Pages

Monday, August 23, 2010

Mekanik temui buah betik pelik




ALOR SETAR 22 Ogos - Hasrat seorang mekanik untuk menikmati buah betik yang ditanamnya sebagai juadah berbuka puasa terbantut setelah mendapati buah betik tersebut lain daripada buah betik biasa.
Rosli Mat, 40, dari Alor Mengkudu di sini mendapati buah betik tersebut mempunyai sebiji lagi buah betik yang berukuran lima sentimeter di dalamnya.
Katanya, dia memetik buah tersebut tiga hari lalu setelah bahagian atas buah tersebut yang masak ranum dimakan burung.
"Saya buang bahagian yang dimakan burung dan mahu menikmatinya ketika berbuka nanti.
"Tiba-tiba saya nampak ada sebiji buah betik kecil berwarna putih di dalam buah betik yang masak lalu saya batalkan niat untuk makan buah ini," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pokok betik tersebut ditanam sejak dua tahun lalu di belakang bengkel membaiki kenderaan di Alor Mengkudu dan tidak pernah menjangka pokok tersebut mengeluarkan buah yang pelik.
"Saya membawa buah betik ini ke tempat kerja dan ramai rakan-rakan saya tidak percaya.
"Ada yang kata saya yang letakkan buah betik kecil di dalam buah tersebut namun setelah diteliti, mereka percaya dengan keanehan buah ini," ujarnya.
Tambah Rosli, dia menyimpan buah betik tersebut di dalam peti sejuk dan tidak berhasrat untuk memakannya.
"Buah betik ini memang lain daripada yang lain dan bijinya juga sedikit sahaja.
"Bukan senang dapat buah betik sebegini dan saya akan simpan sebagai kenangan," jelasnya.
ROSLI Mat menunjukkan buah betik pelik yang sudah dikupas di Alor Mengkudu, Alor Setar, semalam.

No comments:

Post a Comment