Pages

Monday, October 25, 2010

Iran laksana hukuman potong tangan pencuri





2010/10/25

TEHERAN: Pihak berkuasa Iran semalam melaksanakan hukuman potong tangan ke atas seorang pencuri yang didapati bersalah di hadapan banduan lain, lapor radio kerajaan. 

Hukuman potong tangan yang dibenarkan undang-undang Islam di Iran, jarang dilakukan sejak beberapa tahun tahun lalu, tetapi hukuman yang dilaksanakan semalam adalah yang kedua bulan ini.
Laporan menyatakan, hukuman ke atas lelaki berusia 32 tahun itu dilaksanakan di sebuah penjara di tengah bandar raya Yazd. Dia didapati bersalah melakukan empat rompakan serta beberapa jenayah lain. Bagaimanapun nama pesalah tidak didedahkan. Yazd terletak 670 kilometer dari tenggara Teheran.
Sekumpulan tahanan dihimpunkan untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu, memberi isyarat ia mungkin dilakukan di khalayak pada masa depan. 

Tiada butiran lanjut mengenai cara hukuman dijalankan. Bagaimanapun, laporan bercanggah menyatakan bahawa pada 1980-an, tangan pesalah dipotong tanpa prosedur perubatan. 

Laporan lain pula menyatakan ia dilakukan dengan nasihat doktor, manakala laporan terbaru menyebut, pesalah diberi ubat bius sebelum hukuman dilakukan. 

Seminggu lalu, seorang hakim mengarahkan hukuman sama dilaksanakan ke atas seorang lelaki yang mencuri dari sebuah kedai gula-gula, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada hukuman itu sudah dilaksanakan. 
Hukuman potong tangan adalah sebahagian daripada undang-undang syariah yang diluluskan pada 1980, selepas ulama menggulingkan pemerintahan Shah Iran. 

Laporan media memberi isyarat hukuman itu diluluskan pemimpin kanan Iran walaupun tiada ulasan rasmi kerajaan mengenainya setakat ini. – AP

No comments:

Post a Comment