Pages

Wednesday, August 20, 2014

Momoi berusia 111 tahun, diiktiraf lelaki paling tua dunia oleh 'Guinness World Records'

RABU, 20 OGOS 2014 @ 4:41 PM
Sakari Momoi menerima sijil daripada pegawai 'Guinness World Records' di Tokyo hari ini.
 
TOKYO: Seorang bekas pendidik Jepun berusia 111 tahun yang meminati puisi diberi pengiktirafan sebagai lelaki paling tua dunia yang masih hidup.

Sakari Momoi menerima sijil daripada Guinness World Records pada satu majlis di sini hari ini. Beliau menggantikan Alexander Imich dari New York, yang meninggal dunia Jun lalu pada usia 111 tahun, 164 hari.

Manusia paling tua di dunia juga seorang rakyat Jepun: Misao Okawa, seorang wanita berusia 116 tahun dari Osaka.

Momoi dilahirkan pada 5 Februari, 1903 di Fukushima di mana beliau menjadi seorang guru. Beliau berpindah ke Saitama, di utara Tokyo, selepas Perang Dunia Kedua dan berkhidmat sebagai pengetua sekolah tinggi sehingga bersara.

Pada majlis yang disiarkan menerusi televisyen, Momoi memakai kot hitam dan tali leher, dan rambut putihnya disikat ke belakang. Beliau berdiri dari kerusi rodanya dan berganjak ke kerusi sebelah tanpa banyak bantuan.

Ditanya apa perasaannya mengenai anugerah itu, Momoi menegakkan badannya dan berkata beliau ingin hidup lebih lama.

"Mungkin dua tahun lagi," katanya.

Momoi, yang menyatakan beliau minat membaca, terutama puisi Cina, mempunyai lima anak dan tinggal di rumah jagaan di Tokyo. - AP

No comments:

Post a Comment