Pages

Wednesday, October 13, 2010

Selami budaya Melayu Cham





Keadaan rumah di kampung thom.


KEMBOJA adalah negara yang tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia. Rata-rata kita mengenali masyarakatnya melalui perniagaan kain di Malaysia.
Namun, kita jarang didedahkan tentang masyarakat Melayu Cham di Kemboja. Apatah lagi untuk mengenali negara Champa yang sudah lenyap dari peta dunia.
Kesempatan mengenali masyarakat Melayu Cham telah saya manfaatkan sebaiknya dalam misi bantuan pakaian sempena Aidilfitri anjuran Global Peace Mission (GPM), baru-baru ini.
Asal usul bahasa Cham adalah bahasa Melayu-Polinesia yang merupakan sub-bahasa kepada keluarga bahasa Austronesia.
Jenis bahasa yang digunakan ini sama dengan jenis bahasa yang kita pertuturkan di Malaysia dan Indonesia.
Cuma bahasa pertuturan kita hari ini adalah bahasa yang telah dipersetujui sebagai Bahasa Melayu Piawai iaitu Bahasa Melayu Riau yang dianggap sebagai tempat kelahiran Bahasa Melayu.
Maka tidak hairanlah sebahagian besar perkataan yang dipertuturkan masyarakat Cham tidak difahami.
Hanya sedikit saja perkataan yang difahami seperti rezeki, halal, sabda, firman, haram dan hadirin yang dihormati.
Sebaik saja tiba di Phnom Penh, rombongan terus dibawa oleh saudara Farid, wakil Persatuan Intelektual Muslim Kemboja (CMIA) menuju ke Masjid Dubai untuk menunaikan solat Jumaat. Sewaktu khutbah dibacakan, didapati khatib membaca teks dari kanan ke kiri.
Ini membuatkan saya tertanya-tanya kenapa cara pembacaannya tidak seperti membaca tulisan rumi. Lantas saya memberanikan diri bertanya kepada khatib sebaik selesai solat Jumaat.
Kata Imam Abdul Rahman, asal bahasa Cham ditulis dalam tulisan Jawi. Tetapi teks khutbah sekarang ditulis dalam bahasa Khmer cuma dia masih mengekalkan penulisannya dalam tulisan Jawi. Ini kerana kebanyakan masyarakat Melayu Cham sudah tidak tahu berbahasa Melayu.
Inilah kesan kekejaman rejim komunis Khmer Rouge yang mengakibatkan masyarakat asal Champa ini kehilangan identiti Melayu Cham mereka. Seterusnya anggota delegasi dibawa ke Muzium Tuol Sleng untuk melihat kesan kekejaman itu.
Tiga blok bangunan sekolah telah ditukar peranannya menjadi sel-sel tahanan untuk menyeksa musuh politik Pol Pot dari 1975 hingga 1979. Sesiapa saja yang berpendidikan tinggi dan berpengaruh dianggap sebagai musuh politik Khmer Rouge. Penjara Tuol Sleng ini juga dikenali sebagai Penjara S-21 oleh rejim ini.
Di sini kami amat bertuah dapat bertemu dengan Chum Mey, seorang bekas tahanan yang terselamat daripada dibunuh oleh tentera Pol Pot. Hanya tujuh daripada 20,000 orang tahanan yang dipercayai terselamat daripada dibunuh.
Chum Mey yang kini berusia 79 tahun masih tidak dapat melupakan tragedi hitam dalam hidupnya. Dia membawa kami ke sel tahanan kecil, tempat dia diseksa dengan begitu kejam.
Kedua belah kakinya dirantai sambil badannya dipukul dengan besi panas dan tajam. Tentera rejim hanya menyediakan sebuah botol untuk menakung air kencing manakala sebuah bekas lain bagi menakung najis. Sekiranya air kencing atau najis tadi tertumpah pada lantai, dia akan dipaksa menjilatnya.
Sepanjang tempoh empat tahun Pol Pot berkuasa, para ulama Melayu Cham juga turut menjadi mangsa. Sesiapa saja yang kelihatan berpengaruh akan diseksa dan dibunuh. Penyeksaan dibuat terlebih dahulu bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai ahli keluarga dan kenalan mereka yang bakal ditahan kemudiannya.
Di muzium itu terdapat banyak gambar yang dirakamkan Ho Van Tay, jurukamera tentera Vietnam pada 1979 yang merupakan orang pertama memasuki kawasan Tuol Sleng selepas kejatuhan Pol Pot.
Antaranya ialah gambar tengkorak yang dikumpulkan bagi menandakan kejayaan mereka membunuh musuh-musuh politik mereka. Tengkorak-tengkorak itu masih wujud hingga hari ini untuk diabadikan sebagai bahan pameran di muzium ini.
Menurut Mufti Kemboja, Kamaruddin Yusuf, peperangan di Kemboja sebenarnya bermula sejak tahun 1970 hingga 1993. Dalam tempoh itu, banyak masjid dan sekolah diruntuhkan, kitab dan al-Quran dimusnahkan dan 60 peratus masyarakat Islam dibunuh.
Walaupun kekejaman yang dahsyat berlaku pada zaman Pol Pot, nasib masyarakat Melayu Cham yang majoritinya beragama Islam masih dirundung malang selepas itu. Akibatnya generasi ulama dan berpendidikan tinggi lenyap begitu saja.
Maka, wujudlah satu jurang yang sangat besar antara generasi hari ini dengan generasi terdahulu. Kamaruddin sendiri mengakui bahawa generasi mereka kurang ilmu dan kemahiran untuk mengajar anak-anak hari ini.
Kebanyakan mereka hanya mengajar anak-anak berdasarkan pengetahuan cetek yang disulami dengan pengalaman lampau. Tiada sistem pendidikan standard yang diamalkan di sekolah-sekolah Melayu Cham dan setiap guru menggunakan cara mereka tersendiri dalam pengajaran di sekolah.
Ditambah pula dengan sikap lepas tangan kerajaan Kemboja yang tidak mahu terbabit dalam sebarang usaha melibatkan agama.
Masyarakat Melayu Cham akhirnya terpaksa kami tinggalkan buat sementara waktu dengan janji untuk kembali pada Hari Raya Aidiladha kelak bagi menjalankan ibadah Korban masyarakat Malaysia di sini.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat untuk mewakilkan GPM bagi menunaikan ibadah Korban anda di Kemboja, bolehlah menghubungi Najiyyah di talian 010-400 2324 atau Azlina di talian 019-2882852. Maklumat lanjut juga boleh didapati di www.gpm.com.my.

No comments:

Post a Comment