Pages

Saturday, May 15, 2010

Ideologi: Analisa Perbandingan (Kajian dan sumber-sumber)


 by redzuan


Oleh:kritikalthink@yahoo.com

{وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}(الأنعام/153).

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain) itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”(Surah al-An’am 6:153)

Dalam penulisan ini hanya akan menyentuh konsep-konsep dan gagasan asas dalam memahami ideologi dan perbandingannya, terutamanya melalui kaca mata dan sudut pandang Islam. Konsep pertama untuk memahami perbandingan ideologi ialah perbezaan yang signifikan di antara aqidah Islamiah dengan ideologi. Ideologi secara ringkas adalah berasal daripada bahasa Greek cantuman dari kata ‘ideo’ dan ‘logos’. Ideo membawa pengertian pemikiran, manakala logos bererti ilmu. Dari segi istilah, ideologi dapat disimpulkan sebagai....

‘Satu keyakinan atau fahaman hasil dari pemikiran atau idea manusia sama ada dalam bentuk teori, falsafah, andaian dan sebagainya’.
(Pemikiran Islam dan Dunia Hari Ini:Senario Dunia Islam dan Strategi Menghadapi Cabaran Ummah-Mohd Nor Mamat)

Penyebaran ideologi dari barat secara ringkasnya, boleh dilihat melalui beberapa era tertentu seperti berikut;

a. Era Perang salib
b. Era penjajahan ke atas Negara-negara Islam (Kolonialisme)
c. Neo-kolonialisme (Penjajahan pemikiran)
d. Era-Misionari Kristian
e. Neo-modernisme
f. Era-Globalisasi (PascaModenisme)

Tujuan Penyebaran Ideologi pula ialah untuk
a. Memburukkan-burukkan Islam, agama dan umatnya
b. Menimbulkan keraguan terhadap kedudukan ummah pada masa kini dan masa hadapan
c. Merosakkan akhlak dan sahsiah ummah
d. Memasukkan budaya-budaya seperti materialisme, hedosnisme dan konsumerisme melampau dan lain-lain
e. Menonjolkan unsur-unsur pengetahuan dan ilmu moden yang merosakkan pemikiran dan akidah umat Islam.

Kajian terhadap perbandingan Ideologi adalah berkaitan dengan persoalan pemikiran dan falsafah (philososphical program). Ideologi-ideologi dari barat ini pada permulaannya berasal dari falsafah-falsafah yang telah dirangka dan dicipta oleh ahli falsafah dan pemikir barat yang kemudian telah dijadikan nilai (pegangan dan anutan dalam kehidupan) yang digelar sebagi isme-isme.. Sebagai contohnya, agama Hindhu dan Buddha bukanlah diiktiraf sebagai agama pada asal kelahirannya, tetapi apabila ia menjadi nilai dan anutan dalam keseluruhan kehidupan para pengikutnya, maka ia telah menjadi Hindhuisme dan Buddhisme iaitu sebagai anutan yang boleh diiktiraf sebagai agama kerana menyentuh perkara yang mendasar dalam hubungan manusia dengan tuhan (metafizik) dan alam. Begitu juga dengan falsafah-falsafah dari barat yang pada mulanya hanya falsafah yang berkaitan dengan moral, politik dan ekonomi yang kemudiannya diluaskan menjadi pegangan hidup seperti liberalisme, kapistalisme, komunisme, sosialisme dan lain-lain lagi.

Memahami ideologi dari konteks sejarah juga merupakan satu ciri yang amat penting untuk mengenali secara kritis dan analisis terhadap setiap aliran pemikiran (ideologi) yang berada di sekeliling kita. Bagi mengenali setiap ideologi-idelogi yang timbul dari barat kita perlu melihat dari sudut sosio-historis iaitu mengenali punca kelahiran aliran falsafah tersebut dan tokoh-tokoh pengasas bagi setiap aliran. Ini juga bersesuaian dengan saranan oleh Syed Hossien Nasr untuk mengenali dan memahami falsafah dan aliran-aliran pemikiran barat moden agar kita dapat memahami peradaban moden masa kini yang sedang mengawal percaturan dunia. Kita juga perlu mengenali sebilangan tokoh-tokoh intelektual dan pemikir barat agar kita mengenali gagasan-gagasan yang cuba diketengahkan oleh mereka supaya kita dapat mempertahankan aqidah umat Islam. Beberapa tokoh yang perlu dikenali seperti Francis Bacon (1561-1626), Rene Descartes (1596-1650), Thomas Hobbes (1588-1679), Benedict Spinoza (1632-1677), John Locke 1632-1704), Gottfried Wilhelm Leibnitz (1646-1716), George Berkeley (1685-17532), Francois Marie Voltaire (1694-1778), Jean Jacques Rousseau (1712-1778), David Hume (1711-1776), Immanuel Kant (1724-1804), Georg Frederick Hegel (1770-1831), Karl marx (1818-1883), Friedrich Nietzsche (1844-1900), Sigmund Freud (1856-1939), Betrand Russell 1872-1970), John Stuart Mill, Jean-Paul sartre (1905-1980) dan ramai lagi. Pemikir-pemikir inilah yang telah melahirkan berbagai-bagai gagasan dan falsafah yang kemudiannya menjadi ideologi yang mencabar dan menggugat akidah ummah. Oleh itu tujuan kita untuk mengenali mereka adalah bertujuan untuk melakukan segala persiapan bagi menangkis dakyah palsu ideologi yang mengelirukan pemikiran setiap generasi Islam masa kini.

World View (Pandangan Dunia) 
Kemudian untuk memahami persoalan ini kita perlu mengetahui maudhuk (skop) welstanchauung, world-view atau pandangan dunia yang boleh difahami secara ringkasnya seperti di bawah,

‘Kerangka atau sistem pemikiran yang menjelaskan dan mengatur makna asas terutamanya tentang Tuhan, alam dan manusia dan juga tentang hakikat hubungan manusia dengan alam, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan. Kerangka pemikiran atau sistem kepercayan itu, di fahami dalam konteks bidang falsafah sebagai weltanschauung, ia menentukan asas-asas penting dalam sesuatu peradaban itu. Kerangka tersebut mengariskan asas dari nilai dan aesestika individu hinggalah kepada asas masyarakat dan kemajuan sosial’.

Dalam sebuah buku yang telah ditulis oleh Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud menerangkan tentang Pandangan dunia Islam dengan lebih jelas lagi seperti berikut,

Pandangan dunia Islam dapat didefinisikan ke dalam dua peringkat. Peringkat pertama adalah seluruh penafsiran manusia terhadap dunia dan, kedua adalah tentang kehidupan kita di dunia, iaitu seluruh nilai yang dengannya seseorang hidup, dan ini membentuk satu masalah nilai. Pandangan dunia seseorang meliputi hal-hal seperti; sikap pendidikan, politik, falsafah dan nilainya (akhlak, moral, etika). Oleh itu satu pendefinisian pandangan dunia yang benar secara sistematik dan utuh adalah penting.......Pendefinisian pandangan dunia Islam perlu didasarkan pada al-Quran dan Sunnah serta sikap Nabi Muhammad s.a.w yang autentik (asli), juga merupakan suatu kriteria yang bernilai untuk mengevaluasi perjalanan sejarah Islam.”
(Konsep Ilmu dalam Islam-Wan Mohd Nor wan Daud)

Untuk kita memahami lebih mendalam lagi mengenai kajian terhadap ideologi, kita akan terlibat ke dalam perbahasan disiplin-disiplin ilmu seperti sosiologi, antropologi, sosio-politik dan sejarah. Oleh itu kita akan bertembung dengan persoalan pandangan dunia ini kerana ia merupakan persoalan asas dalam merangka pemikiran sesuatu bangsa atau agama yang kemudiannya akan terzahir sebagai nilai yang di anuti dalam kehidupan. Secara ringkasnya sesuatu pandangan dunia itu ialah ia dapat menjelaskan kerangka pemikiran sesuatu bangsa atau agama dan ia dapat dilihat melalui perkara yang terzahir seperti nilai-nilai yang di anuti dalam kehidupan secara individu atau masyarakat seperti akhlak, moral, etika, budaya yang dipraktikkan di dalam kehidupan sehari-harian.

Terdapat perbezaan yang jelas di antara pandangan dunia Islam dan barat. Pandangan dunia Islam atau world view Islam adalah berlandaskan al-Quran dan Sunnah iaitu terjelma melalui Hablum minallah (hubungan manusia dengan Tuhan yang Maha Esa) dan Hablum minannas (hubungan sesama manusia dan alam) iaitu manusia telah dijadikan sebagai hamba Allah dan dipertanggungjawabkan sebagai khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini dengan berpandukan kepada ikatan akidah Tauhid. Manakala pandangan dunia barat adalah terbentuk dan bertunjangkan kepada fahaman humanisme, materislistik dan rasionalisme iaitu memahami bahawa kehidupan ini berbentuk faham sekularisme iaitu tidak ada hubungannya dengan metafizik iaitu agama. Ilmu (sciene) sebagai rujukan asas dalam kehidupan telah dipisahkan dari sumber wahyu yang akhirnya akan menyebabkan manusia tidak mengenali jalan menuju Tuhannya.

Maka untuk mengenali dan menganalisa perbandingan ideologi kita perlu mengenali bangsa Eropah atau barat kerana dengan itu sahaja kita dapat mengenali dan mengetahui cara mereka berfikir atau bentuk dan kerangka pandangan dunia mereka. Sebagaimana segolongan ahli akademik yang mengkaji bangsa-bangsa timur terutamanya yang mengkaji agama Islam yang digelar sebagai orientalisme, yang mengeluarkan pandangan hasil dari kajian masing-masing sama ada bersifat akademis ataupun untuk menyerang Islam kembali, begitu juga kita sebagai umat Islam perlu menjalankan kajian dan analisa terhadap bangsa Eropah. Ini terbukti dengan saranan dari pemikir Mesir iaitu Hassan Hanafi melalui projek besar wawasannya yang dituntaskan dalam bukunya Oksidentalisme: Sikap kita Terhadap Tradisi Barat (2000), karya terjemahan buku berbahasa Arab Muqaddimah fi ‘Ilm al-Istighrab. Beliau memperkenalkan pendekatan baru dalam menghadapi perspektif ilmiah Orientalisme dan barat yang disebut sebagai Oksidentalisme. Oksidentalisme sebenarnya merupakan pendekatan yang berguna untuk membuka selubung ketidakjujuran oleh barat selama ini terhadap umat Islam. Ia adalah alternatif buat umat Islam moden dalam memandang barat dengan perspektif baru.


Faham Sekularisme
Kemudian kita perlu memahami makna yang terbaik bagi sekularisme. Sebelum ini kita hanya memahami makna sekularisme hanyalah sebagai memisahkan agama dari kehidupan harian tanpa mengenali akar dan asal-usulnya kewujudan fahaman ini. Faham sekularisme ini telah dihurai secara mendalam oleh Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas seperti berikut,

‘Sekular, dari bahasa Latin saeculum, bererti masa-kini, dan erti ini membayangkan pula maksud rujukannya kepada dunia yang sentiasa berubah-binasa ini, dan tiada kepada lain; dan juga kepada kehidupan duniawi. Kehidupan duniawi terbayang sebagai senantiasa menempuh perubahan, dan insan pun-menurut faham yang sekular-harus menyelaraskan diri berubah mengikut perubahan yang ditempuhnya. Masyarakat dan negara merupakan punca segala hasrat insan dan faham sekularisme berdasar-punca kepada dunia dan masyarakat dan negara jua. Menuju ke arah kehidupan sekular bererti ‘pembebasan’ insan dari asuhan agama dan faham-faham yang menetap mengenai Hakikat Semesta;dia juga bererti ‘penolehan’ pandangan insan berkisar dari alam-alam lain nescaya menetap kepada alam yang nyata ini belaka, yakni kepada dunia belaka. Pengertian yang terkandung dalam istilah sekular dan segala bentuk penggunaannya termasuk faham yang digelar sekularisme itu mengutamakan dunia belaka sebagai segala rujukan peranan insan; dan kepada kebebasan insan untuk merubah segala dasar kepercayaannya nescaya disesuaikan hanya untuk zamannya bagi muslihat dirinya masing-masing mengikut zamannya. Maka faham sekular merujuk kepada faham masa dan peredarannya yang diiringi oleh perubahan nilai dan sikap dan cara hidup. Faham sekular ini seakan-akan sama maksudnya dengan faham al-hayat al-dunya sebagaimana yang terbayang dalam pengertian dalam bahasa Arab dan agama Islam. Dunia (dari akar kata DNW) bererti sesuatu (kehidupan) yang telah didekatkan yang menyatakan sifatnya dalam ruang dan masa. Maka insan yang singkat pandangannya akan melihat kepada yang dekat tanpa melihat atau menghiraukan yang lain, yakni yang jauh,yang terakhir-iaitu Akhirat. Faham sekular menentang faham agama dan akidah-akidah menetap, kerana dia mengisbatkan hanya dunia dan menganjurkan kebebasan insan mengubah akidah dan nasibnya sendiri dan menentang sebarang penetapan dalam kepercayaan dan cara hidup beragama. Dari itu maka dia bertentang dengan Islam, bagaimanapun ditilik pengertiannya.’
(Islam: Faham Agama dan Asas akhlak-Syed Muhammad Naquib al-Attas)

Mengapa kita perlu memahami dengan mendalam tentang faham sekularisme ini adalah kerana kesemua aliran pemikiran barat adalah bertunjangkan kepada falsafah humanisme (menjadikan manusia sebagai fokus utama dalam kajian ilmu) yang kemudiannya melahirkan zaman pencerahan (Enlighment- iaitu satu zaman semasa berlakunya gerakan Renaissecan dan Reformation pada abad ke-11 hingga ke 17) atau bertunjangkan kepada faham rasionalisme (logik akal semata-mata). Iklim (ilmu)atau suasana Eropah ketika itu dipengaruhi oleh faham saintifik dan empiricisme iaitu satu budaya fikir yang menekankan epistemologi (falsafah ilmu) berdasarkan bukti yang nyata dan zahir sahaja semata-mata dan mengenepikan asas selain itu, terutamanya metafizik (teks agama). Ini bermaksud teks-teks agama seperti kitab al-Quran dan al-Sunnah tidak diiktiraf sebagai sumber yang sahih atau yang boleh dipercayai dalam kaedah memahami segala bidang ilmu. Peristiwa seperti ini adalah berlaku kerana tindak balas para ilmuan barat yang terpengaruh dengan falsafah logik Aristotalisme terhadap pihak gereja yang terlalu mengongkong suasana keilmuan pada ketika itu (yang penuh kepercayaan terhadap dogma-dogma ajaran kristian yang menyeleweng) . Maka pertembungan kedua-dua golongan inilah yang menyebabkan para ilmuan barat menyatakan bahawa pentadbiran dunia ini tidak memerlukan lagi campuran tangan pihak gereja (agama).
Memahami asal-usul, ciri-ciri, sifat-sifat pergerakan sekularisme dan ancamannya iaitu pergerakan sekularisasi merupakan salah satu tugas penting bagi kita untuk mempertahankan akidah ummah. Secara ringkasnya, kefahaman dan pendirian kita terhadap sekularisme dan sekularisasi dapat dijelaskan sama seperti pendirian al-attas dan al-Qardhawi seperti berikut

Sekularisasi secara menyeluruh (as a whole) bukan sahaja satu ungkapan yang jelas-jelas tidak mensifatkan pandangan dunia Islam, tetapi juga telah dirancang untuk menentang Islam. Oleh itu Islam menolak secara total manifestasi yang jelas dan juga yang samar serta matlamat akhir proses sekularisasi itu. Kerana itu orang-orang Islam mesti menolaknya dengan sekuat tenaga dimana sahaja mereka menemuinya sama ada di kalangan mereka sendiri ataupun dalam minda mereka kerana hal itu laksana racun yang mematikan iman.
(Risalah untuk Kaum Muslimin-Al-attas)

Oleh kerana itu, Islam dan sekularisme selalu bertarung lebih dari satu aspek, Islam mesti bertarung dalam setiap sisi dari tempat sisi ajarannya yang pokok, yakni akidah, ibadah, akhlak dan undang-undang.
(Sekular Ekstrem-Yusuf al-Qardhawi)


Cabaran Dunia Islam Masakini
Fenomena Penjajahan Pemikiran telah banyak diperbincangkan oleh pejuang-pejuang gerakan Islam, intelektual, cendiakawan dan pemikir Islam sebelum kita, di antaranya ialah oleh Taha Jabir al-‘alwani dalam bukunya Krisis Pemikiran Moden. Beliau menegaskan terdapatnya permasalahan asas terhadap pemikiran umat Islam kini iaitu qadhiyyah al-ghazwu al-fikri (masalah serangan pemikiran). Menurut beliau serangan pemikiran ini memiliki pasukan, persenjataan, korban, medan pertempuran, pahlawan dan kerjasama. Kelompok ini menegaskan tentang kekaburan pemikiran, kebudayaan dan tamadun dan kemungkinan terpisah dan terkurung di dalam tempat dan satu masa. Sebagai contohnya ideologi Komunisme yang dipegang dan di sokong oleh Kesatuan Soviet (telahpun runtuh) dan ideologi Kapitalisme yang dipegang oleh Amerika syarikat mempunyai ciri-ciri seperti yang telah diterangkan di atas.

Beberapa persoalan yang kini timbul seperti Islam Liberal, Islam Moderat, sosialisme
Islam, Islam adalah sama dengan Demokrasi, ekonomi Islam ialah tolak riba’ tambah zakat dan tidak ada bezanya dengan ekonomi kapitalisme dan sosialisme. Hak asasi manusia dan Islam, hak-hak wanita dalam Islam, hak-hak buruh dalam Islam dan berbagai-bagai lagi persoalan yang palsu cuba dibangkitkan oleh musuh-musuh Islam bagi mengelirukan umat Islam, seakan-akan persoalan ini tidak pernah wujud dalam Islam dan tidak pernah diberikan perhatian yang sepatutnya oleh Islam. Musuh Islam ingin mengekalkan kekuasaan mereka ke atas setiap individu muslim supaya terperangkap dalam keraguan-raguan (skeptikal) terhadap ‘Kalimatul Haq’ (kalimah yang benar) iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t dengan berpegang kepada syariah-Nya, iaitu dengan melambakkan pelbagai ideologi seperti yang kita temuinya dalam dunia moden kini seperti liberalisme, kapiltalisme, sosialisme, komunisme, positivisme, utilitianisme, nominalisme, humanisme, rasionalisme, sekularisme, pragmatisme, materialisme, zionisme, nasionalisme, modenisme, postmodenisme dan berbagai-bagai lagi fahaman ideologi yang sesat dan awal-awal lagi telah pun gagal semasa di praktikal di barat lagi. Inilah yang dikatakan serangan pemikiran yang melanda dunia umat Islam sehingga umat terbelenggu dengan masalah Inferiority complex iaitu sifat merendah diri yang keterlaluan dan tidak berasas, kemudian datang pula kuasa imperialisme barat dengan slogan karut ‘White Men Burden’ (Beban Orang Putih) untuk mentamadunkan umat Islam bagi melindungi niat mereka dalam melebarkan hegemoni kuasa barat.

Masalah peperangan antara ideologi dengan pegangan akidah tauhid umat Islam yang suci ini kini semakin hebat tanpa kita sedari dalam perjalanan alaf baru ini. Peristiwa yang berlaku di sekeliling kita kini adalah berpunca kepada pertembungan antara agama dan ideologi iaitu dengan lebih jelas lagi antara Islam dan sekular. Sebagai contoh di dalam bidang pendidikan, kita telah pun terlibat di dalam permasalahan ini, di mana berlakunya proses sekularisasi, seperti dualisme pendidikan iaitu berlaku pemisahan di antara pendidikan aliran agama dengan pendidikan pemerolehan (sciene) yang tidak mengambil teks agama sebagai rujukan utama.
Melalui kehidupan sosial pula, sekularisasi menyerang melalui cara dan gaya hidup modeniti hasil dari faham modenisme iaitu dengan menolak amalan-amalan beragama, memperjuangkan kebebasan tanpa batas dan norma-norma agama, kehidupan yang bertunjangkan hedonisme, materialistik, feminisme dan konsumerisme melampau. Dalam bidang politik pula kita melihat berlakunya dilema, iaitu menyatakan politik adalah sesuatu yang kotor. Kata-kata seperti ini jelas menolak akan kesyumulan Islam, kaedah yang digunakan oleh ahli-ahli politik sekular ini ialah berdasarkan kaedah “The End Justifies the Means” atau “Matlamat Menghalalkan Cara”. Seperti mana yang dinyatakan oleh Prof. Muhammad Abu Bakar dari pendekatan ini melahirkan ungkapan dan deskripsi seperti “Pendekatan Machiavelli” (Machiavellian Approach), “Taktik Machiavelli” (Machiavellian Tactics) dan “Politik Machiavelli” (Machiavellian Politics) yang bertujuan menerangkan pelbagai adegan dan aliran termasuk taktik kotor, yang dipergunakan oleh manusia dalam politik. Malah pemikiran dan perlakuan ini menjadi sebahagian daripada politik itu sendiri, seolah-olahnya tanpa pendekatan, taktik dan pembabitan politik kotor ini, politik sebagai satu bidang kehidupan yang tidak wujud. Sehingga kini, persoalan inilah yang menguasai percaturan politik dunia.

Melalui dua penulisan yang mendahului dalam menjangka perkara yang berlaku menjelang alaf baru atau abad ke 21 ini ialah The Clash Of Civilisation and The Remarking of World Order oleh Samuel P. Huntington (1997) dan ‘The End History an The Last Men’ oleh seorang futuris A.S iaitu Francis Fukumaya (1992). Setelah mengkaji kekuatan dan kelemahan tamadun barat, kedua-dua penulis ini telah memberi amaran kepada tamadun barat bahawa pada abad ke-21 ini, mereka akan berdepan dengan kebangkitan Islam dan berdasarkan sejarah apabila berlaku pertembungan dua tamadun iaitu antara tamadun barat dan Islam akan berlaku pergolakan budaya yang kemudiannya memperlihatkan keunggulan tamadun Islam (seperti dalam peristiwa peperangan Monggol ke atas kota Baghdad). Oleh itu sebelum fenomena ini benar-benar berlaku, mereka perlu menyusun strategi untuk menyerang Islam dan menghancurkannya sehingga ke akar umbi, melalui fenomena yang dinamakan dengan globalisasi iaitu sebagai sebuah wasilah halus era-Kolonialisasi baru melalui kekacauan revolusi informasi atau ledakan maklumat (information technology)).

Setiap peristiwa yang berlaku di sekeliling kita sebenarnya telah lama dirancang oleh puak kuffar. Mereka merancang, merencana dengan berbagai cara untuk melakukan tipu daya terhadap agama Islam, dan tugas kita untuk mempertahankan akidah umat Islam ialah dengan sedaya upaya untuk menangkis serangan demi serangan kerana tidak dapat tidak kita telah pun menyertai peperangan ini.

Epilog
Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Fathi Yakan iaitu Konsep Penguasaan Dalam Kehidupam Dakwah dan Pendakwah dalam perkara yang berhubung dengan penguasaan haraki iaitu menguasai tabiat kawan dan lawan dengan sempurna di samping menguasai tuntutan-tuntutannya seperti berikut

‘Di antara kesalahan yang paling buruk dan merbahaya besar kepada dakwah dan pendakwah ialah kejahilan dan tidak mengetahui tabiat kawan dan lawan, tidak tahu membezakan yang mana musuh yang mana kawan, tidak tahu matlamat, wasilah, prinsip, peralatan, perencanaan, pergerakan, siasah, tokoh, pimpinan dan individu pihak musuh. Gerakan yang tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya, tidak bijak mengklasifikasikan orang-orang di sekelilingnya adalah gerakan yang gagal, pasti akan gugur, terdedah kepada penumpasan dan penghapusan oleh pihak musuhnya. Gerakan Islam kini hidup dalam satu zaman di mana musuhnya kian banyak, begitu juga cara tipu helah yang berbagai bentuk dan jenis. Sekiranya gerakan Islam tidak jelas manakah jalan yang akan dilaluinya, tidak menentu tempat-tempat ia akan berpijak, tidak berhati-hati dan berwaspada ditambah pula dengan semangat ingin ke depan dan berani (yang melulu), ia akan terdedah kepada kejatuhan di pertengahan jalan dengan tidak dapat memelihara kekuatannya atau tidak dapat mencapai sebarang sasaran”
(Fathi yakan)

Oleh itu tugas kita sebagai umat Islam ialah dengan mengenal pasti setiap sudut keperluan umat Islam dan merangka suatu kaedah alternatif bagi umat Islam agar tidak terus terbelenggu kepada tipu daya-tipu daya ideologi.

“Satu-satunya wasilah atau jalan untuk memantapkan kebenaran yang kita serukan ialah menampilkan pilihan Islam bagi segala yang telah dikemukakan oleh Barat. Mencuba merangka dan menjayakannya. Di dunia barat berkembang pemikiran politik, ekonomi, sosial, hukum, pendidikan, kemanusiaan, falsafah, metodologi, dan kebudayaan barat. Di atas semua dasar pemikiran tersebut, tamadun barat hari ini dengan seluruh bidangnya, ditegakkan. Kenyataannya beberapa bidang berjaya ditegakkan secara meyakinkan, tetapi bidang-bidang lainnya mengalami kemunduran bahkan kegagalan parah. Cabaran Islam tidak akan dijangka kecuali dengan memberikan berbagai pilihan cemerlang dan unggul dalam seluruh bidangnya: pemikiran, kebudayaan, pengetahuan, dan tamadun, selain harus mengukuhkan kejayaan dan keunggulan ini di dalam tamadun yang tegak di atas pemikiran, kebudayaan dan pengetahuan Islam. Dari celah-celah badan-badan, sistem, dan wasilah ini kemudian pemikiran Islam wujud secara nyata yang di atasnya tamadun Islam tertegak. Hanya dengan ini kita dapat berkata, “Inilah kami datang lagi.” Dengan demikian, kebangkitan kita menjadi kebangkitan yang sebenarnya, bukan sekadar impian.”
(Krisis Pemikiran Moden-Taha Jabir al-Alwani)

Sebagai kesimpulannya, tugas kita sebagai pendokong Islam bukan hanya tertumpu pada satu-satu aspek sahaja tanpa melihat kepada permasalahan dalam bidang-bidang lain yang penting dalam segenap kehidupan. Peranan bagi setiap umat Islam ialah menguasai dan melengkapkan diri dengan sebaik mungkin kefahaman terhadap konsep ad-din, ibadah, ilmu, syariah, akhlak, sirah, dakwah, pendidikan, siasah, ekonomi, kebudayaan dan kesenian Islam untuk memenuhi tuntutan Daulah Islamiyah demi mengelakkan kekeliruan yang cuba dipergunakan oleh musuh-musuh Islam. Kita perlu benar-benar mengenal pasti Turath (warisan) Islam dengan Turath yang batil yang ditawarkan oleh ideologi-ideologi sesat terhadap para pemuda dan pemudi Islam dengan menetapkan iman dan keyakinan mereka yang teguh serta optimis terhadap Islam. Kita amat memerlukan pengkaji-pengkaji sosial, agar segala tindakan kita terpandu dan tidak mudah terpedaya dengan slogan palsu dari falsafah dan ideologi barat.

____________________

Rujukan :
Islam dan Sekularisme & Islam:Faham Agama dan Asas Akhlak- Syed Muhammad Naquib al-attas
Kejatuhan Ideologi Materialisme dan Agenda Pengisian Islam-Anwar Al-Jundi
Krisis Pemikiran Moden-Taha Jabir al-‘alwani (IIIT)
Sistem-sistem Islam: Satu Analisa Perbandingan-Abu Urwah
Strategi Musuh Menentang Islam-Dr Sa’adduddin al-Sayyid Salih
Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya “Al-Hulul al-Mustawradah wa Kayfa Jaat “alaa Ummatina” (Bagaimana penyelesaian yang Diimport Menjejaskan Ummah Dengan Teruk)
Gerakan Keagamaan dan Pemikiran (Akar Ideologis dan Penyebarannya), WAMY
Dakwah Islam dan Ideologi Barat;Ancaman Postmodenism terhadap umat Islam-Ghazali Darusalam
Tamadun Islam Alternatif Masa Depan-Dr Yusuf al-Qardhawi
Orientalisme: Kesan Pemikirannya terhadap Tamadun Islam-Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq
Krisis Pemikiran Islam-Dr’Abdul Hamid Abu Sulayman (IIIT)
Penghayatan Sebuah Ideal; suatu tafsiran Tentang Islam Semasa Muhammad Abu Bakar
Tugas Cendiakawan Muslim-Dr Ali Shariati
Menjelajah Dunia Modern: Bimbingan untuk kaum Muda Muslim-Seyyed Hossein Nasr
Konsep Ilmu dalam Islam-Wan Mohd Nor wan Daud
Pemikiran Islam dan Dunia Hari Ini:Senario Dunia Islam dan Strategi Menghadapi cabaran Ummah-Mohd Nor Mamat
Ahzab Moden & masa Depan Islam-Mustafa Kamil Ayub, Riduan Mohd Nor
Penguasa:Surat Seorang Negarawan Kepada Pemimpin Republik-Niccolo machiavelli (Diterjemahkan oleh Muhammad Abu bakar)
Jurnal Iqtisaduna:Wacana Ekonomi Islam-Forum Liwa’ Ul-haq
Kepincangan Umat Kini: masalah dan Penyelesaian-Dr Yusuf Al-Qardhawi
Terorisme Global dan Pengganas Agama: Cabaran Hidup Beragama Pada Alaf Baru-Shahrom TM Sulaiman
Apa itu Islam dan Tanggungjawab Kita terhadapnya-Dr Yusuf Al-Qardhawi
Strategi Dunia Isloam Abad ke-21-Ziaudin Sardar
Perubahan paradigma Nilai:Ke Arah Tranformasi Sosial dan Pembentukan Malaysia Baru-Abd Rahim Abd Rashid
Konsep Penguasaan dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah-Fathi yakan
Penghayatan Sebuah Ideal:Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa-Muhammad Abu Bakar
Oksidentalisme VS Orientalisme: Mencari Alternatif wadah Sastera-Shaharom TM Sulaiman
Orientalisme-Edward Said
Skop Sejarah dan aliran Pemikiran Islam (Jurnal Usuluddin APIUM) -Mohd kamil Hj Ab Majid
Pemikiran Islam Tentang Konsep Perubahan sosial (Jurnal Usuluddin APIUM)-Mohd kamil Hj Ab Majid
Peranan Akidah dalam Perancangan Pembangunan Ummah:Satu Analisis dalam Konteks Masyarakat Kini (Jurnal Usuluddin APIUM)-Mohd Fauzi Hamat
Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam: KeArah Pembinaan Sebuah Tamadun Alaf Ketiga-Dr Hashim Bin haji Musa
Protokol-protokol Mesyuarat Para Pemimpin Ilmuan Zionis Dengan Prakat dan Nota-nota Penjelasan- Diterjamah dari teks bahasa Rusia ke bhasa Inggeris oleh Victor E. Marsden
Wanita Menurut Syariat Islam Dan Peradaban Moden-Dr Mustasa Sibai
Ke Arah Antropologi Islam (Definisi, dogma dan Tujuan)-dr Akbar S. Ahmad
Islam Dalam Perhubungan Antarabangsa- Ali Ali Mansur-Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid
Pemikiran Islam Di Malaysia:Sejarah dan Aliran-Abdul Rahman Haji Abdullah
Ke Arah Revolusi Islam-Kalim Siddiqui

No comments:

Post a Comment