Pages

Sunday, December 7, 2014

Lelaki Paling Gemuk Di Dunia Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Paru-Paru


Diterbitkan: Jumaat, 5 Disember 2014 7:56 PM
Keith Martin.

SEORANG rakyat Britain yang digelar sebagai lelaki paling gemuk di dunia, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru. Berita mengenai kematiannya didedahkan pada Jumaat.
Keith Martin yang mempunyai berat 444.52 kilogram, meninggal dunia kerana penyakit pneumonia, iaitu jangkitan paru-paru akibat masalah berat badan.
Kematian Keith pada usia 44 tahun hanya lapan bulan selepas dia berjaya menjalani pembedahan bariatrik bagi mengatasi masalah obesiti dengan membuang tiga perempat daripada perutnya. 
Pakar bedah pada Jumaat berkata, beliau yang cuba menyelamatkan nyawa Keith dengan melakukan pembedahan pengurangan berat badan, telah menggesa kerajaan supaya menaikan cukai bagi makanan segera.
Keith yang merupakan seorang penganggur mempunyai berat badan berkenaan selepas mengamalkan pengambilan makanan segera yang murah dengan banyak.
Dia boleh mendapat 20,000 kalori sehari, hampir 10 kali ganda daripada bilangan yang disyorkan, dengan mengambil enam telur goreng untuk sarapan pagi, kemudiannya piza, kebab, makanan Cina dan Big Macs untuk makanan tengah hari dan makan malam, serta enam cawan kopi dan dua liter minuman berkarbornat.
Keith turut mengambil sandwic, coklat, kerepek kentang, manisan dan biskut. Pakar bedahnya, Kesava Mannur berkata: "Keith, seperti kebanyakan yang lain, mengalami masalah emosi dan dia menjadikan makanan itu sebagai keselesaannya.
"Amalannya itu bukan sesuatu yang baharu, tetapi apa yang baharu adalah begitu mudah orang ramai dalam keadaan itu dapat membeli banyak makanan ringan yang murah."
Keith yang meninggal dunia pada Mac lalu meninggal dua kakaknya, Sharon dan Tina yang menjaganya selama beberapa tahun sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya.
Tina berkata: "Kami masih sedih. Kami amat merinduinya."
Pembedahan yang dijalani Keith dirakamkan untuk sebuah dokumentari bertajuk '444.52 Kilogrram dan Hampir Maut' untuk saluran Channel 5.
Mannur berkata: "Kerajaan perlu menjadikan harga makanan segera yang tidak sihat lebih mahal.
"Jika tidak kita akan terus melihat lebih ramai orang seperti Keith. Sejak beberapa tahun lepas, saya telah merawat beberapa orang yang mempunyai berat antara 285.76 dan 381.02 kilogram," kata Mannur. - mirror.co.uk

No comments:

Post a Comment