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لأَخِيهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ بِهِ أَحَدُهُمَا. Apabila seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai Kafir!”, maka hal ini akan kembali kepada salah seorang daripada kedua-duanya.[18] Akhir sekali, sesiapa yang bersimpati terhadap Syi‘ah, maka dia merelakan dirinya dihukum kafir oleh Syi‘ah. Padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang sikap sedemikian: وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. [al-Baqarah 2:195] Kedua: Aqidah al-Quburiyyun. Iaitu menjadi kubur sebagai pusat aktiviti ibadah dengan keyakinan ia memiliki beberapa keistimewaan dan kemujaraban. Sebenarnya amalan keyakinan seperti ini sangat masyhur dalam agama-agama lain kecuali Islam. Terhadap kubur, Islam melarang menjadikannya sebagai pusat aktiviti kecuali sekadar solat jenazah dan mendoakan jenazah kerana dua yang terakhir ini memiliki dalil daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun selain itu, maka ia dilarang oleh hadis-hadis yang bersifat mutawatir[19], dua di antaranya: وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ أَلاَ فَلاَ تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ. Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah menjadikan kubur para nabi mereka dan orang-orang shalih mereka sebagai masjid. Ingatlah! Jangan menjadikan kubur sebagai masjid. Sesunguhnya aku melarangkan kalian dari melakukan sedemikian.[20] وَاعْلَمُوا أَنَّ شِرَارَ النَّاسِ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْقُبُورَ مَسَاجِدَ. Ketahuilah bahawa seburuk-buruk manusia adalah mereka yang menjadikan kubur sebagai masjid.[21] Larangan menjadikan kubur sebagai masjid memiliki dua maksud: 1. Membina masjid atas kawasan kubur. 2. Melaksanakan ibadah atas kawasan kubur melainkan solat jenazah dan doa kepada jenazah. Ini kerana apabila dikatakan “masjid”, ia tidak semestinya bererti binaan seperti yang kita semua kenal hari ini, tetapi meluas kepada apa jua tanah dan kawasan lapang di muka bumi ini. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي: ... وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ طَيِّبَةً طَهُورًا وَمَسْجِدًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ صَلَّى حَيْثُ كَانَ. Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorangpun sebelum aku (salah satu daripadanya ialah)..dan dijadikan untukku bumi bersih suci dan sebagai tempat ibadah (masjid), maka bila-bila saja seseorang itu menemui waktu solat, dia boleh bersolat di mana jua.[22] Justeru seluruh bumi ini ialah tempat beribadah untuk umat Islam kecuali kawasan perkuburan.[23] Kemutlakan hadis “seluruh muka bumi adalah masjid” dibatasi oleh hadis-hadis yang melarang menjadikan kubur sebagai masjid. Oleh itu, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak melaksanakan apa-apa ibadah di kawasan perkuburan seperti solat, iktikaf, membaca al-Qur’an, berzikir dan berdoa kecuali apa yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu solat jenazah dan doa kepada jenazah. Berbeza dengan Syi‘ah, mereka menganggap kawasan perkuburan, khasnya perkuburan para imam dan tokoh mereka, adalah kawasan yang memiliki keberkatan yang patut dimuliakan. Dengan itu, mereka juga menjadikan ia tempat beribadah. Ja’far Subhani, tokoh Syi‘ah kontemporer yang banyak menulis, berkata: Dengan mengikut petunjuk dari prinsip-prinsip agama Islam, bangunan masjid yang berada di sekitar kuburan orang suci (para imam) dan para wali tidak memiliki masalah sedikitpun. Ini disebabkan oleh tujuan bangunan masjid yang tidak lebih dari beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala berdekatan dengan kuburan para kekasih-Nya, yang menjadi sumber keberkatan. Dengan kata lain, maksud dari pembangunan masjid pada tempat yang sedemikian adalah supaya para penziarah yang mengunjungi para pemimpin suci sebelum atau sesudah ziarah, dapat melaksanakan ibadah mereka di sana (di masjid itu). Ini kerana ziarah ke kubur mahupun mendirikan solat (di masjid yang lokasinya di kubur) tidaklah haram, sebelum atau sesudah ziarah. Oleh kerana itu tidak ada alasan untuk mempercayai bahawa membangun masjid yang bersebelahan dengan kuburan orang-orang suci yang bertujuan menyembah Allah Subhanahu wa Ta'ala dan melakukan amal ibadah adalah dilarang.[24] Bahkan Ja’far Subhani berpendapat adalah sunat (mustahab) untuk membuat binaan di atas kubur agar orang ramai dapat beribadah di dalamnya. Dia menulis: Ketika mengubahsuai makam menjadi sumber perlindungan ketulenan Islam, atau sumber membuktikan kecintaan kepada pemilik kubur yang Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mewajibkan kecintaan kepada mereka, atau sumber perlindungan terhadap syiar-syiar Islam, atau menjadi sebab bagi para penziarah untuk membaca al-Qur’an dan berdoa di bawah naungan bangunan yang berada di atas kuburan, maka pastinya manfaat-manfaat tersebut bukan sekadar menghilangkan unsur makruh (membuat binaan atas kubur) tetapi menjadikannya sunat (mustahab).[25] Bagi Ja’far Subhani, janganlah di pandang kepada faktor perkuburan tetapi pandanglah kepada faktor manfaat membuat binaan atas kuburan: …perbahasan kita bukanlah mengenai kuburan itu sendiri tetapi hal-ehwal mendirikan bangunan-bangunan dan kubah-kubah yang berada atas kuburan yang dengan itu orang dapat memasukinya sambil membaca al-Qur’an, berdoa dan solat.[26] Ada pun hadis-hadis yang melarang menjadikan kawasan kubur sebagai masjid, Ja’far Subhani dalam bukunya yang sama menakwilkannya sebagai larangan daripada beribadah kepada ahli kubur, seperti solat menghadap kubur (dan bukan kiblat) serta menyembah ahli kubur. Hujah-hujah Syi‘ah secara umum dan Ja’far Subhani secara khusus dapat ditolak semudah berikut: 1. Apakah dalil yang mengatakan kawasan perkuburan memiliki keberkatan? Ini kerana keberkatan hanya merupakan milik Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hanya Allah yang berhak menentukan sesuatu tempat sebagai memiliki Barakah atau tidak. Jika manusia sewenang-wenangnya berkata “tempat itu dan ini memiliki keberkatan”, dia telah meletakkan dirinya sejajarnya dengan kedudukan Allah. Tentu saja ini adalah tindakan dan keyakinan yang merosakkan tauhidnya.[27] 2. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang menjadikan kawasan perkuburan sebagai masjid, baginda tidak menjelaskan sebab yang boleh mengecualikan larangan itu. Maka membuat sebab (‘illat) bahawa larangan itu hanya untuk kes sekian-sekian adalah tindakan “mendahului Allah dan Rasul-Nya” yang dilarang oleh Islam: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului (melakukan sesuatu ketetapan atau perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Hujurat 49:01] 3. Bumi ini amat luas untuk seseorang itu beribadah dan mendirikan masjid. Lalu mengapakah hendak dipilih lokasi perkuburan untuk beribadah dan mendirikan masjid? Sebabnya tidak lain ialah mengharapkan pengaruh dari ahli kubur dengan keyakinan mereka (ahli kubur) dapat menghampirkan ahli ibadah kepada Allah, meningkatkan kualiti ibadah dan membantu memujarabkan doa. Keyakinan ini tidak berbeza dengan keyakinan kaum musyrik pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلاَّ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى. Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (mereka berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. [al-Zumar 39:02] Demikian dua aqidah Syi‘ah yang sering mereka tonjolkan, yang sebenarnya amat merbahaya kepada umat Islam secara umum dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah secara khusus. Bahkan ia merbahaya kepada orang Syi‘ah itu sendiri, seandainya mereka mahu meneliti persoalan ini dengan lebih cermat. PENDEKATAN ANTARA SYI‘AH DAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA'AH. Akhir-akhir ini banyak yang diperkatakan tentang usaha pendekatan antara Syi‘ah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Lalu apakah sikap kita, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, terhadap usaha ini?[28] Saya berkata, usaha ini dialu-alukan dengan syarat persetujuan utama yang dicapai adalah: 1. Syi‘ah memberhentikan celaan mereka kepada semua para sahabat radhiallahu 'anhum. 2. Syi‘ah berhenti daripada memperalatkan sekian-sekian ayat dan hadis sebagai kononnya telah menetapkan Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum sebagai Imam (al-Imamah) bagi umat Islam. 3. Syi‘ah berhenti daripada menyebarkan kisah-kisah sejarah yang palsu berkenaan kezaliman dan kejahilan tiga khalifah yang pertama: Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Khaththab dan ‘Usman ibn ‘Affan radhiallahu 'anhum. 4. Para tokoh Syi‘ah memastikan ketiga-tiga syarat di atas dilaksanakan oleh semua pengikut Syi‘ah, daripada khatib kepada penceramah, daripada penulis buku kepada penulis blog. Syarat yang saya letak di atas bukanlah berat sebelah, tetapi ia bagi mengukur sama ada Syi‘ah benar-benar merupakan pembela Ahl al-Bait atau tidak. Bahkan secara lebih luas, ia sebagai pengukur sama ada Syi‘ah benar-benar menginginkan pendekatan dan pendamaian bersama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah atau tidak. Ini kerana jika dikaji pelbagai sumber yang sahih, tidak akan ditemui seorang jua Ahl al-Bait mencela para sahabat, mendakwa sekian-sekian ayat dan hadis sebagai telah melantik mereka menjadi Imam dan memfitnah tiga khalifah yang pertama. Kata-kata Syaikh Sa’id Ramadhan al-Buthi Ghazali rahimahullah berikut ini menjadi sumber renungan kita, baik Syi‘ah mahupun Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah: Kita semua mengetahui bahawa sesuatu yang paling menonjol, paling penting, sekaligus paling jelas menyangkut buah cinta adalah keteladanan kepada siapa yang dicintai. (Bak kata pepatah): “Sesungguhnya yang mencintai patuh kepada siapa yang dicintainya”.[29] Saya selalu melihat kepada hakikat yang pasti ini, saya menuntun diri saya dan setiap muslim untuk melakukannya, apapun mazhab atau ragam keterikatannya. Saya tidak menemui seorang muslim yang bersikap jujur kepada Allah kecuali dia meneladani Ahl al-Bait dalam tingkah-laku dan perasaannya. Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, seandainya ‘Ali karramahullahu wajhu[30] mengambil satu sikap yang jelas berbeza pada hari Saqifah[31], atau mengambil sikap demikian pada waktu penunjukkan ‘Umar sebagai khalifah oleh Abu Bakar, atau pada majlis syura yang atasnya ‘Utsman dibai‘ah, seandainya yang demikian itu terjadi, maka pastilah kita meninggalkan semua cara dan jalan, lalu kita mengikuti jalan yang ditempuh oleh ‘Ali. Akan tetapi kami telah mengamati dan kami mendapati bahawa imam yang mulia itu (‘Ali) bersama-sama dalam fikiran dan tingkah-laku di atas kalimat yang menyatu-padukan umat, bersama-sama di atas jalan yang ditempuh oleh masyarakat umum. Oleh kerana itu mestilah cinta (yang sejati akan) menghantar kita kepada meneladani beliau dan menempuh jalan yang beliau telusuri.[32] Dalam analisa ini, saya tidak memiliki sikap yang lain daripada perkataan saya di atas. Cukuplah bagi saya menemui ‘Ali yang telah berada pada jalur itu dan saya mengikutinya. Saya adalah seorang muslim. Tidak perlu saya melakukan analisa atau tertanya-tanya. Saya tidak memiliki kepentingan untuk melemahkan Hadis al-Ghadir (yang bermaksud “Sesiapa yang aku adalah mawlanya, maka Ali adalah mawlanya”), tidak juga mentakwilkannya atau menjauh dari lafaznya. Saya tidak memerlukan semua itu kerana saya telah menjadikan ‘Ali panutan saya dalam memahami hadis tersebut, bahkan dalam menafsirkan semua persoalan.[33] Bukti dari apa yang saya katakan ini, bukti keteladanan yang saya rasakan kewajipannya itu, adalah saya merasakan iman saya berkurang – bahkan terumbang-ambing lagi bergoncang – bila keteladanan kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak dipenuhi. Majoriti kaum muslimin berpendapat bahawa Hadis al-Ghadir dan apa yang difahami dan dikesan olehnya hanya berkaitan dengan peribadi ‘Ali, tidak selain beliau. Kaum muslimin dipersilakan untuk bersepakat memilih siapa yang mereka kehendaki (untuk menjadi khalifah). Adapun saudara-saudara kami dari Syi‘ah, mereka memahami Hadis al-Ghadir sebagai menunjuk kepada jawatan imam bagi ‘Ali dan berlanjutan – masih menurut hadis itu – kepada keluarga beliau sehingga ghaibnya imam ke-12. Masa kini, betapapun pentingnya perbezaan pendapat itu, namun persoalannya telah berlalu, telah tertutup. Ia telah menjadi sebahagian dari sejarah masa lampau. Masa kini, di mana kita berada dalam zaman ghaibnya imam ke-12 yang dinanti-nantikan oleh saudara-saudara kita dari kalangan Syi‘ah, saya menyatakan dengan sesungguhnya, saya menyatakan atas nama diri saya sendiri dan nama setiap muslim, bahawa: Jika tiba masanya kehadiran imam yang ghaib itu, ketika beliau benar-benar datang – tidak ada keraguan menyangkut kehadirannya, tidak ada kabut atau kerancuan menyangkut keperibadiannya – jika tiba masa itu, maka saudara-saudara semua akan mendapati kaum muslimin menganut satu mazhab sahaja. Mereka semua akan mempersembahkan kesetiaan kepada imam itu dan berbai‘ah kepadanya.[34] Hal ini jika kita memandang ke masa depan. Jika kita memandang ke masa lampau, ke belakang, maka saya memandang kepada ‘Ali di mana setiap orang dari ketiga-tiga khalifah sebelumnya menjadikan beliau sebagai penasihat, bahkan sebagai amir yang tidak bermahkota. Saya menemui Abu Bakar radhiallahu 'anh yang bermaksud untuk berangkat memerangi kaum yang murtad. Lalu ‘Ali datang kepada beliau sambil memegang tali pacuan kudanya, dan berkata: “Aku sampaikan kepadamu wahai khalifah Rasulullah apa yang disampaikan pada hari peperangan Uhud – Jangan hunus pedang kamu (pergi berperang) dan bahagiakanlah kami dengan (kehadiranmu bersama-sama kami) kerana Demi Allah, seandainya kaum muslimin mendapat cubaan melalui dirimu (yakni gugurnya Abu Bakar di medan perang), maka kaum muslimin tidak akan tegak lagi sesudah pemergianmu itu.” Mendengar nasihat ‘Ali itu, Abu Bakar membatalkan niatnya untuk berangkat dan melantik orang lain bagi memimpin pasukan (memerangi kaum murtad). Saya memandang ‘Ali dan saya memandang Abu Bakar, ketika beliau meminta pandangan ‘Ali berkenaan ekspedisi ketenteraan ke Rom, lalu ‘Ali menjawab: “Saya merasakan anda (wahai Abu Bakar) adalah seorang yang diberkati, ditinggikan dan dimenangkan urusannya insya-Allah.” Maka Abu Bakar merasa tenang, lalu mengikuti saranan ‘Ali dengan mempersiapkan pasukan ekspedisi itu. Lihatlah juga pada masa pemerintahan ‘Umar radhiallahu 'anh. Bagaimana beliau meminta nasihat ‘Ali berkenaan dirinya memimpin pasukan ke Parsi. ‘Ali menasihatkan agar ‘Umar jangan meninggalkan pusat pemerintahan (Kota Madinah), bimbang jangan sampai musuh dalam negeri membuat kekacauan. Saya juga menemui nasihat-nasihat ‘Ali kepada ‘Utsman radhiallahu 'anh, ketika para pemberontak mengepung beliau, nasihat yang mustahil lahir kecuali dari hati yang ikhlas dan cinta. Saya juga menemui beliau menyuruh kedua-dua buah matanya – Hasan dan Husain radhiallahu 'anhuma – untuk menjaga ‘Utsman dari ancaman apapun yang mungkin menimpanya. Ketika saya menemui semua sikap di atas pada ‘Ali, maka bagaimana saya hendak menyatakan cinta saya kepada beliau? Saya tidak dapat menyatakan cinta itu kecuali dengan mengikuti langkah-langkah beliau, kecuali dengan berjalan pada jalan yang beliau telusuri. Demi Allah! Sekali lagi saya ucapkan, seandainya ‘Ali karramallahu wajhu mengambil satu sikap yang jelas dan mandiri pada satu masa dari masa-masa kehidupannya, maka pastilah kita meninggalkan semua sikap dan bergabung sikap beliau itu.[35] ALIRAN SYI‘AH SEMAKIN MELUAS? Tidak perlu disembunyikan lagi bahawa aliran Syi‘ah semakin meluas, semakin mendapat tempat di hati umat Islam. Bagaimana cara kita membendung peluasan ini? Atau lebih tepat, bagaimana kita membela maruah para sahabat, yang dengan jerih payah mereka iman telah sampai ke Malaysia dan memasuki hati kita ini? Caranya ialah dengan mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan peluasan itu dan cuba membetulkannya dari situ. 1. Kejahilan umat Islam terhadap aliran Syi‘ah. Mereka menganggap Syi‘ah adalah salah satu dari mazhab Islam seumpama Mazhab al-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hambali. Maka perlu diterangkan bahawa Syi‘ah ialah satu aliran yang menyangkut dasar-dasar agama manakala mazhab yang empat hanyalah berkaitan hukum fiqh, di mana dasar-dasar agama bagi keempat-empat mazhab tersebut adalah tetap sama. 2. Sikap manusia apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru. Apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru, manusia terbahagi kepada tiga sikap. Pertama ialah mereka yang terus menolaknya, menutup pintu hati serta fikiran mereka darinya. Kedua ialah mereka yang terus menerimanya, membuka seluas-luas hati serta fikiran mereka kepadanya. Ketiga ialah mereka yang menganalisa perkara yang baru itu sama ada ia bertepatan dan al-Qur’an, al-Sunnah dan ilmu yang sahih. Jika bertepatan ia diterima, jika bertentangan ia ditolak. Sikap pertama dan kedua adalah tercela manakala sikap yang ketiga adalah terpuji. Kebanyakan yang terikut dengan aliran Syi‘ah terdiri dari mereka yang memiliki sikap kedua. 3. Kelekaan pihak berwajib. Fokus pihak berwajib kelihatan hanya tertumpu kepada membasmi aliran yang mereka sebut-sebut sebagai “Wahhabi”. Ada pun aliran lain yang jelas menyeleweng seperti Syi‘ah, Anti-Hadis, Islam Liberal dan sebagainya, ia dibiarkan sahaja atau hanya diberi fokus yang minimum. Di sini pihak berwajib perlu menyusun semula keutamaan fokus mereka (Fiqh al-Awlawiyat) agar bertindak ke atas aliran yang jelas menyeleweng bak matahari, bukan aliran yang hanya wujud secara bayang-bayangan… entah wujud atau tidak. 4. Kecuaian ahli ilmu. Hakikat pertama, Syi‘ah menyampaikan dakyah mereka dengan dalil dan hujah. Hakikat kedua, kebanyakan ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah enggan berusaha menjawab dalil dan hujah tersebut. Paling-paling yang dijawab hanyalah dengan slogan murah: “Syi‘ah sesat, abaikan mereka.” Padahal dalam suasana tahap keilmuan umat Islam yang semakin meningkat sekarang ini, yang diambil kira bukanlah slogan murahan tetapi dalil dan hujah. Justeru ahli ilmu perlu beralih dari kemalasan kepada kecergasan, dari sijil kelulusan kepada aksi ilmiah, dari semakan kertas tesis kepada semakan aqidah umat, agar dalil dan hujah dipatahkan dengan dalil dan hujah juga. 5. Pencarian wira dan pasukannya. Umat Islam sekarang ini dalam dilema mencari seorang wira dan pasukan pejuang yang berani bangkit menentang kezaliman zionis dan polis dunia. Dalam pencarian tersebut, yang ditemui ialah wira yang beraliran Syi‘ah dan pasukan pejuang yang beraliran Syi‘ah. Secara bawah sedar, ia memberi kesan bahawa aliran yang benar ialah Syi‘ah. Kecelaruan ini dijawab, bahawa kebenaran agama tidak ditentukan oleh agama sang wira dan pasukan pejuangnya. Seandainya itulah ukuran kebenaran, nescaya agama pasukan pejuang Vietnam yang menghancurkan pasukan tentera Amerika Syarikat pada tahun 70an yang lalu adalah jauh lebih benar dari agama Syi‘ah. Ketahuilah, kebenaran terletak pada agama Islam manakala kelemahan terletak pada orang Muslim kerana tidak menghayati Islam dengan cara yang benar, iaitu cara Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. [1] Kertas kerja ini saya tulis untuk daurah (kursus) Ta’lim Sunnah (Siri 2) yang dianjurkan oleh Intis Consultant & Training, bertempat di Surah al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur, pada 20 September 2008. [2] Berkenaan apa dan siapa Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Berkenaan apa dan siapa Syi‘ah, sila rujuk buku saya Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah (Buku 1). Kedua-dua buku ini terbitan Jahabersa, Johor Bahru [3] Rujuk Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah? oleh Muhammad Quraish Shihab (Lentera Hati, Jakarta, 2007), ms. 133 dan seterusnya. Dalam menukil pandangan-pandangann tokoh Syi‘ah yang muktabar lagi terkini, saya (Hafiz Firdaus) menjadikan buku Syaikh Quraish Shihab di atas sebagai rujukan utama. Beliau bukanlah seorang Syi‘ah, hanya memiliki sikap yang toleran terhadap Syi‘ah. Dalam bukunya di atas, beliau telah mengemukakan pandangan-pandangan Syi‘ah yang saya nilai jujur dan adil. Namun pada waktu yang sama saya dapati analisa beliau masih banyak yang boleh diperbaiki, khasnya apabila menyentuh tentang dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Saya mendoakan agar Syaikh Quraish Shihab dapat mendalami dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dengan lebih luas dan tajam sebagaimana beliau mendalami dasar-dasar Syi‘ah Itsna Asyariah. [4] Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 169 dan seterusnya. [5] Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 185 dan seterusnya. [6] Sayang sekali yang banyak berpura-pura mutakhir ini ialah golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Ramai yang mengetahui dan dapat membezakan antara yang hak dan batil, namun mereka mendiamkannya dan terus mengikuti kebiasaan masyarakat, berpura-pura konon kebiasaan itu adalah betul dan mereka turut mempersetujuinya. Jika di satu ekstrim terdapat golongan yang bertaqiyyah, di ekstrim yang lain terdapat golongan yang gelojoh. Mereka dengan mudah lagi kasar menghukum individu atau kumpulan lain sebagai sesat, fasiq dan sebagainya tanpa ilmu yang mendalam dan penyelidikan yang adil. Sikap yang benar berada di pertengahan, yakni jujur lagi adil untuk membetulkan kesalahan dan hikmah dalam melaksanakan pembetulan tersebut. [7] Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 19-20. [8] Asalnya ialah Aqidah al-Imamah, iaitu doktrin kekhalifahan Ali dan keturunannya yang diyakini oleh Syi‘ah. Memandangkan kesan dari aqidah ini ialah Syi‘ah mengkafirkan sesiapa yang tidak turut serta menyakininya, maka saya menyebutnya sebagai Aqidah al-Takfir, iaitu kafir mengkafir. [9] Ashel al-Syi‘ah wa Ushuliha, ms. 134; dikemukakan oleh M. Qurasih Shihab dalam Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 98 dengan beberapa suntingan bahasa oleh penulis (Hafiz Firdaus). [10] Aqaid al-Imamiyah, ms. 60; dikemukakan oleh M. Qurasih Shihab dalam Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 98 dengan beberapa suntingan bahasa oleh penulis (Hafiz Firdaus). [11] Dikemukakan oleh M. Qurasih Shihab dalam Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 115 dengan beberapa suntingan bahasa oleh penulis (Hafiz Firdaus). [12] Ashel al-Syi‘ah wa Ushuliha, ms. 129; dikemukakan oleh M. Qurasih Shihab dalam Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 118. [13] Point kedua ini adalah penting bagi menjawab fitnah sebahagian tokoh Syi‘ah yang mendakwa, para sahabat telah menyeleweng dari jalan yang benar setelah kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. [14] Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut boleh dirujuk dalam buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan Dan Sejarah Para Sahabat oleh Syaikh Abdullah Abdul Qadir al-Taliri (edisi terjemahan oleh Muhammad Amin Yaacob), terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Juga edisi e-book di www.hafizfirdaus.com Dalam buku ini dijawab juga beberapa tuduhan Syi‘ah berkenaan peristiwa Bani Sa’idah, warisan Tanah Fadak, kelewatan bai‘ah Ali kepada Abu Bakar dan pelbagai lagi. [15] al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, ms. 46 & 48-49 secara berpisah-pisah, daripada buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan Dan Sejarah Para Sahabat, ms. 33-35 [16] Berbeza dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, kami tidak menghukum Syi‘ah sebagai kafir tetapi sekadar sesat dari jalan yang lurus. [17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6045 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan larangan mencela dan melaknat). [18] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6103 (Kitab al-Adab, Bab siapa yang mengkafirkan saudaranya…). [19] Hadis-hadis tersebut telah dihimpun oleh Syaikh al-Albani rahimahullah dalam bukunya Tahzir al-Sajid min Ittikhazi al-Qubur Masajid yang sudah diterjemahkan oleh M. Abdul Ghoffar atas judul Larangan Shalat Di Masjid Yang Dibangun Di Atas Kubur (Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2004). [20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 532 (Kitab al-Masajid, Bab larangan membina masjid di atas kubur…). [21] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka terhadap Musnad Ahmad, hadis no: 1691 (Musnad al-‘Asyarah al-Mubasysyirin bi al-Jannah, Hadis Abi ‘Ubaidah bin al-Jarh). [22] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 521 (Kitab al-Masajid…). [23] Selain kawasan perkuburan, kita juga dilarang menjadikan kandang unta atau tempat penambatan unta sebagai tempat beribadah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: صَلُّوا فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ وَلاَ تُصَلُّوا فِي أَعْطَانِ الإِبِلِ فَإِنَّهَا خُلِقَتْ مِنْ الشَّيَاطِينِ. Bersolatlah dalam kandang kambing tetapi janganlah bersolat di tempat penambatan unta kerana sesungguhnya ia dicipta dari syaitan-syaitan. [Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 630 (Kitab al-Masajid…, Bab solat di tempat menambat unta dan kandang kambing)] [24] Wahabism (edisi terjemahan oleh Arif M & Nainul Aksa atas judul Syekh Muhammad bin Abdul Wahhab & Ajarannya; Citra, Jakarta, 2007), ms. 63-64 dengan beberapa suntingan bahasa. [25] Wahabism, ms. 54 dengan beberapa suntingan bahasa. [26] Wahabism, ms. 47 dengan beberapa suntingan bahasa. [27] Rujuk buku saya 13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Antara perkara yang mencemari tauhid seseorang ialah menganggap sesuatu tempat, masa, amalan, benda dan individu memiliki keberkatan padanya. [28] Umat Islam terbahagi kepada dua kubu terhadap usaha pendekatan ini. Kubu Pertama adalah mereka yang berlebih-lebihan dalam menerimanya sehingga mencairkan – bahkan menghanyutkan – semua dasar-dasar agama yang muktamad semata-mata atas alasan pendekatan antara Syi‘ah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Kubu Kedua adalah mereka yang berlebih-lebihan dalam menolaknya sehingga melarang sekalipun sekadar mengucapkan salam di antara kalangan Syi‘ah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Sikap yang benar adalah yang di pertengahan, yakni dialu-alukan usaha pendekatan itu tanpa dicairkan dasar-dasar agama yang muktamad, yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. [29] Sebagai contoh, orang yang benar-benar mencintai Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan hanya berselawat ke atas baginda sebagaimana yang baginda ajarkan, kerana dia tahu itulah yang dicintai oleh baginda. Adapun orang yang menambah kalimat itu dan ini dalam selawat, mereka sebenarnya bukan mencintai Rasulullah tetapi mencintai dirinya sendiri sehingga melakukan apa yang dia cintai, bukan apa yang Rasulullah cintai. [30] Bermaksud Allah memuliakan wajahnya. Pujian ini diberikan kepada Ali kerana beliau adalah antara yang pertama memeluk Islam dan sebelum itu dia tidak pernah menyembah apa-apa patung berhala. [31] Hari para sahabat berhimpun di Dewan Bani Sa‘idah untuk melantik khalifah pengganti sementara Ali dan Ahl al-Bait yang lain menguruskan jenazah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. [32] Maksudnya, ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh tidak mengambil sikap yang berbeza sebagaimana Syi‘ah. ‘Ali tetap bersama umat Islam, yakni para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman itu. [33] Yakni ‘Ali tidak pernah memahami hadis itu atau ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang lain sebagai menetapkan dirinya dan Ahl al-Bait sebagai khalifah atau imam. Padahal diriwayatkan ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut hadis al-Ghadir, baginda menyebut sambil mengangkat tangan ‘Ali. Sudah tentu kefahaman ‘Ali adalah yang paling baik, sehingga orang yang benar-benar mencintai dan membela ‘Ali akan mengikuti kefahaman beliau terhadap hadis itu mahupun selainnya. [34] Ini kerana Imam Mahdi, sebagaimana tertera dalam hadis-hadis mutawatir dan sekaligus menjadi salah satu dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, adalah dari keturunan Ahl al-Bait. Maka pada ketika itu akan wujud kayu pengukur antara Syi‘ah yang tulen dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tulen, kerana hanya mereka yang tulen yang akan mengikuti Imam Mahdi tersebut. [35] Namun pada hakikatnya ‘Ali tidak mengambil sikap yang sepertimana yang diambil oleh Syi‘ah. Beliau tetap bersama para sahabat dan para sahabat tetap bersama beliau. Ucapan Syaikh Sa‘id Ramadhan al-Buthi di atas diucapkan oleh beliau dalam majlis Mahjaran al-Imam ‘Ali di London pada Ogos 1991; dinukil secara ringkas, berpisah dan dengan suntingan bahasa dari Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 270-275. |
Wednesday, December 8, 2010
Bahaya Syi‘ah Kepada Umat Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kertas kerja ini tak lain tak bukan adalah hujah hujah Yahudi untuk menghancur kan perpaduan islam.yang kertas kerja ini mengaji tak habis bab Ahlul bait dan juga Mazhab.celaka lah bagi yang membuat kertas kerja ini dalam keadaan jahil.Belajar syiah berapa hari ni nak hukum demikian .??
Post a Comment