Pages

Monday, August 23, 2010

Madu hidup bersama selepas kematian suami


MINAH Tik (kiri) dan Jainah Deso hidup bersama di Rumah Orang-Orang Tua Tanpa Waris di Kampung Muhibbah Peserai, Batu Pahat.


BATU PAHAT 22 Ogos - Hidup bermadu biasanya merupakan satu tamparan hebat bagi setiap wanita apatah lagi jika diminta tinggal sebumbung dalam suasana harmoni dan penuh kasih sayang.
Namun bagi Jainah Deso, 59, dan madunya Minah Tik, 62, tinggal sebumbung dan saling bergilir-gilir bersama suami tidak menimbulkan rasa marah kerana kasih sayang mereka mengatasi segala-galanya.
Kemanisan bermadu bagi mereka amat dirasai kerana tidak pernah bergaduh dan sentiasa hidup dalam aman dan tenang meski kehidupan tidak semewah orang lain.
Mereka sanggup hidup bersama dalam serba kekurangan dan sentiasa bantu membantu dalam segala hal meskipun suami tersayang, Abdul Aziz Hassan telah tiga tahun meninggal dunia akibat penyakit apendiks.
"Ketika arwah suami masih ada, kami tinggal bersama di sebuah rumah yang disewa di Batu 8 Jalan Tanjong Laboh. Kami tak pernah gaduh dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur," kata Minah yang merupakan isteri kedua.
Walaupun usianya lebih tua daripada Jainah, namun ia bukan batu penghalang untuk mereka hidup dalam keadaan harmoni serta aman tanpa sebarang persengketaan.
Minah berkata, setiap kali waktu memasak, mereka akan melakukannya bersama-sama dan tidak pernah timbul masalah dalam soal giliran bersama suami.
Jainah yang agak pendiam cuma tersenyum mengiakan kata-kata Minah dan sesekali menyampuk perbualan dengan berkata, hidup bermadu bukanlah sesuatu yang menyusahkan sekiranya ada kasih sayang dan tolak ansur serta saling memahami antara satu sama lain.
"Suami kami seorang yang baik dan pandai mengambil hati serta adil dalam setiap tindakannya walaupun kami hidup dalam serba sederhana," ujar Jainah.
Selama 10 tahun lamanya hidup bermadu dan tinggal sebumbung, kini mereka tetap tinggal sebumbung apabila ditempatkan di Rumah Orang-Orang Tua Tanpa Waris (ROTTW) di Kampung Muhibbah Peserai dekat sini.
Selepas sebulan suami mereka meninggal dunia, Jainah dan Minah ditempatkan di rumah jagaan itu kerana kehidupan mereka susah, tambahan pula Minah mengalami semput dan sakit jantung.
Kini mereka mendapat bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Sempena Ramadan ini, mereka amat bersyukur apabila dikunjungi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang menghulurkan pelbagai barangan keperluan harian seperti makanan dan barangan elektrik dan katil termasuk tilam dan bantal.
"Alhamdulillah sumbangan daripada MAINJ ini meringankan beban kami dan dapatlah kami hidup lebih selesa di sini," kata Minah.

No comments:

Post a Comment