Pages

Wednesday, August 20, 2014

Wajah Sebenar ISIS Terbongkar!



Bendera ISIL




Nama ISIS atau ISIL tetiba popular dan menjadi sebutan harian media apabila mereka didakwa menakluk Mosul pada 10 Jun 2014. ISIL (Islamic State in Iraq and Lavent) atau juga dikenali sebagai ISIS (Islamic State in Iraq and Syria). Dua istilah ini terjadi apabila diterjemahkan dari nama Arabnya “al-Dawlah al-Islāmīyah fī al-ʻIrāq wa-al-Shām”. Syams secara mudahnya diterjemahkan kepada Syria tetapi secara sejarahnya meliputi Syria, Jordan, Lebanon bahkan Palestin. Sebelum terbentuknya Negara-negara tersebut selepas Perang Dunia Pertama, kawasan ini dikenali sebagai Levant atau Mediterranean Timur.



Ia menjadi sangat menarik apabila kumpulan ISIS yang dikatakan tidak lebih dari 1000 anggota mampu menghalau keluar lebih 30,000 tentera Iraq yang dilatih oleh Amerika. Bahkan tentera Iraq dikatakan lari lintang-pukang meninggalkan senjata dan kenderaan tentera. Keanggotaan ISIS di seluruh Iraq pada akhir 2012 dianggarkan hanya 2500 orang.


Perkara ini menarik perhatian Perdana Menteri DS Najib sendiri apabila dalam ucapan beliau sempena 20 tahun UMNO Bahagian Cheras meminta ahli UMNO mencontohi keberanian ISIS “yang hanya 1300 orang berjaya mengalahkan 30,000 tentera Iraq, bahkan general Iraq lari ikut tingkap di waktu malam”.


Lebih menghairankan, kumpulan ISIS yang dikatakan sedikit itu terus mara dengan pantasnya menguasai utara dan barat Iraq. Dalam masa seminggu mereka telah berada di sekitar Baghdad, hampir 400 km dari Mosul. CNN pada 18 Jun 2014 melaporkan pertempuran dengan ISIS berlaku di Baquba, 40 minit dari Baghdad.


Hampir semua media utama banyak memberi liputan kepada kejayaan ISIS `menguasai’ bandar-bandar Iraq diselang-seli dengan imej ISIs sebagai golongan pengganas yang kejam, memotong kepala dan anggota badan, membunuh orang awam tanpa sebab serta melaksanakan `undang-undang Islam yang ketat dan tidak berperikemanusiaan’. Ringkasnya media menggambarkan bahawa Iraq kini sedang diancam oleh segolongan pengganas yang jahat.


Namun media terlupa atau seolah-oleh sengaja mengelak untuk menilai bagaimana mungkin ISIS mampu berbuat itu semua, itu pun jika ia benar dilakukan oleh ISIS. Atau logikkah untuk ISIS berbuat itu semua?


Media faham benar psikologi masyarakat yang hanya mengambil tajuk besar (headlines) dan gambaran umum yang disogokkan. Masyarakat tidak begitu memberi perhatian kepada perkara detil.
Keadaan umat Islam diseluruh dunia yang ditindas, dizalimi bahkan dibunuh tanpa ada pembela pula menyebabkan wujudkan kekosongan dalam keberanian melawan musuh Islam. Umat Islam ketandusan `hero’. Sebab itu bilamana ada saja sesiapa atau segolongan yang berani melawan musuh Islam atas nama Islam, ramai umat Islam dengan mudah menyokong mereka tanpa mengenali siapakah `hero’ itu sebenarnya. Ini berlaku sejak kejayaan revolusi Iran. Iran tiba-tiba menjadi kiblat pejuang Islam sehinggalah mereka kenal siapakah Syiah sebenarnya. Begitu juga tidak kurang yang menyokong Saddam Hussin melawan Amerika dalam Perang Iraq Pertama dan Kedua. Dia menjadi hero kerana berani melawan Amerika walaupun dia sendiri seorang yang zalim terhadap rakyatnya. Kini konflik di Iraq begitu teruk dan bercelaru sehingga seolah-olah tiada harapan untuk umat Islam Iraq. Tiba-tiba nama `ISIS’ keluar sebagai pembebas dari kerajaan Syiah Maliki. Ramai yang terus menyokong tanpa mengenali siapakah ISIS.


[Sejarah ISIL]


Kebanyakan analisa mengatakan ISIS berasal dari kumpulan `al Qaeda in Iraq’ (aQI) yang ditubuhkan setelah Amerika menakluk Iraq pada 2003. Diketuai oleh Abu Musab Al Zarqawi, yang berasal dari Jordan, aQI mengambil pendekatan yang keras bahkan kekadang menyalahi syara’ seperti membunuh secara kejam tanpa bicara sesiapa yang disyaki menjadi tali-barut Amerika, cuba menggagalkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Iraq dengan menculik dan membunuh aktivis kemanusiaan serta melakukan serangan untuk melagakan Sunni dan Syiah di Iraq. Fahaman mereka yang keras langsung menolak Syiah sebagai kafir. Tindakan ekstrim ini menyebabkan mereka ditolak oleh rakyat Iraq bahkan tidak dipersetujui oleh pimpinan Al Qaeda Global (aQG) termasuk Osama bin Laden sendiri. Hubungan aQI dengan aQG mulai renggang dan akhirnya diputuskan pada Februari 2014.


Abu Musab Al Zarqawi



Zarqawi terbunuh dalam serangan udara Amerika pada Jun 2006 dan diganti oleh Abu Ayyub Al Masri yang kemudiannya menguna-pakai nama Islamic State of Iraq (ISI). Namun Abu Ayub pula terbunuh dalam operasi US-Iraq pada April 2010. Kepimpinan ISI diganti oleh Abu Bakar al Baghdadi yang kini menjadi ketua ISIS. Apabila krisis Syria bermula pada 2011 dan sempadan Syria-Iraq yang tidak terkawal akibat perang, ISI meluaskan cita-citanya ke Syria dan mula mengguna-pakai nama `Islamic State in Iraq and Syria’ (ISIS). Namun kemasukan ISIS ke Syria tidak dipersetujui oleh kumpulan Jabat An Nusra yang mewakili alQaeda Global di Syria. Kedegilan ISIS membawa kepada pertempuran antara kedua pihak dan menyebabkan ISIS semakin terasing di kalangan mujahidin Iraq dan Syria.




Abu Bakr Al-Baghdadi






[Penentangan ISIL dengan pejuang Iraq dan Syria]


Perbuatan ISIL yang melakukan pembunuhan kejam dan tanpa pengadilan telah ditentang oleh gerakan pembebasan dan mujahidin Iraq yang lain seawal 2005. Anbar Salvation Council (ASC) yang merupakan gabungan 30 qabilah Sunni di daerah Al Anbar yang ditubuhkan pada tahun 2005 khusus untuk menentang keganasan aQI, kumpulan asal ISIS, telah mengistiharkan penentangan secara terbuka terhadap ISIS. Kerjasama antara tentera Amerika dan Iraq berjaya menekan aQI untuk sementara waktu sehingga mereka bangkit semula pada 2012 apabila tentera Amerika mula meninggalkan Iraq.


Pada penghujung 2013, penduduk Al Anbar terutama di Ramadi dan Falujjah telah mengadakan protes aman terhadap kerajaan Iraq pimpinan Nuri al-Maliki yang dilihat menyebelahi golongan Syiah dan menganak-tirikan golongan Sunni. Persetujuan akhirnya dicapai untuk Tentera Iraq berundur dari Al Anbar dan menyerahkan kuasa kepada polis tempatan. Sebaik tentera Iraq berundur, ISIS tiba-tiba muncul mengambil kesempatan untuk menguasai Al-Anbar. Menurut pemimpin ASC Sheikh Hameed al-Hayes, lebih 8000 keluarga terpaksa lari dari Ramadi dan Falujjah akibat serangan ISIS.


aQI secara terbuka membunuh ulama’ Sunni yang berani mempersoalkan mereka. Antaranya Sheikh Hamza Abbas Al-Issawi, Mufti dan Pengerusi Majlis Ulama Falujjah dibunuh oleh aQI pada tahun 2005. Antara ulama’ lain yang menerima nasib yang sama adalah Sheikh Abdul Aleem al Sa’di Mufti Ramadi, Sheikh Shawkat al-Sa’ab, Sheikh Kamal al-Tikriti dan Sheikh Omar Sa’ed Horan. Seorang lagi ulama’ besar Iraq, Sheikh Mahdi al-Sumaidaie cedera parah dalam percubaan membunuh beliau pada Ogos 2012. Mufti Besar Sunni Iraq, Sheikh Khaled al-Mulla dalam wawancara al-Mayadeen TV pada 1 Julai 2014, dengan tegas mendakwa aQI atau ISIS telah membunuh lebih 300 ulama’ Sunni.




Sheikh Khaled Al-Mulla





Umumnya ISIS mempunyai hubungan buruk dan ditentang oleh hampir ulama’, masyarakat dan semua kumpulan pembebasan Iraq samada yang berasaskan Islam, syiah, sekular, kabilah mahupun bekas anggota Baaths seperti Islamic Army of Iraq, HAMAS of Iraq, Brigade Revolusi 1920, Jamaa Ansar al-Sunnah, Tentera Mujahiddin dan Tentera al Mahdi.


Bukan sahaja di Iraq, ISIL juga menimbulkan kemarahan kumpulan pejuang di Syria. Percubaan ISIS untuk mengembangkan sayap ke Syria ditentang oleh semua kumpulan pejuang Syria, samada yang berasaskan Islam mahupun secular. Pada awal tahun 2014, kumpulan pejuang Syria telah bergabung melawan ISIS menyebabkan ISIS terpaksa berundur ke kubu kuat mereka di ar-Raqqah, utara Syria.


ISIS pernah mendakwa mereka telah bergabung dengan Jabhat an-Nusra, kumpulan yang mewakili al Qaeda di Syria. Namun dinafikan oleh Jabhat an Nusra. Dalam sepucuk surat yang dikeluarkan oleh al Jazerra, pemimpin al Qaeda Ayman al Zahawiri cuba mendamaikan antara 2 kumpulan itu tetapi tidak diendahkan oleh ISIS. Akhirnya pada Februari 2014, aQG secara terbuka mengisytiharkan ISIS bukan dari kalangan mereka. Ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum ISIS didakwa kononya mempunyai kekuatan yang berjaya menawan Mosul sedangkan ISIS tinggal bersendirian.




Ayman al Zahawiri






Situasi sebegini menimbulkan tanda-tanya bagaimana ISIS yang dianggap `budak jahat’ dan disisih oleh kumpulan pejuang Iraq dan Syria serta dibenci dan ditakuti oleh rakyat Iraq, tiba-tiba mempunyai kekuatan untuk menakluk utara Iraq dan mara dengan pantas ke Baghdad. Kejayaan seperti ini logiknya memerlukan tentera yang ramai dan terlatih serta mendapat sokongan penduduk tempatan.


Lebih menghairankan, ISIS yang kononnya ingin menegakkan Islam dan mendirikan Khilafah sering bertindak jauh luar dibatas-batas Islam dan kemanusiaan. Mana mungkin seorang yang ikhlas ingin melaksanakan Islam terpesong begitu jauh membunuh sewenang-wenangnya dan dengan cara yang kejam. Mana mungkin seorang pejuang Islam berakhlak seperti mereka. Perbuatan mereka bukan saja jauh dari sifat Islam bahkan memberi gambaran yang amat buruk kepada Islam dan pejuang-pejuang Islam.


Kalau begitu apakah niat mereka sebenarnya? Kenapa meraka menggunakan label Islam? Apakah yang mereka ingin capai? Atau siapakah ISIS sebenarnya?


[Siapakah ISIS sebenarnya?] 


Tidakkah kita pelik apabila mengentahui kerajaan Basyar membeli bekalan eletrik daripada stesyen janakuasa yang dikendalikan ISIS ? Dengan wang itulah antara sumber ISIS untuk membiayai kegiatannya. Bukankah sepatutnya ISIS berperang dengan kerajaan Basyar jika benar mereka pejuang Islam dan membela rakyat? Akhbar New York Times (NYT) pada 11 Jun 2014 melaporkan ISIS terus mengeluarkan minyak dari telaga minyak yang mereka kuasai di timur Syria. Mereka juga menjual kembali eletrik kepada kerajaan Basyar dari stesyen janakuasa yang mereka tawan. Dalam laporan yang sama NYT juga memetik Sheikh Hasan, pemimpin Free Syria Army sebagai berkata “anggota mereka (ISIS) dibayar lebih tinggi, lebih terlatih bahkan persenjataan mereka lebih baik dari tentera Syria dan Iraq.” NYT terus melaporkan bahawa ISIS mengelak dari bertempur dengan tentera Basyar dan tentera Basyar seolah-olah sengaja membiarkan kumpulan ini dalam masa yang sama menumpukan peperangan terhadap kumpulan mujahiddin yang lain.


Ketua Biro politik Ikhwanul Muslimun Syria, Hassan Hasyimi dalam temubual dengan akhbar dalam talian al-Monitor pada 12 June 2014 mendakwa mereka mempunyai banyak bukti bahawa ISIS di Syria didokong oleh pihak keselamatan Syria dan Iran. Bahkan ISIS jarang bertempur dengan tentera Syria telah lebih banyak berperang dengan kumpulan mujahiddin yang lain. “Kami mengenali mereka. Mereka yang selama ini berada didalam tentera Syria tiba-tiba menyimpan janggut yang panjang dan menjadi ahli ISIS atau al-Nusra.” Kata Hassan. Yang pastinya bagi beliau “ …. apa yang mereka lakukan tiada kena-mengena dengan Islam, dari segi perbuatannya, ideologinya dan pemikiran mereka.”


Inikah Islam yang dibawa aQI / ISIS ……. 


Rekod penglibatan ISIS dalam keganasan sangat panjang. Bermula dari alQaeda in Iraq, kemudiannya Islamic State of Iraq dan seterusnya menjadi Islamic State in Iraq and Levant, sikap melampau ISIS dan keganasan mereka semakin jauh dari Islam. Samada dalam bentuk pengeboman kereta ditempat awam, pembunuhan tokoh dan ulama’, penculikan wanita dan aktivis kemanusiaan, hukuman tanpa bicara, pembunuhan kejam dengan memeotong kepala dan menembak mangsa yang tidak berdaya – senarai kekejaman mereka hampir tiada penghujung.


Pada 25 Oktober 2009, pengeboman di Baghdad membunuh 155 nyawa dan mencederakan lebih 720 orang. Pada 8 Disember sekali lagi Baghdad dibom membunuh 127 nyawa dan mencederakan 448 orang. ISIS, atau ketika itu ISI, mengaku bertanggungjawab.


ISIS juga tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa saja, termasuk ulama’, yang menentang mereka. ISIS dipercayai terlibat dalam serangan bom chlorine pada March 2007 yang membunuh 8 dan ratusan cedera di Fallujah dan Ramadi dimana pemimpin tempatannya menentang aQI. Sebulan sebelumnya satu letupan bom berhampiran sebiah masjid di Fallujah telah membunuh 35 orang. Imam di masjid tersebut diketahui menentang ISIL. ISIL juga didakwa membunuh pemimpin kumpulan mujahiddin lain yang mereka. Mereka juga dipercayai terlibat dalam serangan bom sebuah masjid di Baaquba yang membunuh 28 orang termasuk pemimpim kumpulan Hamas of Iraq dan 1920 Brigades. ISIL juga cuba melagakan antara golongan Sunni dan Syiah dengan menyerang tempat suci golongan Syiah.


Sebaik mengisytiharkan `Khilafah Islam’, satu sumber yang dipetik dari media Turki memetik seorag wakil ISIS, Abu Turab al Mugaddasi mengatakan mereka akan menakluk Arab Saudi dan akan memusnahkan Kaabah. Ini kerana mereka mendakwa umat Islam pergi ke Mekah untuk menyembah batu, bukannya Allah. Tidak sampai seminggu mendirikan `daulah’ mereka telah memusnahkan sekurang-kurangnya 4 maqam ulama’ Sunni yang didakwa sebagai sumber khurafat serta 6 masjid Syiah.


ISIS juga dalam tempuh peperangan terbaru ini dilaporkan telah mengeluarkan `fatwa’ meminta semua keluarga menyerahkan anak perempuan mereka kepada anggota ISIS untuk memberi khidmat sex. Arahan ini didapati didalam risalah-risalah yang ditemui di di Mosul dan Tikrit.


Kalau bukan ISIS, siapa kuasai utara Iraq sebenarnya …… 



Pertubuhan Ulama Iraq (Association fo Muslim Scholars of Iraq – AMSI) dalam kenyataannya bertarikh 9 Julai 2014 mengambarkan kemenangan di Mosul adalah hasil dari kebangkitan rakyat dari pelbagai kumpulan penentang. Kemenangan tidak langsung ditujukan kepada ISIS sepertimana yang digembar-gemburkan oleh media antarabangsa. Dalam kenyataan tersebut juga AMSI mengingatkan pejuang pembebasan Iraq untuk mengutamakan kemaafan daripada membalas dendam dan menjaga kemuliaan darah orang yang tidak berdosa. Sikap ini jelas bertentangan dengan amalan ISIS yang telalu mudah menjatuhkan hukuman mati kepada semua yang dilihat menentang mereka.


Sekali lagi dalam kenyataan mereka pada 12 Jun 2014, walaupun tidak menyebut nama ISIS, AMSI secara lebih jelas menyatakan kemenangan terbaru ini adalah hasil pengorbanan seluruh rakyat Iraq dan tidak ada satu pihak yang boleh mendakwa ia adalah kemenangan mereka walau begitu yang cuba digambarkan oleh media antarabangsa.




Struan Stevenson



Persoalannya …. 
Struan Stevenson, Presiden Delegasi Parlimen Eropah untuk Hubungan dengan Iraq menulis pada 16 Julai, 6 hari selepas kejatuhan Mosul “ Maliki dan penaungnya di Tehran mendakwa bahawa daerah-daerah Iraq telah jatuh ketangan pengganas ekstrim ISIS. Tetapi dakwaan ini adalah melucuka dan tidak masuk akal. Pembebasan 100,000 km persegi (¾ dari keluasan Semenanjung Malaysia) jajahan Iraq dengan yang diduduki beberapa juta rakyat dalam masa beberapa hari tidak mungkin dilakukan oleh kumpulan ekstrimis yang terpencil dengan tidak lebih beberapa ribu atau hanya beberapa ratus anggota ….. pelbagai petanda menunjukkan qabilah-qabilah Arab dan penduduk tempatan telah bangkit dengan kemarahan menentang Maliki.”






VICE News pula memetik temubual seorang penduduk, Sahib, 60, yang menafikan ISIS berada di Mosul. “Rakyat Iraq sendiri yang menguasai bandar ini, mereka yang menghalau keluar tentera Maliki …… Saya tidak melihat seorang orang asing pun, hanya orang Iraq. Ini adalah kebangkitan melawan kezaliman presiden (Maliki). Rakyat sudah bosan dengan beliau dan mereka tidak dapat bersabar lagi.”


Liputan berita oleh media utama seperti CNN, BBC dan alJazeera melaporkan dari wilayah yang dibebaskan seperti Nineveh dan Salahaddin, menunjukkan tidak berlakunya sebarang kekacauan dan pencerobohan hak terhadap penduduk tempatan. Keadaan ini berbeza jika dikuasai oleh kumpulan ektrimis yang selalunya melakukan pelbagai kekacauan dan ugutan.


[Apakah agenda mereka ?] 



Sebab media antarabangsa cuba menggambarkan kemenangan ini adalah kemenangan satu puak yang esktrim (ISIS) adalah jelas; untuk menimbulkan kemarahan dunia kepada revolusi rakyat dan cuba merencatkannya. Apabila dunia melihat kebangkitan rakyat Iraq sebagai pengganas dan ektrimis, maka mudah saja untuk kuasa luar campur tangan dan membantu kerajaan Maliki menekan kebangkitan rakyat. Amerika dan Rusia telah menghantar kapal terbang pejuang untuk membantu tentera Maliki. Tentera elit Iran pula dilaporkan telah memasuki Iraq untuk sama-sama menyekat kebangkitan rakyat. Kerajaan Maliki cuba menggambarkan semua keganasan dan kezaliman berpunca dari ISIS dan semua umat Sunni adalah ISIS. Masyarakat dunia tidak akan membantah kerana mereka dilihat sebagai menentang kumpulan pengganas dan ektrimis.


Struan Stevenson juga melaporkan “ …. dakwaan ini bukanlah kerana salah-faham bahkan jelas mempunyai niat yang jahat. Atas nama menentang keganasan, Maliki dan regim Iran cuba membuat alasan untuk campurtangan Tentera al Quds dari Iran dan penaklukan Iraq oleh tentera Pengawal Republikan Iran. Pada masa yang sama mereka mahukan campurtangan tentera Amerika menyebelahi Maliki.”


Pada 12 Jun, Wall Street Jounal melaporkan 3 batalions tentera elit al Quds telah dihantar membantu tentera Iraq. Satu battalion telah telah menyertai pertempuran bersama tentera Iraq dan membantu menawan semula sebahagian besar bandar Tikrit pada hari Khamis. Manakala 2 batalion lagi ditugaskan mempertahankan Baghdad dan tempat suci Syiah di Karbala dan Najaf.


[Pengisytiharan Khilafah Islam] 



ISIS berterusan melakukan perkara yang pelik dan tidak dapat diterima oleh umat Islam umumnya. Pada 29 Julai 2014 bersempena 1 Ramadhan 1435, ISIS telah mengisytiharkan berdirinya Khilafah Islam di kawasan yang dikuasai mereka dari timur Syria hingga ke utara Iraq. Namum sebahagian besar kawasan ini adalah padang-pasir dan tidak berpenghuni. Pemimpin ISIS, Abu Bakar Al-Baghdadi dilantik sebagai `khalifah’ mereka. Mereka juga mengeluarkan fatwa mewajibkan seluruh umat Islam di dunia melafazkan bai’ah (taat setia) kepada mereka. Pengistiharan kahlifah ini juga bererti semua jamaah Islam dan kumpulan mujahiddin hendaklah dibubarkan kerana semua umat Islam mesti berada dibawa satu khalifah.


Sebenarnya ini bukan perkara baru di Iraq. Pada tahun 2007, Abu Musab al Zarqawi, bekas pemimpin aQI yang ketika itu memimpin gerakan ‘Tauhid dan Jihad di Mesopotamia’ telah pernah mengisytiharkan penubuhan Negara Islam di Iraq.


Negara Islam memang menjadi idaman setiap muslim dan gerakan Islam. Tetapi pengisyiharan Negara Islam oleh kumpulan yang membawa imej penganas, pembunuh dan mempunyai rekod kemanusiaan yang buruk – hanya merosakkan agenda Negara Islam.


Pengisytiharan ini juga tidak membawa apa-apa kebaikan dan tidak menyelesaikan sebarang masalah umat Islam bahkan masyarakat dunia kini melihat Islam melalui kacamata `Negara Islam’ yang kasar, ekstrim, tanpa undang-undang dan tidak berperikemanusiaan. Perbuatan ini hanya memberi keuntungan dan menjadi hujah kepada mereka yang menentang Islam.


Persatuan Ulama Sedunia (International Union of Muslim Scholars - IUMS) yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusuf Qardawi dalam kenyataan pada 4 Julai 2014 menolak pengistiharan tersebut sebagai tidak sah, tidak realistik dan tiada sandaran hukum Islam. IUMS memberi amaran perbuatan ini hanya memberi keuntungan kepada musuh Islam di Iraq dan Syria. Khilafah Islam berdiri atas dasar persepakatan ummah bukan hanya dengan pengisytiharan golongan tertentu. ISIS juga dikecam kenara cuba merampas kejayan kebangkitan rakyat Iraq dengan mendakwa kemenangan milik mereka.




Persatuan Ulama’ Iraq (Association of Muslim Scholars in Iraq - AMSI) pula dalam kenyataan No 1003 bertarikh 1 Julai 2014 berkata, dalam keadaan Iraq sekarang, pengumuman seperti itu tidak memberi kebaikkan kepada Iraq dan perpaduan rakyatnya. Bahkan perbuatan seperti itu boleh dianggap cuba memecah-belahkan Iraq dan kepentingan rakyat.


Sheikh Abbas Shuman, seorang ulama al Azhar berkata “mereka yang bercakap tentang penubuhan Negara Islam itu sebenarnya pengganas. Khilafah Islam tidak ditegakkan secara paksaan. Menakluk sebuah negara dan membunuh separuh penduduknya …… ini bukan Negara Islam. Ini adalah keganasan.”


Pengisytiharan itu juga ditolak oleh pelbagai kumpulan mujahidin di Syria. Abu Maria al-Qahtani yang menjadi rujukan Jabat an Nusra dalam perundangan Islam mencatatkan didalam Twitternya tindakan ISIS adalah “semangat yang keterlaluan” dan “musibah kepada ummah”. Bahkan golongan salafi seperti gerakan Salafi Lebanon juga menolaknya. Pemimpin gerakan tersebut, Daii Islam al Shahhal berkata “Kami pun mahukan negara Islam, itu adalah asas kefahaman kami. Tetapi Negara Islam mesti tertegak atas beberapa kriteria dan kriteria tersebut belum dipenuhi.” Manakala Jamaah Islamiyah Lebanon mengecam pengumuman tersebut menganggapnya terkeluar dari landasan Islam. Bagi mereka ISIS merosakkan Islam dan dikeji oleh penduduk di Timur Tengah.


Sehingga artikel ini ditulis, alQaeda Global (aQG) masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap pengisytiharan ISIS, namun ia tentunya sukar diterima oleh aQG kerana ia bererti pemimpin aQG Ayman al Zawahiri pula terpaksa memberi taat-setia kepada ISIS.


[Kesimpulan] 



Dalam meneliti fakta-fakta yang berlaku di Iraq dan Syria serta sebagai panduan memahami pergolakan Irqa-Syria dimasa akan datang, kita boleh mengambil beberapa kesimpulan :


1. ISIS mempunyai asal-usul dari al Qaeda in Iraq (aQI). Walaupun alQaeda sendiri sudah dianggap pelampau dan ekstrim, ISIS telah menjadi lebih ekstrim hinggakan alQaeda sendiri menjauhkab diri dari mereka.


2. Selain nama yang bersandar Islam, ISIS tidak menunjuk sebarang karakter perjuangan Islam dari segi akhlak, kefahaman, pendekatan syariat, kasih-sayang, adab di medan perang, teliti dalam menghukum dan sebagainya.


3. Penonjolan ISIS sebagai kumpulan yang terlampau ekstrim, hanya memberi keburukan kepada Islam amnya dan kepada perjuangan membebaskan Syria dan Iraq khususnya.


4. Strategi ISIS hanya memberi keuntungan kepada musuh Islam di Syria dan Iraq. Imej militan ekstrim ISIS menjadi alasan untuk campurtangan kuasa asing seperti Amerika dan Rusia bahkan Iran dalam urusan Syria dan Iraq. Beralasankan menentang pengganas, mereka memasuki Iraq dan Syria; tetapi yang ditentang bukan pengganas bahkan revolusi rakyat.


5. ISIS ditolak oleh semua pihak, samada yang sepatutnya menjadi kawan apalagi lawan. Samada golongan Islam mahupun secular.


6. Kejayaan yg dinisbahkan kpd ISIS yang berlaku secara tiba-tiba dan begitu cepat menimbulkan pelbagai tanda-tanya; apakah kejayaan itu betul milik ISIS ataukah mereka memang sengaja diberi ‘laluan’ oleh pihak tertentu dan berkepentingan.


7. Kejayaan membebaskan utara dan barat Iraq terutama daerah Sunni Ninawa dan al Anbar bukan milik ISIS bahkan hasil kebangkitan rakyat Iraq terharap kerajaan Syiah Nuri Maliki. Protes besar-besaran terharap kerajaan Maliki telah bermula sejak akhir 2013 bukannya bermula dengan penaklukan Mosul pada Jun 2014.


8. Dakwaan bahawa ISIS ciptaan pihak luar yang sengaja ingin memburukkan Islam dan perjuangan rakyat atau sekurang-kurangnya telah diresapi oleh anasir jahat sukar ditolak kerana tindakan ISIS hanya merugikan Islam dan menguntungkan musuh Islam.




Ar. Hj. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
Jkuasa Pembelaan Ummah
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor

----------------------------------------

Mohon sebarkan artikel ini sebanyak mungkin. Ramai sudah salah faham mengenai isu ini. Jalankan tanggungjawab anda. Pastikan sahabat-sahabat anda tidak tertipu dengan kebangkitan Islam palsu ini. Sebarkan!


sumber
http://abufaith.blogspot.com/2014/08/wajah-sebenar-isis-terbongkar.html

No comments:

Post a Comment