Pages

Wednesday, October 13, 2010

Setiap dugaan ada hikmah tersirat


MOTIVASI paling mujarab dalam kita menempuh hidup yang penuh pancaroba ini. Setidak-tidaknya, ia membuka akal dan minda kita untuk melihat setiap ujian Allah SWT itu sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya, bukan sebaliknya atau Allah SWT bertindak tidak adil terhadap segelintir umat-Nya, terutamanya yang dibebani dengan ujian kesusahan dan kesempitan.
Bertitik-tolak daripada ayat di atas inilah, sebagai hamba Allah kita kena yakin dengan jaminan Allah bahawa akan ada kesenangan selepas menempuh segala kepayahan dan cabaran-Nya. Maka untuk berjaya menempuhinya, ia perlu kepada kesabaran. Barulah, datangnya kemanisan iman.
Pada 17 Syawal lalu sebagai kesinambungan kepada program Feed The Fasting atauBantulah Mereka Berbuka Puasa oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama pengurusan Sudara Beach Resort, yang terletak di Tok Bali, Bachok, Kelantan telah berjaya mengagih dan menyerahkan pek makanan kepada 200 buah keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta insan Orang Kurang Upaya (OKU).
Majlis istimewa itu telah melibatkan penerima manfaat daripada penduduk di sekitar jajahan Bachok, Kelantan. Di mana pengurusan Sudara Beach Resort bertanggungjawab memilih senarai penerima.
Pengurus Kewangan dan Operasi IRM, Farouq Zauji berkata, ia merupakan tahun ke tiga kerjasama yang dibuat bersama Sudara Beach Resort acapkali tibanya Syawal.
"Menerusi kempen ini, setiap sumbangan RM50 yang diperoleh daripada orang ramai akan dibeli barangan keperluanm asas. Kalau kita congak perbelanjaan kita satu hari, boleh dikatakan lebih daripada itu. Pun begitu, pemberian anda sebanyak itu, bukan sahaja membawa makna besar dalam aspek kemanusiaan tetapi turut menjadi saham akhirat. Insya-Allah.
"Wang sumbangan orang ramai itu, akan digunakan untuk membeli keperluan harian berupa; beras, gula, garam, susu, tepung, minyak masak, sardin dan sebagainya.
"Setiap satu pek makanan ini adalah untuk satu keluarga dan ia diharapkan akan dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut selama dua hingga tiga minggu," katanya yang menghargai kerjasama yang terbina terutamanya kepada Pengarah Urusan Sudara Beach Resort, Maimun Mohd. Hussain yang tidak dapat turut serta meraikan program hari itu kerana masalah kesihatan.
Tambah Farouq, sumbangan yang disalurkan melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi penyediaan bungkusan makanan dan barangan keperluan harian untuk meringankan bebanan perbelanjaan harian mereka.
Semua kos bagi penyelengaraan program itu adalah hasil sumbangan orang ramai dari seluruh negara melalui kempen Bantuan Aidilfitri 2010 yang telah dilaksanakan IRM.
"Program ini adalah kesinambungan daripada program Bantulah Mereka Berbuka Puasa, yang dilaksanakan oleh Islamic Relief Worldwide yang telah berjaya mengagihkan pek makanan kepada lebih sejuta penerima di seluruh dunia termasuk 20,000 orang di Malaysia.
"Makanan yang diagihkan merupakan makanan tradisi penduduk sesebuah negara dan pengagihan di peringkat antarabangsa lebih fokus kepada golongan yang menghadapi krisis makanan disebabkan kemiskinan, bencana alam, konflik dan peperangan.
"Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, mereka boleh melayari laman web rasmi IRM iaitu www.irm.org.my," kata Farouq.
Sementara itu, Pengurus Besar Sudara Beach Resort, Sabari Mohd. Afffandi yang mewakili ibunya dalam ucapan perasmian program itu berkata, pihaknya berminat untuk melebarkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti IRM pada tahun-tahun akan datang.
"Mungkin kalau sebelum-sebelum ini kerjasama yang terjalin hanya dalam penganjuran program Aidilfitri, mungkin pada lain kali kita akan cuba mencari program bentuk kebajikan yang lain.
"Tiga tahun berturut-turut ini, membuktikan keprihatinan pihak pengurusan Sudara Beach Resort dan IRM, sekali gus memastikan mereka yang tidak bernasib baik di jajahan ini terbela nasibnya," kata Sabari.-utusan

Penyatuan Muhajirin dan Ansar


SEBELUM musyrik Mekah dapat dilawan, pihak umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW mestilah terdiri satu pasukan yang sangat kuat.
Iaitu kekuatan yang terhasil daripada perpaduan, persepakatan, keharmonian dan yang lebih penting persaudaraan sesama umat itu sendiri.
Daripada kata kuncinya persaudaraan, maka itulah yang dilakukan oleh baginda sebaik sahaja tiba di Madinah.
Iaitu menyatukan antara umat Islam yang berhijrah dari Mekah, yang dikenali sebagai Muhajirin dengan penduduk Yathrib terutama berbangsa Arab, yang kebanyakan mereka telah memeluk Islam.
Persaudaraan yang dimaksudkan tidak sekadar satu pengakuan tetapi usaha penyatuan yang sehingga melibatkan soal pusaka mempusakai. Walaupun pada asalnya, mereka tidak mempunyai sebarang hubungan.
Persaudaraan seperti itu disifatkan sebagai yang paling indah dan unik dalam sejarah.
Ia bermula apabila seramai 90 orang, iaitu terdiri separuh daripada Muhajirin dan separuh lagi golongan Ansar disatukan dalam sebuah majlis yang berlangsung di rumah Anas bin Malik.
Mereka dipersaudarakan atas asas berkongsi kehidupan dan saling mempusakai selepas berlaku kematian dengan melebihi taraf kaum kerabat yang jauh.
Namun asas pewarisan atau mempusakai seperti itu ditamatkan setelah berlaku Peperangan Badar, iaitu dengan turunnya firman Allah: Dan golongan yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, mereka yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak atas setengah yang lain menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 75)
Dengan turunnya ayat itu maka hak pewarisan ditarik balik tetapi hubungan persaudaraan itu tetap diteruskan. Begitulah juga hendaknya sehingga ke hari ini, umat Islam ialah umat bersaudara tanpa mengira status, pangkat kedudukan, warna kulit dan bangsa.
Atas nama Islam, kita semua adalah bersaudara, cubit paha kiri paha kanan terasa juga.
Jika ada umat Islam disakiti misalnya seperti yang berlaku di Palestin, maka wajiblah kepada saudara Islam yang lain membantu dan menyelamatkan mereka!
Erti persaudaraan yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad di sini seperti menurut pendapat Muhammad Al Ghazali iaitu supaya fahaman berpuak-puak secara jahiliah dapat dihapuskan. Justeru, tidak ada keakraban atau hubungan yang sangat rapat dan baik melainkan atas landasan Islam.
"Dengan adanya persaudaraan seperti ini maka perbezaan keturunan, warna kulit hatta tanah air dapat dibuang.
"Lantaran itu, tidak seorang pun yang dapat ditampilkan ke hadapan atau diletakkan di belakang melainkan dengan faktor maruah dan ketakwaannya," katanya.
Baginda menjadikan persaudaraan sesama Islam itu sebagai satu kontrak atau perjanjian sejati yang perlu dilaksanakan, bukan hanya sebagai mainan di bibir atau manis dimulut sahaja tanpa dipraktikkan. Ia melampaui sehingga melibatkan soal darah dan harta benda.
Bagi baginda tidak ada gunanya dilaungkan persaudaraan sesama Muslim tetapi akhirnya tinggal sekadar slogan tanpa sebarang hasilnya.
Mereka yang mengaku saling bersaudara, merekalah rupa-rupanya yang saling bergaduh sehingga sanggup berbunuh-bunuhan.
Indahnya persaudaraan yang dianjurkan oleh Rasulullah itu ialah ia menimbulkan satu perasaan yang sangat kuat hingga lebih mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri.
Atau lebih tepat tidak ada sebarang perasaan pentingkan diri sendiri di samping suka berkongsi apa sahaja apa yang boleh dikongsikan dan bertambah indah apabila wujud suasana kemesraan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Namun jelas menunjukkan betapa golongan Ansar sangat mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan saudara-saudara baru mereka yang sanggup meninggalkan kampung halaman tercinta iaitu, Mekah.
Sikap seperti ini sangat menunjukkan erti pengorbanan sebenar, iaitu dengan mengutamakan orang lain, berkasih sayang dan kejernihan hati.
Namun yang jelas juga kepada kita, puak Muhajirin sama sekali tidak mengambil kesempatan dari kemurahan hati kalangan Ansar dan tidak mengaut sebarang hasil melainkan sekadar yang layak dan berpatutan dengan penat lelah mereka mengusahakan secara bersama.
Begitulah uniknya persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad dan mereka yang disatukan itu termasuklah; Abu Bakar As Siddiq dengan Kharjah bin Zaid, Umar dengan Utban, Abdullah bin Mas'ud dengan Muaz bin Jabal, Mus'ab bin Umjar dengan Abu Ayyub Al Ansari, Abu Ubaidah dengan Abu Talhah dan begitu jugalah yang lain-lainnya

Mutlaq dan Muqayyad


MUTLAQ bermaksud lafaz yang datang dalam bentuk umum, tanpa mempunyai sebarang keterbatasan atau had tertentu (taqyiid). Ia merujuk kepada sesuatu maksud tertentu yang telah dimaklumi. Biasanya, lafaz ini didatangkan dalam bentuk nakirah.
Sebagai contoh, firman Allah SWT: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain...(al-Baqarah: 184)
Dalam ayat ini, Allah SWT memberikan kemudahan kepada mereka yang musafir dan sakit untuk berbuka puasa dengan syarat mesti menggantikannya pada hari-hari yang lain selepas bulan Ramadan. Lafaz 'ayyam' yang bermaksud hari-hari ini datang dalam bentuk mutlaq, iaitu tidak dikhususkan pada hari tertentu atau secara berturutan. Ini bermakna, mereka boleh memilih mana-mana hari untuk menggantikan puasa kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa.
Sesuatu lafaz itu hendaklah ditafsirkan menurut kemutlakannya dan kekal sedemikian apabila ia disebut dengan lafaz mutlak dalam sesuatu nas dan ia tidak boleh diqaidkan dengan mana-mana sifat atau ciri melainkan ada dalil yang menunjukkan perkara berkenaan.
Manakala Muqayyad pula merujuk kepada lafaz yang memberikan maksud yang tidak tertentu, tetapi diikuti dengan lafaz yang mengikat dan membataskannya. Justeru, ia memberikan maksud yang lebih spesifik, tertentu dan terikat.
Begitu juga apabila sesuatu lafaz itu disebut secara muqayyad maka hendaklah ditasirkan secara muqayyad dan kekal sedemikian apabila ia disebut dengan lafaz muqayyad dalam sesuatu nas dan ia tidak boleh diubah atau ditafsirkan selain daripada makna asal nas tersebut melainkan ada dalil yang menunjukkan perkara berkenaan.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu membunuh seorang mukmin, maka hukumnya adalah dia mesti membebaskan hamba. Firman Allah SWT: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah dia membayar kafarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diat" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). (an-Nisa': 92)
Dalam ayat ini, Allah SWT mewajibkan untuk memerdekakan hamba yang beriman (raqabah mukminah). Ia adalah lafaz muqayyad kerana dikaitkan dengan sifat beriman. Ini bermakna, dalam kes pembunuhan tidak sengaja ke atas orang mukmin, kafarah (denda atau hukuman) yang dikenakan adalah membebaskan seorang hamba yang beriman.
Ini berlainan dengan kafarah zihar (suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau pun seorang yang haram berkahwin dengannya) yang mewajibkan si suami membebaskan seorang hamba tanpa disyaratkan mukmin atau tidak. Ia adalah lafaz mutlaq. Firman Allah SWT: ….maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. (al-Mujadalah: 3)
Lafaz raqabah dalam ayat tersebut tidak dikaitkan dengan mukmin. Namun, ulama-ulama menggabungkan kedua-dua ayat berkenaan pembebasan hamba ini kerana subjeknya adalah sama iaitu membebaskan hamba. Maka kebanyakan ulama menyatakan bahawa apabila ayatmutlaq dan muqayyad mempunyai subjek yang sama, maka perlu dimasukkan mutlaq kepadamuqayyad.
Jadi, hukum bagi zihar dan pembunuhan tidak sengaja adalah sama iaitu membebaskan hamba yang mukmin.
Tetapi, sekiranya subjek tidak sama, maka tidak boleh digabungkan antara keduanya. Sebagai contoh, ayat memotong tangan pencuri yang bersifat mutlak dalam surah al-Maidah, ayat 38.
Ia tidak boleh digabungkan dengan ayat 6 dalam surah al-Maidah iaitu membasuh tangan sampai siku yang bersifat muqayyad. Ini adalah kerana subjek hukumnya tidak sama walaupun kedua-duanya berkaitan dengan tangan.
Terdapat juga dalam al-Quran lafaz yang didatangkan secara mutlaq, tetapi diqaidkan dalam hadis. Sebagaimana ayat berkenaan dengan wasiat sebagaimana firman Allah SWT:(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya… (an-Nisa': 11)

Bidaah baik dan buruk



ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.
Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki,isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaahTasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.
Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.
Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.
Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.
Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.
Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.
Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.
Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.
Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.- utusan

Memahami hadis tentang bidaah


KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).
Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.
Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.
Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."
Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.
Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."
Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."
Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."
Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."
Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).
Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.
Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."-utusan

Abdullah Zubair langsai hutang bapa


ABDULLAH bin Zubair adalah seorang sahabat Nabi Muhammad. Semasa Rasulullah meninggal dunia, beliau masih kecil. Beliau adalah anak kepada Asma' binti Abu Bakar, iaitu cucu kepada Abu Bakar as-Siddiq. Pada masa pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Zubair dilantik menjadi pegawai kanan Muawiyah menentang tentera Rom.
Pada masa itu, Muawiyah menghargai setiap kejayaan dan perkara baik yang dilakukan oleh Abdullah. Abdullah juga menunjukkan rasa hormat dan tanda setianya pada Muawiyah.
Abdullah memiliki sifat-sifat yang baik seperti beramal soleh, berpegang teguh pada agama islam dan sentiasa bertakwa kepada Allah. Perubahan sikapnya mula berlaku apabila Muawiyah melantik anak lelakinya iaitu Yazid menjadi Putera Mahkota menggantikan tempatnya.
Semasa pemerintahan Yazid, pelbagai kekejaman berlaku seperti pembunuhan ke atas Husein bin Ali di Karbala pada tahun 63 Hijrah dan serangannya ke atas Madinah. Perkara itu menyebabkan Abdullah bangkit menentang Yazid.
Namun begitu, pengaruh Yazid semakin kurang apabila masyrakat Islam benci padanya. Mereka tidak menyukai tindakan Yazid yang kejam. Pernah Yazid menyuruh Muslim bin Uqbah dan tenteranya yang lain membunuh Abdullah bin Zubair. Tetapi Uqbah meninggal dunia dan digantikan dengan al-Gusein bin Numair.
Namun, Abdullah tidak dapat ditewaskan sehingga Yazid meninggal dunia. Pada tahun 73 Hijrah, Abdullah tidak dapat bertahan apabila daerah di bawah kekuasaannya ditawan oleh tentera Abdul Malik. Ketua pimpinan tentera Abdul Malik itu adalah al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi. Peristiwa kematian Abdullah berlaku apabila beliau dikepung di Mekah selama beberapa bulan. Akhirnya, Abdullah meninggal dunia.
Sepanjang hidupnya, Abdullah seorang yang cermat dan berhati-hati dalam urusan kewangan.
Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya pernah berpesan kepadanya: "Abdullah, apabila kamu menghadapi masalah, hendaklah kamu mengadu kepada Allah. Hanya Allah sahaja tempat yang layak mengadu."
Selepas bapanya meninggal dunia dalam peperangan menentang musuh, Abdullah berjumpa sebuah buku kecil di dalam bilik bapanya itu.
Lalu Abdullah berkata, "Buku apakah ini?"
Abdullah tidak pernah melihat buku itu. Ia sebenarnya adalah buku wang simpanan bapanya. Tanpa membuang masa, beliau memeriksa buku itu.
"Banyaknya hutang ayah yang belum dibayar. Semuanya berjumlah dua juta dirham," kata Abdullah dengan perasaan terkejut.
"Ayah sudah meninggal dunia. Tetapi hutangnya masih belum bayar. Saya perlu membayar hutang ini supaya roh ayah tenang di alam barzakh," kata Abdullah bersendirian.
Sikap amanah dan jujur yang ada pada Abdullah membuatkan orang lain mempercayainya. Ramai orang meminta Abdullah menyimpankan wang mereka.
Pada suatu hari, Abdullah berkata kepada orang ramai yang mahu menyimpan wang mereka kepadanya: "Sekarang ini saya tidak mempunyai tempat yang selamat bagi menyimpan wang anda semua. Namun saya mahu meminta izin daripada anda semua bagi meminjamkan wang anda semua. Saya berjanji membayar semula."
"Saya bersetuju sekiranya kamu mahu meminjam wang saya yang ada pada kamu itu," kata salah seorang penyimpan wang yang ada di sana.
Melihat kejadian itu, orang ramai turut bersetuju meminjamkan wang kepada Abdullah kerana mengetahui mengenai sikapnya. Akhirnya, beliau dapat membayar semula hutang peninggalan arwah ayahnya itu. Malah beliau juga dapat membayar semula hutangnya kepada orang ramai yang meminjamkannya wang.
Pernah suatu ketika, Abdullah tersilap mengira buku wang simpanan ayahnya itu.
Beliau menyangka Abdullah bin Jaafar berhutang sebanyak satu juta dirham kepada ayahnya.
Selepas dikira semula, Abdullah mendapati ayahnya yang berhutang sebanyak satu juta dirham kepada Abdullah bin Jaafar.
"Maaf, saya cuba membayar segala hutang-piutang yang ditanggung oleh arwah bapa saya, yang berjumlah satu juta dirham itu," jelas Abdullah.
"Baiklah, apabila kamu cukup wang bagi membayarnya nanti, kamu bayarlah. Saya percaya kepada kamu," balas Abdullah bin Jaafar pula.
Abdullah bin Zubair berasa lega selepas mendengar penjelasan itu. Bagi melangsaikan hutang itu, beliau memberikan sebidang tanah kering kepada Abdullah bin Jaafar. Abdullah bin Jaafar menerima pembayaran hutang itu dengan hati terbuka. Kini, hutang bapanya sudah dibayar kesemuanya.
Begitulah sikap amanah dan jujur Abdullah bin Zubair. Sifat peribadinya yang terpuji itu menjadikan beliau seorang yang kuat berpegang teguh kepada Allah dan ajaran yang disampaikan oleh nabi Muhammad.
Sebagai seorang Islam yang beriman, kita juga wajar mengikuti sifat-sifat baik yang dimiliki oleh Abdullah bin Zubair. bagi membalas jasa dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anakm kita juga perlu menyelesaikan segala hutang-piutang yang ditanggung oleh kedua-dua ibu bapa kita apabila mereka sudah tiada kelak.

Sedarlah wahai anak lelaki


MENITIK air mata saya kerana tersentuh membaca kisah minggu lalu berjudul 'Ibu sakit anak-anak bersengketa.' Kisah itu hampir saya dengan apa yang sedang saya lalui. Saya terpaksa berhenti beberapa kali kerana air mata berguguran tanpa berhenti kerana saya terlalu sedih.
''Saya mempunyai dua orang abang, tetapi yang sulung bersikap lepas tangan untuk menjaga emak kami yang sakit, sama seperti yang Shahariah lalui,'' Demikian cerita Nazirah dalam e-mel yang dikirimkannya Isnin lalu.
''Kami empat beradik semuanya, saya anak ketiga, dan seorang adik perempuan. Dua abang saya telah berkahwin dan berkeluarga. Abang Naz menunjukkan sikap yang amat mengecewakan saya. Hidupnya senang lenang dengan bantuan ayah semasa hayatnya, tetapi kemewahan yang dikecapinya menjadikan dia seperti kacang lupakan kulit.
''Sebelum emak jatuh sakit dia tinggal sendirian, tak jauh dari rumah saya dan abang di utara tanah air. Kata emak kami dah berkeluarga binalah keluarga sendiri. Abang kedua tinggal di KL, adik baru sahaja berkahwin, dulu masih belajar di kolej di KL.
''Bila emak diserang strok saya ambil dia tinggal bersama saya. Lima tahun lamanya saya jaga emak sendirian. Abang Naz langsung tak membantu, malah menjenguk emak pun boleh dikira dengan jari. Nak jadikan cerita dua tahun lalu saya terpaksa mengikut suami bertugas jauh ke negeri di bawah bayu. Nak bawak emak dia sakit. Jadi saya terpaksa tinggalkan dengan abang Naz.
''Selama itulah emak dilayan macam peminta sedekah yang hina dan kotor. Setelah suami saya berjaya dapat bertukar kembali ke Semenanjung, maka abang Naz tidak sabar-sabar menghantar emak kembali ke rumah saya dengan alasan dia sudah tidak tahan lagi kerana perangai emak amat degil.
''Isterinya, kak Zu juga tidak boleh tahan lagi melihat keadaan emak yang dikata pengotor.
''Kata abang Naz emak degil tidak mahu pakai lampin pakai buang itulah sebabnya lantai rumahnya, kerusi, kain emak berbau hancing. Malah kata kak Zu saudara maranya tak mahu lagi datang ke rumahnya kerana tak tahan bau emak.
''Adatlah orang dapat strok begitulah keadaannya, kita sebagai anak kena sabar. Dulu semasa saya jaga emak saya ambil pembantu, jadi bolehlah dia membantu saya menguruskan keperluan ibu kerana saya pun bekerja. Dan saya tanggung semua perbelanjaan mengambil pembantu termasuk membayar gaji bulanannya. Untuk memudahkan diri apalah salahnya abang ambil pembantu juga? Kerana dia mampu!
''Tetapi kini untuk mengambil pembantu baru kerana yang lama sudah berhenti, saya meminta bantuan adik-beradik, kerana perbelanjaannya besar. Lagi pun tugasnya semata-mata menjaga emak dan mengikut emak ke mana sahaja jika emak hendak bertukar angin tinggal di rumah abang. Jadi tidaklah penat kak Zu jaga emak.
Pembantu
''Emak tak kuat berdiri, berjalan pun kena pimpin, apa lagi hendak menguruskan diri sendiri, dengan adanya pembantu ringanlah sedikit tugas menguruskan emak. Tapi abang Naz tak setuju. Saya boleh terima kalau isterinya buat perangai bencikan emak mertua. Tetapi saya amat sedih bila abang Naz sendiri bencikan emak, malah dia jijik dan malu melihat keadaan emak.
''Bila saya tanyakan abang Naz kenapa benci sangat dengan emak. Katanya mengapa dia yang kena jaga emak, sedangkan Angah langsung tak pernah jaga emak. Taulah saya rupanya dia dengki abang Ngah yang tinggal di KL. Sebenarnya bukan abang Ngah tak mahu ambil emak, tapi emak tak mahu tinggal di bandar jauh dari kampung. Lagi pun perjalanannya amat jauh.
''Memang isteri abang Ngah, Syah pun buat perangai bencikan emak. Tetapi abang Ngah ambil berat pasal emak. Selain mengajak tinggal di rumahnya, abang Ngah hulurkan perbelanjaan untuk emak seperti membeli lampin pakai buang dan makan minum emak.
''Abang Naz cadangkan kami bergilir-gilir jaga emak tiga bulan seorang. Tetapi mengapa baru sekarang, mengapa tak buat cadangan semasa saya jaga emak sendirian lima tahun dulu.
''Saya tanya abang Naz adakah tanggungjawab menjaga emak hendak digilirkan, sedangkan ia menjadi tanggungjawab seorang anak lelaki Islam yang seumur hidupnya, haknya dipegang oleh ibunya sendiri.
''Isteri pula perlu taat kepada suaminya dan juga wajib taat kepada ibu mertuanya. Bukan saya mahu mengungkit apa yang telah saya buat selama menjaga emak tetapi, saya bertuah mempunyai suami yang faham masalah saya dan mengizinkan saya menjaga emak. Jika takdir suami saya tak izinkan, apa akan jadi pada emak? Pasti anak lelaki akan ditanya Allah di dunia mahupun di akhirat kelak.
''Ingatlah wahai abang suatu hari nanti kita juga akan tua dan tidak berupaya, dan cuba fikirkan adakah anak-anak kita akan melayan kita seperti mana yang kita kehendaki atau mereka melayan kita seperti apa yang kita lakukan kepada ibu bapa kita sekarang?
''Insaflah, setiap apa yang kita lakukan hari ini akan ada balasannya, kita tidak perlu tunggu akhirat sebaliknya kita akan terima pembalasan atas perbuatan kita semasa di dunia lagi. Fikirkanlah dan ingatlah. Ketika itu menangis air mata darah pun sudah tidak berguna lagi. Kerana segala-galanya sudah terlambat.
''Apa salahnya, jika kita adik-beradik duduk bersemuka dan berbincang dengan cara baik untuk mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak? Bukan saya tak mahu jaga emak lagi, tetapi saya tak mahu abang menerima pembalasan atas perbuatan abang kepada emak sekarang. Namun saya tetap jaga emak sebab saya sayangkan emak, kerana emaklah satu-satunya emak saya dunia dan akhirat.'' Demikian luahan hati Nazirah.

Segalanya tentang cendawan


Bruschetta cendawan.


HARI ini saya ingin bercerita tentang cendawan. Melalui pengamatan saya cendawan yang merupakan salah satu hasil asas tani kini sungguh besar potensinya dalam industri makanan dan kesihatan.
Kebiasaannya masyarakat kita menikmati cendawan dengan dibuat sup atau digoreng sebagai sayur atau kudap-kudapan. Selain itu cendawan juga turut digunakan dalam kebanyakan masakan Barat seperti ditaburkan di atas piza atau dijadikan sos cendawan.
Bayangkan jika anda menikmati sup yang kaya dengan rasa cendawan ditambah pula jika ia dicicah dengan roti Perancis bakar. Memang menyelerakan!
Cendawan juga mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Daripada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Said bin Zaid bin Amru bin Nufail r.a katanya: "Aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda: Cendawan adalah sejenis Manna (satu anugerah yang amat istimewa) dan dapat mengubati mata."
Banyak kajian juga telah dilakukan ke atas khasiat cendawan. Menurut Eva Guillamón et al 2010 yang dipetik daripada Journal Fitoterapia, cendawan dapat merawat kanser, merendahkan paras kolestrol dan tekanan darah serta meningkatkan sistem ketahanan badan.
Untuk pengetahuan pembaca, terdapat beratus-ratus jenis cendawan di seluruh dunia. Tetapi hanya beberapa jenis sahaja yang selamat untuk dimakan. Antara jenis cendawan yang biasa dinikmati adalah cendawan tiram, butang, shitake, dan cendawan straw.
Beberapa tip yang perlu anda ketahui tentang cendawan. Pilihlah cendawan segar yang masih keras dan tidak berlendir. Selain itu cendawan yang segar tidak berwarna kusam dan ia masih berwarna cerah.
Cendawan seperti kentang dan epal, mudah mengoksida dengan cepat apabila terdedah kepada udara. Oleh itu, apabila cendawan telah dihiris, jangan didedahkan terlalu lama pada udara kerana akan menjadi lembik, menukar warna kepada keperangan dan hilang perisa aslinya.
Selain boleh didapati secara segar, anda juga boleh membeli cendawan yang kering atau yang telah siap ditinkan. Cuba-cubalah resipi minggu ini untuk anda menikmati kelazatan cendawan yang sebenar dalam masakan.

65 angkasawan berbaju Melayu


Pasangan pengantin mengabadi kenangan bersama kumpulan angkasawan yang masing-masing segak berbaju Melayu.


Perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd. Yunus mencatat sejarah tersendiri apabila majlis tersebut turut dihadiri oleh 65 angkasawan dari luar negara.
Secara kebetulan kesemua mereka berada di Kuala Lumpur sempena Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa yang bermula 5 Oktober lalu dan berakhir semalam.
Menariknya pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), kesemua angkasawan berkenaan segak dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan songkok.
Malah pasangan mereka juga kelihatan anggun dengan busana baju kurung yang disediakan khas oleh Jakel.
Penolong Pengurus Imej Jakel, Mohamad Azizi Wahab memberitahu, pihaknya menyediakan 150 pasang baju Melayu yang dilengkapi dengan samping dan songkok.
''Kesemua ini kita sediakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut memandangkan Dr. Sheikh Muszaphar merupakan angkasawan pertama negara,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau juga menjelaskan, penajaan tersebut merupakan tanggungjawab sosial syarikatnya kepada masyarakat.
Malah ia juga merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan baju tradisional negara kepada dunia luar.
Katanya lagi, pelbagai warna dan corak disediakan bagi memudahkan kumpulan angkasawan berkenaan memilih warna yang digemari.
Malah, pihaknya juga turut menyediakan baju Melayu yang bersaiz besar mengikut saiz Eropah.
Sementara itu, ketika sesi mencuba pakaian yang berlangsung di Hotel Istana sehari sebelum majlis persandingan, kesemua mereka kelihatan teruja dan seronok apabila berpeluang untuk memakai baju kebangsaan itu.
Salah seorang angkasawan, Klaus Dietreh Flade dari Jerman menyatakan keterujaannya apabila berpeluang mencuba pakaian tradisional masyarakat Melayu.
''Saya tidak sabar untuk mencuba pakaian tradisional ini yang sememangnya sangat unik dan menarik,'' ujarnya yang ditemani isteri.
Beliau yang bangga dapat mencuba memakai pakaian kebangsaan itu memilih warna coklat cair untuk di pakai majlis persandingan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
Beliau yang merupakan juruterbang di sebuah syarikat penerbangan di Jerman menjelaskan kehadirannya pada majlis itu merupakan penghormatan kepada seorang teman yang pernah bekerjasama sebelum ini.
''Biarpun tidak pernah bertemu, namun inilah sokongan dan penghormatan saya untuk kepada Dr. Sheikh Muszaphar yang pernah menjejak kaki ke angkasa lepas,'' akuinya jujur.
Sementara itu, seorang lagi angkasawan, Sergei Avdeyev Va Siljevich, 54, turut berasa seronok kerana berpeluang meraikan majlis istimewa sahabatnya.
''Saya seronok kerana dijemput untuk menghadiri majlis yang bersejarah ini,'' ujarnya yang berkenalan dengan Dr. Sheikh Muzaphar ketika menghadiri seminar di Republik Czech sedikit masa lalu.
Angkasawan dari Rusia ini juga teruja kerana berpeluang mencuba baju Melayu dan dibawa pulang untuk di tunjukkan kepada rakan-rakan di negaranya.
''Tidak sabar rasanya untuk memakai baju ini dan ke majlis yang penuh adat itu,'' ujarnya sambil mendoakan kebahagiaan kepada pasangan pengantin baru itu.

Ah Ma 'wanita tayar'



DI sebalik redup wajahnya tersimpan pelbagai kisah suka duka perjalanan hidupnya membina sebuah kehidupan di negara serba asing.
Mendengar kemudiannya penitian liku-liku hidup wanita warga emas ini, ternyata dia seorang yang berhati waja.
Kua Hong Geok, 89, atau mesra dengan panggilan 'Ah Ma' (bermaksud ibu) lahir di Putian (terletak di wilayah timur Fujian), China.
Dia meninggalkan kampung halamannya ketika berusia 18 tahun menuju ke Singapura. Tujuannya? Untuk dikahwinkan dengan seorang lelaki yang agak sebaya dengan usianya dan juga berasal dari Fujian, Tanah Besar China.
Kehidupan Ah Ma di awal kehidupannya bergelar isteri penuh dengan ranjau dan duri tetapi dia pasrah dengan apa yang ada di depannya.
Semua pengalaman pahit itu menjadikan wanita ini semakin cekal menongkah arus kehidupan menjadi isteri, ibu kepada 12 cahaya mata (termasuk seorang anak angkat) dan kemudiannya usahawan tayar yang berjaya.
Kesusahan hidup membuatkan Ah Ma tidak menolak apabila mahu dikahwinkan. Dia hanya mahu memulakan kehidupan baru meskipun terpaksa meredah lautan luas.
Perjalanan dengan kapal dari Tanah Besar China ke Singapura di mana bakal suaminya sudah menetap dengan keluarganya, mengambil masa beberapa hari.
Apabila diminta bercerita mengenai alam rumah tangganya, Ah Ma kelihatan payah untuk bersuara.
"Terlalu banyak memori sedih," demikian cerita Neo Tiang Teck, anak kelapan Ah Ma di kedai tayar keluarganya di Taman Batu Pahat, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.
Tiang Teck menjadi penterjemah ibunya yang hanya boleh bertutur bahasa Hokkien dan sedikit Bahasa Melayu.
Hidup sebagai isteri sememangnya begitu mencabar bagi Ah Ma yang hidup sebatang kara tetapi dia terpaksa memendam perasaan. Dia tidak ubah seperti 'orang suruhan', terpaksa melakukan pelbagai kerja rumah, dari pagi hingga larut malam.
Dia terpaksa tinggal berjauhan daripada suaminya yang menguruskan perniagaan tayar keluarga di Batu Pahat, Johor.
Setahun selepas berada di Singapura, Ah Ma mendapat khabar sedih, adik perempuannya meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam sungai berhampiran sawah padi di mana dia bekerja.
Kesedihan Ah Ma nampaknya tidak berhenti di situ sahaja. Dua anak pertamanya meninggal dunia mungkin kerana beban kerja yang banyak dan kemungkinan keadaan fizikalnya yang lemah.
Liku-liku kehidupan
Dari Singapura, Ah Ma kemudian berpindah ke Batu Pahat pada 1938 untuk membantu suaminya, Neo Kong Khoon, menguruskan kedai tayar, iaitu setahun selepas kedai itu dibuka.
Anak-anaknya juga mula bertambah, menjadikan Ah Ma semakin sibuk kerana terpaksa menguruskan bisnes suaminya di samping menjaga anak-anaknya.
Kedai tayar yang dimajukan suami Ah Ma adalah yang pertama di Batu Pahat, iaitu sebagai langkah pembesaran perniagaan keluarganya yang bermula di Singapura.
Membesarkan 12 orang anak di samping menguruskan kedai tayar selepas suaminya meninggal dunia sehingga menjadi usahawan berjaya, dengan sendirinya menjadikan Ah Ma seorang ibu yang patut diteladani.
Kedai tayar dua tingkat yang juga menjadi kediaman Ah Ma dan anak-anaknya memudahkan dia menguruskan anak-anaknya. Ketika di kedai, anak-anaknya akan bersamanya.
Anak-anaknya akan tidur di dalam lingkungan tayar jika mereka mengantuk dan jika nakal mereka akan diletakkan juga di dalam gelungan tayar yang disusun menegak. Itu adalah cara Ah Ma mendisiplinkan anak-anaknya.
Perniagaan tayar adalah periuk nasi keluarga ini dan apabila ada beberapa saudara-mara suami Ah Ma membuka perniagaan tayar, wanita ini tidak mahu mengaku kalah membiarkan perniagaannya merudum.
Melihatkan ibunya bertungkus-lumus sendirian menguruskan kedai, anak lelaki sulungnya, Neo Tian Eng membuat keputusan untuk berhenti sekolah untuk membantu ibunya. Pengorbanan yang dibuat ketika usianya baru mencecah 12 tahun.
"Ibu saya bukan seorang wanita yang mudah mengaku kalah. Bila bapa kami meninggal dunia pada 1995 pun dia masih meneruskan perniagaan tayar ini. Tayar adalah sebahagian daripada kehidupannya," jelas Tiang Teck.
Matanya meleret ke arah ibunya yang kini bingkas bangun dari kerusinya untuk menyapa seorang pelanggan yang baru memasuki kedai.
"Ibu saya memang begitu. Dia tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang mahu dibuatnya.
"Awal tahun ini ibu terpaksa menjalani dua pembedahan. Sehari dua selepas pembedahan, dia sudah mahu bergerak. Dia tak mahu berbaring sahaja di atas katil," kata Tiang Teck, anak ketujuh Ah Ma.
Semasa muda dan sihatnya, Ah Ma akan bekerja dari pukul 7 pagi hingga 9 malam, sepanjang tahun meskipun pada Tahun Baru Cina. Habis di kedai dia akan membuat kerja rumah dan hanya tidur seawal pukul 1 atau 2 pagi.
Meskipun Ah Ma kini tidak aktif menguruskan kedai tayarnya, dia masih bangun awal sekitar pukul 6 pagi.
Ah Ma sering mengingatkan anak-anaknya supaya jangan tidur sampai tinggi hari kerana berpegang kepada pepatah burung yang keluar awal akan terlebih dahulu mendapat cacing.
Sebelum pukul 9 pagi, Ah Ma akan berada di kedai tayarnya. Seperti yang dilakukan bertahun-tahun, dia juga akan menyapu kawasan kedai sebelum duduk santai di bangku yang terletak di depan kedai.
Meskipun ada pembantu rumah, Ah Ma masih mencuci sendiri dengan tangan pakaiannya serta menggosok pakaiannya. Cuma dia sudah kurang memasak berbanding sewaktu mudanya untuk makanan anak-anaknya.
Makan besar di petang Tahun Baru Cina paling menjadi kegemaran Ah Ma kerana ketika itu dia berpeluang berkumpul bersama semua anak dan cucunya.
Anak-anak Ah Ma turut mengibaratkan ibu mereka sebagai pepohon rendang, menaungi mereka daripada hujan dan panas.
Malah selepas bapa mereka meninggal dunia, Ah Ma ialah tonggak utama yang dapat menyatukan anak-anak dan anggota keluarga Neo yang lain.
Begitu juga dengan syarikat perniagaan tayar keluarga, Sin Chu Hin yang ditubuhkan di Singapura sebelum 1938.
Meskipun terdapat banyak saingan hebat dalam perniagaan terutama di Batu Pahat, keluarga Ah Ma masih dapat bertahan.
Perniagaan tayar Sin Chu Hin kini diuruskan anak lelaki Tian Eng, Neo Lim Song, 37.
Di samping kedai tayar di Taman Batu Pahat, Lim Song juga bertanggungjawab ke atas dua lagi kedai tayar perniagaan keluarganya di Taman Sri Sogo dan Taman Sentang Jaya, juga terletak di Batu Pahat.
Kebanyakan anak Ah Ma sudah berjaya dalam hidup masing-masing. Dua anak perempuan Ah Ma, Neo Seok Yen dan Neo Seok Chen turut mengusahakan perniagaan tayar masing-masing di Johor.
Perniagaan tayar bukan sahaja menjadi legasi Ah Ma tetapi sumber inspirasi yang menjadi pendorong serta penyuluh kehidupan anak cucunya - Bernama

Selami budaya Melayu Cham





Keadaan rumah di kampung thom.


KEMBOJA adalah negara yang tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia. Rata-rata kita mengenali masyarakatnya melalui perniagaan kain di Malaysia.
Namun, kita jarang didedahkan tentang masyarakat Melayu Cham di Kemboja. Apatah lagi untuk mengenali negara Champa yang sudah lenyap dari peta dunia.
Kesempatan mengenali masyarakat Melayu Cham telah saya manfaatkan sebaiknya dalam misi bantuan pakaian sempena Aidilfitri anjuran Global Peace Mission (GPM), baru-baru ini.
Asal usul bahasa Cham adalah bahasa Melayu-Polinesia yang merupakan sub-bahasa kepada keluarga bahasa Austronesia.
Jenis bahasa yang digunakan ini sama dengan jenis bahasa yang kita pertuturkan di Malaysia dan Indonesia.
Cuma bahasa pertuturan kita hari ini adalah bahasa yang telah dipersetujui sebagai Bahasa Melayu Piawai iaitu Bahasa Melayu Riau yang dianggap sebagai tempat kelahiran Bahasa Melayu.
Maka tidak hairanlah sebahagian besar perkataan yang dipertuturkan masyarakat Cham tidak difahami.
Hanya sedikit saja perkataan yang difahami seperti rezeki, halal, sabda, firman, haram dan hadirin yang dihormati.
Sebaik saja tiba di Phnom Penh, rombongan terus dibawa oleh saudara Farid, wakil Persatuan Intelektual Muslim Kemboja (CMIA) menuju ke Masjid Dubai untuk menunaikan solat Jumaat. Sewaktu khutbah dibacakan, didapati khatib membaca teks dari kanan ke kiri.
Ini membuatkan saya tertanya-tanya kenapa cara pembacaannya tidak seperti membaca tulisan rumi. Lantas saya memberanikan diri bertanya kepada khatib sebaik selesai solat Jumaat.
Kata Imam Abdul Rahman, asal bahasa Cham ditulis dalam tulisan Jawi. Tetapi teks khutbah sekarang ditulis dalam bahasa Khmer cuma dia masih mengekalkan penulisannya dalam tulisan Jawi. Ini kerana kebanyakan masyarakat Melayu Cham sudah tidak tahu berbahasa Melayu.
Inilah kesan kekejaman rejim komunis Khmer Rouge yang mengakibatkan masyarakat asal Champa ini kehilangan identiti Melayu Cham mereka. Seterusnya anggota delegasi dibawa ke Muzium Tuol Sleng untuk melihat kesan kekejaman itu.
Tiga blok bangunan sekolah telah ditukar peranannya menjadi sel-sel tahanan untuk menyeksa musuh politik Pol Pot dari 1975 hingga 1979. Sesiapa saja yang berpendidikan tinggi dan berpengaruh dianggap sebagai musuh politik Khmer Rouge. Penjara Tuol Sleng ini juga dikenali sebagai Penjara S-21 oleh rejim ini.
Di sini kami amat bertuah dapat bertemu dengan Chum Mey, seorang bekas tahanan yang terselamat daripada dibunuh oleh tentera Pol Pot. Hanya tujuh daripada 20,000 orang tahanan yang dipercayai terselamat daripada dibunuh.
Chum Mey yang kini berusia 79 tahun masih tidak dapat melupakan tragedi hitam dalam hidupnya. Dia membawa kami ke sel tahanan kecil, tempat dia diseksa dengan begitu kejam.
Kedua belah kakinya dirantai sambil badannya dipukul dengan besi panas dan tajam. Tentera rejim hanya menyediakan sebuah botol untuk menakung air kencing manakala sebuah bekas lain bagi menakung najis. Sekiranya air kencing atau najis tadi tertumpah pada lantai, dia akan dipaksa menjilatnya.
Sepanjang tempoh empat tahun Pol Pot berkuasa, para ulama Melayu Cham juga turut menjadi mangsa. Sesiapa saja yang kelihatan berpengaruh akan diseksa dan dibunuh. Penyeksaan dibuat terlebih dahulu bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai ahli keluarga dan kenalan mereka yang bakal ditahan kemudiannya.
Di muzium itu terdapat banyak gambar yang dirakamkan Ho Van Tay, jurukamera tentera Vietnam pada 1979 yang merupakan orang pertama memasuki kawasan Tuol Sleng selepas kejatuhan Pol Pot.
Antaranya ialah gambar tengkorak yang dikumpulkan bagi menandakan kejayaan mereka membunuh musuh-musuh politik mereka. Tengkorak-tengkorak itu masih wujud hingga hari ini untuk diabadikan sebagai bahan pameran di muzium ini.
Menurut Mufti Kemboja, Kamaruddin Yusuf, peperangan di Kemboja sebenarnya bermula sejak tahun 1970 hingga 1993. Dalam tempoh itu, banyak masjid dan sekolah diruntuhkan, kitab dan al-Quran dimusnahkan dan 60 peratus masyarakat Islam dibunuh.
Walaupun kekejaman yang dahsyat berlaku pada zaman Pol Pot, nasib masyarakat Melayu Cham yang majoritinya beragama Islam masih dirundung malang selepas itu. Akibatnya generasi ulama dan berpendidikan tinggi lenyap begitu saja.
Maka, wujudlah satu jurang yang sangat besar antara generasi hari ini dengan generasi terdahulu. Kamaruddin sendiri mengakui bahawa generasi mereka kurang ilmu dan kemahiran untuk mengajar anak-anak hari ini.
Kebanyakan mereka hanya mengajar anak-anak berdasarkan pengetahuan cetek yang disulami dengan pengalaman lampau. Tiada sistem pendidikan standard yang diamalkan di sekolah-sekolah Melayu Cham dan setiap guru menggunakan cara mereka tersendiri dalam pengajaran di sekolah.
Ditambah pula dengan sikap lepas tangan kerajaan Kemboja yang tidak mahu terbabit dalam sebarang usaha melibatkan agama.
Masyarakat Melayu Cham akhirnya terpaksa kami tinggalkan buat sementara waktu dengan janji untuk kembali pada Hari Raya Aidiladha kelak bagi menjalankan ibadah Korban masyarakat Malaysia di sini.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat untuk mewakilkan GPM bagi menunaikan ibadah Korban anda di Kemboja, bolehlah menghubungi Najiyyah di talian 010-400 2324 atau Azlina di talian 019-2882852. Maklumat lanjut juga boleh didapati di www.gpm.com.my.

Cerai suami tak mandi




2010/10/13

DUBAI: Sebuah mahkamah Mesir membenarkan seorang wanita untuk bercerai dengan suaminya kerana alasan pasangannya itu tidak mandi berbulan-bulan lamanya. 

Mahkamah membuat keputusan memihak kepada wanita itu dan meluluskan perceraian hanya selepas pasangan itu berkahwin beberapa minggu.Wanita itu, seorang jurutera petroleum, memberitahu mahkamah beliau ‘terkejut’ suaminya enggan mandi kerana ‘alahan daripada air’, menurut akhbar berbahasa Arab Mesir, Al Masri Al Yaum. – Agensi

33 pelombong Chile mula diselamatkan

 


2010/10/13

pix_gal0
Operasi bermula selepas lif ke dalam tanah dibina 

LOMBONG SAN JOSE (Chile): Operasi membawa keluar 33 pekerja lombong yang terperangkap setengah kilometer di bawah tanah sejak lebih dua bulan lalu akan dimulakan hari ini, selepas pihak berkuasa berjaya mereka bentuk lif untuk membawa mereka keluar.Pengumuman itu dibuat selepas pasukan jurutera berjaya menyiapkan lubang lombong sedalam 622 meter yang mencapai ke ruang perlindungan kecemasan di mana pelombong berkenaan berlindung sejak Ogos 5 lalu apabila lombong emas dan tembaga di utara Chile itu roboh.“Kami menetapkan permulaan operasi pada Rabu,” kata Menteri Perlombongan Laurence Golborne dan menyatakan pasukan jurutera kini sedang menstabilkan lubang lombong yang akan menjadi laluan keluar pelombong itu yang akan keluar menaiki lif khas yang direka yang hanya boleh membawa seorang pada sesuatu masa. 

Pelombong pertama yang akan dibawa keluar akan dipilih di kalangan mereka yang masih kuat, diikuti dengan yang paling lemah dan mempunyai masalah kesihatan, disusuli sekali lagi dengan mereka yang kuat. 

Jika operasi menyelamat itu bermula seperti dirancang hari ini, semua pelombong dijangka dibawa keluar Jumaat ini. 

Pelombong berkenaan terperangkap selepas sebahagian daripada lombong di kawasan gurun itu roboh menutup laluan masuk. 
Beberapa minggu selepas kejadian, pelombong berkenaan dianggap sudah mati sehingga Ogos 22 apabila mereka menghantar surat yang ditampal kepada gerudi bahawa mereka masih selamat. Sejak itu pasukan penyelamat menurunkan bekalkan makanan, air, ubat dan udara untuk pelombong terbabit. 

Sementara itu ahli keluarga mangsa menyatakan keyakinan mereka bahawa pelombong itu akan dibawa keluar dengan selamat. 

“Mereka akan membuat operasi itu secara berhati-hati dan akan memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini akan berlaku,” kata Nelly Bugueno, ibu kepada pelombong Victor Zamora yang terperangkap. 

Pihak berkuasa menjangka operasi membawa keluar akan mengambil masa satu setengah jam hingga dua jam bagi seorang pelombong. 

, menyebabkan keseluruhan operasi mengambil masa dua hari. 

Wartawan dan jurukamera dari seluruh dunia sudah mula berhimpun di lombong berkenaan bagi merakamkan pelombong terbabit diselamatkan. Lebih 1,000 wartawan dan krew televisyen dijangka akan membuat liputan operasi itu. – AFP