Pages

Saturday, April 12, 2014

Bapa hadiahkan 'kereta kebal' kepada anak


Pesara tentera China, Jian Lin bersama kereta kebal yang dihasilkan sendiri untuk dijadikan sebagai hadiah sempena ulang tahun anaknya. - AGENSI
BEIJING 11 April - Kasih seorang bapa membuatkan seorang lelaki China sanggup memenuhi permintaan anak lelakinya berusia enam tahun yang mahukan sebuah kereta kebal sebagai hadiah.
Tanpa disangka, bapanya yang juga seorang bekas tentera laut China sanggup memenuhi permintaannya dengan membuat sebuah replika kereta kebal Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) walaupun mempunyai tempoh masa yang singkat untuk berbuat demikian.
Berdasarkan model kereta kebal PLA jenis 63A, Jian Lin memulakan usaha menyiapkan replika tersebut dalam masa dua bulan, malah dia turut melengkapkan ‘permainan’ anaknya itu dengan sebuah meriam yang mampu menembak.
“Bila saya pergi ke pasar raya, saya memerhatikan permainan yang bersesuaian dengan keinginan saya, namun tidak ada satu pun yang menarik minat sehingga saya memutuskan untuk membuatnya sendiri.
“Saya mahu hadiah itu merupakan sesuatu benda yang benar-benar menarik," kata lelaki berusia 31 tahun tersebut yang berasal dari wilayah Sichuan sebagaimana lapor Mail Online.
Lin berkata, dia menghabiskan sebanyak 4,000 pound (RM21,662) untuk menyiapkan replika kereta kebal itu yang mempunyai berat tiga tan berbanding berat kereta kebal sebenar iaitu 20 tan.
Dalam tempoh dua bulan, dia terpaksa merahsiakan hasil usahanya sehingga dia menunjukkan sendiri replika kereta kebal berukuran lima meter panjang dan dua meter tinggi itu kepada anaknya di rumah mereka di Kampung Mianzhu.
Lin yang gembira dengan kejayaannya, bercadang untuk menghasilkan kenderaan perisai amfibia yang mampu bergerak di dalam air.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_09/Bapa-hadiahkan-kereta-kebal-kepada-anak#ixzz2ycE5AFNp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment