Pages

Monday, August 23, 2010

Lukisan van Gogh berharga AS$50 juta belum ditemui



Lukisan Van Gogh (gambar kecil) yang dilaporkan dicuri dari Muzium Mahmoud Khalil di Kaherah, kelmarin - Agensi



KAHERAH 22 Ogos - Menteri Kebudayaan Mesir, Farouk Hosni menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mendakwa polis telah berjaya menemui karya lukisan Vincent Willem van Gogh yang dicuri dari sebuah muzium di sini, semalam.
Katanya, ia berpunca daripada maklumat kurang tepat yang diterima polis dan usaha mencari lukisan itu akan diteruskan.
Semalam, Menteri itu mengumumkan polis telah berjaya merampas lukisan tersebut daripada pasangan warga Itali di lapangan terbang di sini beberapa jam selepas ia dicuri di Muzium Mahmoud Khalil.
Farouk, bagaimanapun hari ini menarik balik kenyataannya itu melalui berita yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan.
"Saya bercakap berdasarkan maklumat yang kami terima dan akhirnya mendapati ia tidak tepat.
"Pihak berkuasa akan meneruskan usaha mencari lukisan itu," katanya.
Punca kekeliruan tentang nasib lukisan itu masih tidak jelas dan beberapa pegawai yang dihubungi enggan mengulas tentang perkara tersebut.
Dalam pada itu, seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, kamera keselamatan di muzium berkenaan telah rosak sejak sekian lama.
"Kamera keselamatan dan alat penggera di muzium itu tidak berfungsi sejak sekian lama. Ia tidak dibaiki sehingga hari ini kerana kami gagal menjumpai alat gantinya," kata pegawai itu.
Ini merupakan kali kedua karya pelukis Belanda itu dicuri dari Muzium Mahmoud Khalil. Kali pertama pada 1978 sebelum pihak berkuasa berjaya menemuinya kembali di satu tempat yang dirahsiakan di Kuwait dua tahun kemudiannya.
Lukisan itu dikatakan dihasilkan pada 1887 dan van Gogh dipercayai mengambil masa 29 bulan untuk menyiapkannya sebelum beliau membunuh diri pada 1890 ketika berusia 37 tahun.
Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasilkan lebih 2,000 karya selain merupakan pelukis pertama memperkenalkan kesenian moden dalam setiap karyanya.
Menurut Farouk, lukisan yang dikenali dengan dua nama, Poppy Flowers dan Vase with Flowersitu bernilai AS$50 juta (RM157.16 juta). - AP

No comments:

Post a Comment