Pages

Friday, November 11, 2011

Lapan terbunuh, 25 berjaya ditarik keluar daripada runtuhan bangunan

ANKARA: Beratus anggota pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang selamat selepas gempa bumi yang melanda timur Turki, semalam.
Gegaran yang berlaku tidak sampai tiga minggu selepas gempa bumi di tempat yang sama sebelum ini, merobohkan bangunan dan menyebabkan orang ramai bertempiaran lari akibat panik.
Kira-kira 800 anggota penyelamat bergegas ke tempat kejadian dengan membawa mesin jengkaut menggali bangunan runtuh setelah gegaran sekuat 5.6 magnitud melanda bandar Van.

Gegaran kuat itu turut meruntuhkan dua bangunan hotel dan lebih dua dozen bangunan lain di situ.

Satu daripada bangunan hotel yang runtuh di Van itu adalah bangunan hotel enam tingkat yang didiami oleh wartawan dan anggota Palang Merah Turki.

Kira-kira 25 mangsa berjaya diselamatkan, termasuk dua orang sukarelawan Persatuan Kemanusian Jepun yang tiba untuk membantu mencari mangsa selepas gempa bumi, 7.2 Skala Richter melanda pada 23 Oktober lalu dan membunuh kira-kira 600 orang dan mencederakan 4,150 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Kerajaan meletakkan jumlah mangsa yang maut dalam gempa bumi terbaru ini, seramai lapan orang tetapi tidak dapat dipastikan berapa ramai yang terperangkap di bawah bangunan runtuh.

Seorang mangsa yang selamat, penyambut tetamu di satu daripada bangunan hotel yang runtuh, Recep Ozhan berkata,”Bila saya merangkak keluar, saya tak nampak apa-apa kecuali asap tebal.”

“Ada 32 tetamu yang mendaftar tinggal di hotel itu semalam, tapi saya tidak tahu berapa ramai yang ada di dalam bangunan itu... Saya tak tahu sama ada semua orang berjaya keluar,” katanya.

Pihak berkuasa Turki yang dikritik hebat kerana lambat menghantar bantuan ketika gempa bumi yang melanda bulan lalu berkata, mereka telah menghantar sembilan pesawat yang membawa 300 anggota penyelamat bersama 50 ambulans dan 250 anggota perubatan.
Helikopter digunakan untuk membawa barang dan anggota lain ke kawasan itu.

Salji dijangka turun hari ini. - AFP
myMetro | Lapan terbunuh, 25 berjaya ditarik keluar daripada runtuhan bangunan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment