Pages

Monday, August 23, 2010

Pekerja kukuh benteng sungai


MANGSA banjir Pakistan berbaris panjang untuk menerima bantuan makanan di bawah Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sebuah khemah pemindahan mangsa banjir di Sukkar, wilayah Sindh, selatan Pakistan, kelmarin. - AP


HYDERABAD 22 Ogos - Para pekerja menempatkan beg pasir dan batu untuk mengukuhkan benteng sungai di selatan Pakistan berikutan paras air yang meningkat mengancam beberapa kawasan baru, hari ini.
Tiga pekan di daerah Thatta menghadapi bahaya banjir dan pihak berkuasa mula memindahkan kira-kira 150,000 penduduk dari kawasan rendah semalam.
Air Sungai Indus yang melimpah dijangka mengalir ke Laut Arab selepas melewati pekan-pekan tersebut.
Sekurang-kurangnya dua benteng di sepanjang sungai itu boleh pecah dan kini diperkukuhkan, kata pegawai Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana di wilayah Sindh, Hadi Bakhsh Kalhoro.
"Kami berharap air banjir akan terus mengalir ke delta tanpa mendatangkan banyak masalah di sini," katanya.
Banjir bermula pada akhir bulan lepas di barat laut negara ini berikutan hujan monsun yang luar biasa lebat, menyebabkan paras sungai melimpah sehingga menenggelami wilayah Punjab di timur dan wilayah Sindh di selatan.
Bencana itu meliputi kira-kira satu perlima daripada wilayah Pakistan, meningkatkan tekanan ke atas kerajaan awam yang turut menghadapi keganasan al-Qaeda dan Taliban.
Sekurang-kurangnya enam juta penduduk hilang tempat tinggal dan kehidupan 20 juta lagi rakyat terjejas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) meminta bantuan kecemasan berjumlah AS$460 juta (RM1.47 bilion) dan menjangka mencapai matlamat itu apabila skop bencana menjadi bertambah jelas.
Pakistan tidak mampu menangani krisis seumpama itu kerana ekonominya telah pun mendapat bantuan pinjaman berbilion-bilion dolar daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan kos pembangunan semula selepas banjir dijangka mencecah berbilion-bilion dolar lagi. - AP

No comments:

Post a Comment