Pages

Saturday, March 16, 2013

Yu paus 1 tan ditangkap di Bekenu



ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama bangkai ikan yu paus yang terperangkap dalam pukat milik Samad Johnny sebelum dibawa ke Pantai Peliau, Bekenu di Miri hari ini. - UTUSAN
MIRI 15 Mac - Seorang nelayan pesisir pantai terkejut apabila mendapati seekor ikan yu paus sepanjang lima meter dengan berat lebih 1,000 kilogram tersangkut pada pukatnya pagi ini.
Nelayan berkenaan, Samad Johny, 30-an, dari Kampung Rancah-Rancah di sini, memasang pukat tersebut di kawasan kira-kira satu batu nautika dari Pantai Peliau sejak petang semalam.
Menurut Samad, kira-kira pukul 6.30 pagi ini dia turun ke laut untuk memeriksa pukat tersebut dan mendapati keadaan pukat miliknya itu membaluti satu objek besar yang disangkanya batang kayu.
"Setelah diperiksa, barulah saya sedar objek itu sebenarnya seekor ikan gergasi yang telah mati.
"Saya pelik kerana sebelum ini tidak pernah ikan yu paus tersangkut pada pukat nelayan di kawasan ini," katanya di sini.
Dalam pada itu, Samad berkata, bagi menyelamatkan pukatnya, dia tiada pilihan selain menunda ikan berkenaan ke pantai.
Katanya, dengan hanya menggunakan bot kecil dengan enjin 40 kuasa kuda, dia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba di Pantai Peliau.
Berita mengenai ikan gergasi itu kemudiannya tersebar pantas dan menarik perhatian masyarakat setempat yang tidak mahu melepaskan peluang melihatnya dari dekat.
Sehingga petang ini, bangkai ikan tersebut masih berada di Pantai Peliau dan menjadi tontonan orang ramai. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130315/dn_45/Yu-paus-1-tan-ditangkap-di-Bekenu#ixzz2NerohI3E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment