Pages

Wednesday, April 11, 2012

Bekas pejuang gabenor Aceh

BANDA ACEH: Aceh akan mendapat gabenor baru selepas bekas pemimpin pejuang pemisah, Dr Zaini Abdullah, 71, memperoleh 56 peratus undi, mengalahkan Irwandi Yusuf, yang hanya meraih 29 peratus undi, mengikut keputusan kiraan awal.
Zaini, doktor perubatan, melarikan diri dari Indonesia pada 1981, memasuki Singapura dengan menaiki bot nelayan sebelum berlepas ke Sweden menggunakan pasport Palang Merah dan menetap di negara itu selama 20 tahun serta menjadi Menteri Luar Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

Beliau kembali ke Aceh selepas perjanjian damai 2005 yang ditandatangani setelah 130,000 penduduk wilayah itu terbunuh akibat tsunami, sekali gus menamatkan perang saudara.

Kemenangan Zaini di atas tiket Partai Aceh (PA) yang menguasai kebanyakan kerusi dewan wilayah dan dianggotai sebahagian besar bekas pejuang GAM, dijangka meningkatkan kestabilan di Aceh.

Kebanyakan bekas anggota pemisah tidak berpuas hati dengan pentadbiran sebelum ini.

Irwandi yang mempertahankan jawatan itu dan bertanding atas tiket bebas didakwa tidak banyak bertindak untuk membantu mereka.


Zaini akan dibantu oleh Muzakir Manaf, 49, bekas Panglima GAM yang menjadi pengerusi PA sejak 2007.

Aceh ialah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan hukum syariah. Bagaimanapun, isu itu hampir tidak timbul sepanjang kempen pilihan raya berkenaan.
Sementara itu, pemerhati tempatan berkata, kemenangan calon PA dalam pilihan raya kelmarin ialah kerana parti itu memiliki struktur ‘komando’ yang tersusun hingga ke peringkat desa.

“Mereka menang kerana struktur organisasi yang baik hingga ke seluruh pelusuk desa,” kata Teuku Ardiansyah, penganalisis politik keamanan Aceh dari Institut Katahati, semalam.

Berdasarkan keputusan awal, PA juga memenangi pilihan raya peringkat daerah di Pidie, Lhokseumawe, Aceh Utara, Kota Sabang, Aceh Jaya, Aceh Besar dan Aceh Barat Daya. - ANN

No comments:

Post a Comment