Pages

Wednesday, October 13, 2010

Segalanya tentang cendawan


Bruschetta cendawan.


HARI ini saya ingin bercerita tentang cendawan. Melalui pengamatan saya cendawan yang merupakan salah satu hasil asas tani kini sungguh besar potensinya dalam industri makanan dan kesihatan.
Kebiasaannya masyarakat kita menikmati cendawan dengan dibuat sup atau digoreng sebagai sayur atau kudap-kudapan. Selain itu cendawan juga turut digunakan dalam kebanyakan masakan Barat seperti ditaburkan di atas piza atau dijadikan sos cendawan.
Bayangkan jika anda menikmati sup yang kaya dengan rasa cendawan ditambah pula jika ia dicicah dengan roti Perancis bakar. Memang menyelerakan!
Cendawan juga mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Daripada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Said bin Zaid bin Amru bin Nufail r.a katanya: "Aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda: Cendawan adalah sejenis Manna (satu anugerah yang amat istimewa) dan dapat mengubati mata."
Banyak kajian juga telah dilakukan ke atas khasiat cendawan. Menurut Eva Guillamón et al 2010 yang dipetik daripada Journal Fitoterapia, cendawan dapat merawat kanser, merendahkan paras kolestrol dan tekanan darah serta meningkatkan sistem ketahanan badan.
Untuk pengetahuan pembaca, terdapat beratus-ratus jenis cendawan di seluruh dunia. Tetapi hanya beberapa jenis sahaja yang selamat untuk dimakan. Antara jenis cendawan yang biasa dinikmati adalah cendawan tiram, butang, shitake, dan cendawan straw.
Beberapa tip yang perlu anda ketahui tentang cendawan. Pilihlah cendawan segar yang masih keras dan tidak berlendir. Selain itu cendawan yang segar tidak berwarna kusam dan ia masih berwarna cerah.
Cendawan seperti kentang dan epal, mudah mengoksida dengan cepat apabila terdedah kepada udara. Oleh itu, apabila cendawan telah dihiris, jangan didedahkan terlalu lama pada udara kerana akan menjadi lembik, menukar warna kepada keperangan dan hilang perisa aslinya.
Selain boleh didapati secara segar, anda juga boleh membeli cendawan yang kering atau yang telah siap ditinkan. Cuba-cubalah resipi minggu ini untuk anda menikmati kelazatan cendawan yang sebenar dalam masakan.

No comments:

Post a Comment