Pages

Tuesday, August 20, 2013

Gunung berapi Sakurajima meletus



GUNUNG SAKURAJIMA menghambur kepulan abu setinggi 5 km ke udara. Kagoshima di Pulau Kyushu, selatan Jepun meletus kelmarin. - AP


KAGOSHIMA - Gunung Sakurajima di selatan Jepun meletus dan menghambur kepulan abu setinggi 5 kilometer (km) ke udara kelmarin.
Sakurajima membentuk awan abu tertinggi sejak Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mula mengumpul rekod letusan gunung berapi itu pada tahun 2006.
JMA menyatakan, Sakurajima turut memuntahkan lahar serta batu-batan yang bergerak sejauh sekitar 1km ke lereng-lereng di bawah gunung.
Sebelum ini, penduduk di bandar ini sudah biasa mendengar gunung berapi aktif itu meletus.
Gunung berapi setinggi 1,117 meter itu terletak kira-kira 10km ke timur bandar ini yang dihuni oleh 600,000 penduduk.
"Ini merupakan letusan ke-500 Sakurajima sepanjang tahun ini tetapi letusan kali ini adalah yang paling kuat," kata seorang pegawai tempatan.
Penduduk di bandar ini memakai topeng muka dan baju hujan serta menggunakan payung untuk melindungi diri daripada ditimpa hujan abu gunung berapi.
Para pemandu turut menyalakan lampu kenderaan manakala perkhidmatan kereta api di bandar itu dihentikan buat sementara waktu.
Penutupan itu bagi membersihkan abu gunung berapi yang melitupi landasan di bandar ini.
Menurut pihak berkuasa, tiada kecederaan dan kerosakan dilaporkan akibat letusan tersebut setakat ini.
Menjelang pagi semalam, ruang udara di bandar itu semakin pulih dengan penduduk turut bergotong-royong membersihkan abu gunung berapi.
Dalam pada itu, JMA menyatakan, tiada letusan lebih besar diramalkan setakat ini.
Namun, orang ramai diberi amaran agar tidak menghampiri gunung berapi berkenaan secara bersendirian.
Jepun berada dalam zon Lingkaran Api Pasifik yang kerap mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2cVmSmbCl 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment