Pages

Wednesday, October 13, 2010

Memahami hadis tentang bidaah


KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).
Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.
Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.
Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."
Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.
Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."
Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."
Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."
Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."
Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).
Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.
Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."-utusan

No comments:

Post a Comment