Pages

Saturday, May 15, 2010

Melayu Hancur Kerana Dadah, Cina Kerana Seks

 by Ayub


Oleh: Lanh

Perbualan saya dengan seorang pembantu perubatan sebuah klinik komuniti yang kerap bertugas di pusat serenti mendedahkan satu hakikat menakutkan.

Katanya, pada tahun 1990 dulu dia bertugas di Pusat Serenti Tampin. Pusat itu menampung 3,000 penghuni, 90 peratus daripadanya Melayu, 75 peratus daripada mereka HIV positif!

Itu dulu, keadaan sekarang tentulah lebih teruk, kata pembantu perubatan berbangsa Cina itu.

Beliau mendakwa gejala dadah sekarang terlalu serius. Dakwaan menyatakan ada sejuta penagih ada kebenarannya dan paling malang sekali kebanyakannya orang Melayu.

Apabila berjinak-jinak dengan dadah dan berkongsi jarum, penagih terdedah kepada HIV dan Aids. Mereka ini adalah bangkai hidup - menunggu masa saja untuk mati, katanya yang kerap mengendalikan kes korban HIV ini.

Berlainan dengan pemuda Cina, katanya, jumlah yang mati kerana dadah tidaklah 'sehebat' orang Melayu. Malangnya, ramai pemuda Cina mati akibat Aids dan HIV yang didapati melalui seks rambang.

Pemuda Cina, katanya, sama ada yang berjaya atau gagal dalam bisnes, ramai yang jadi kaki mabuk dan perempuan. Untuk meraikan sesuatu kejayaan, mereka adakan pesta di mana perempuan dan arak menjadi mainan.

Bagi yang gagal katanya, mereka juga menjadi kaki botol dan akhirnya terdampar di katil bersama-sama perempuan murahan. Mereka terdedah kepada jangkitan HIV dan Aids.

Sama ada pemuda Melayu yang kaki dadah atau lelaki Cina yang kaki perempuan, ramai daripada mereka HIV positif dan menunggu masa saja untuk mati, dakwanya.

"Saya salah seorang daripada kakitangan kementerian yang terpaksa menguruskan mereka. Hari ini kita bercakap dengan mereka (mangsa HIV), tahu-tahu esok lusa mereka sudah tiada," katanya.

Ketika masalah penyalahgunaan dadah semakin buruk di kalangan rakyat Malaysia, Majlis Peguam Malaysia pula mengesyorkan agar hukuman mati dihapuskan. Pihak ini berpendapat pelaksanaan hukuman itu tidak memberi kesan kepada kadar jenayah berat Malaysia. Majlis Peguam berhujah kerajaan perlu menghargai nyawa rakyat.

Resolusi Majlis Peguam dalam mesyuaratnya yang ke-60 baru-baru ini menyebut bahawa hukuman gantung perlu dimansuhkan dan semua hukuman baru dibekukan sehingga satu keputusan dicapai untuk memansuhkannya.

Perangkaan menunjukkan sejak 1970, seramai 359 penjenayah di Malaysia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan 159 lagi menunggu pada pelbagai peringkat rayuan dan pelaksanaan sebelum menjalani hukuman sama.

Di seluruh dunia 76 negara masih mengamalkan hukuman mati. Malaysia salah satu daripadanya.

Sejumlah 122 negara sudah memansuhkannya. Alasan pembatalan hukuman mati sangat menarik untuk dibincangkan. Sebahagiannya berkaitan tuntutan pergerakan hak asasi manusia manakala yang lain melihatnya tidakan zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Resolusi Majlis Peguam sebahagiannya dilihat sebagai memenuhi kehendak antarabangsa yang melihat dunia kini tanpa sempadan (globalisasi) termasuk dari segi hukuman ke atas pesalah.

Hakikatnya di Malaysia, hukuman mati hanya membabitkan beberapa kesalahan jenayah, antaranya bunuh, pemilikan dan penggunaan senjata api, selain bagi kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Satu lagi kesalahan membabitkan hukuman gantung ialah mengedar dadah. Membatalkan hukuman mati ke atas kesalahan membabitkan dadah memerlukan kajian menyeluruh dan penelitian sangat mendalam. Majlis Peguam sudah menyatakan pendirian, tetapi bagaimana pula pandangan ulama, cendekiawan, tokoh masyarakat dan pemimpin?

Dalam keadaan negara mengenakan hukuman mati ke atas kesalahan mengedar dadah, penyakit masyarakat membabitkan bahan ini, terutama di kalangan muda-mudi amat kronik, tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi jika hukuman ini dimansuhkan.

Dengan tiadanya hukuman keras, pelaku kesalahan tidak akan takut kerana mereka tahu tidak akan dikenakan hukuman mati. Sehubungan itu, menjadi kebimbangan jika pengedar semakin berani, sekali gus menyebabkan wabak penagihan dadah semakin tidak terkawal dan merosakkan masyarakat dan negara.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, termasuk desakan antarabangsa, hampir pasti kepimpinan kerajaan Malaysia tidak dapat duduk diam berhubung isu ini. Dikhuatiri lambat-laun mereka akan terpaksa tunduk kepada desakan dan agenda antarabangsa ini.

Di sinilah pentingnya, masyarakat dan kepimpinan Islam seluruh dunia kembali kepada Islam bagi mencari jalan penyelesaian. Islam sudah menggariskan jalan penyelesaian dengan hukum-hakamnya, malangnya ia tidak terpakai di hampir semua negara umat Islam.

Namun, alangkah indahnya jika umat dan negara Islam seluruh dunia dapat bersatu padu dalam melaksanakan hukum Allah, sekali gus berganding bahu menolak sama sekali agenda pergerakan hak kemanusiaan Barat yang mencanangkan kononnya cara mereka adalah yang terbaik dan perlu diguna pakai oleh semua orang, masyarakat dan negara seluruh dunia!

No comments:

Post a Comment