PARIS - Pemerintah Perancis menyatakan kekurangan bekalan bahan api yang disebabkan banyak loji penapisan dan depot minyak ditutup akibat tunjuk perasaan, dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.
Tunjuk perasaan yang memasuki hari kesembilan semalam itu diadakan oleh anggota-anggota kesatuan sekerja dan pelajar bagi membantah had umur persaraan dilanjutkan daripada 60 tahun kepada 62 tahun.
Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon semalam mengadakan perjumpaan dengan para eksekutif industri untuk mencari jalan bagi memulihkan bekalan.
Menteri Pengangkutan Perancis, Jean-Louis Borloo menyatakan, pihaknya tidak bercadang untuk memperkenalkan langkah bagi mencatu bekalan minyak.
Pemerintah Perancis juga mengarahkan syarikat-syarikat minyak supaya menyimpan bahan api bagi memastikan stesen-stesen minyak mempunyai stok, terutamanya apabila cuti sekolah akan bermula pada hujung minggu ini. - AP
No comments:
Post a Comment