Pages

Friday, March 15, 2013

Pope baru dari Argentina


Vatican: Paderi Jorge Mario Bergoglio dari Argentina dipilih secara mengejut sebagai pemimpin baru Gereja Roman Katolik kelmarin.

Beliau menggunakan nama Francis I dan menjadi Pope bukan Eropah pertama dalam masa hampir 1,300 tahun.
Pope Francis, 76, muncul di balkoni St Peter’s Basilica selepas asap putih keluar daripada corong di bumbung Gereja Kecil Sistine sebagai petanda beliau dipilih mengetuai 1.2 bilion penganut Roman Katolik di seluruh dunia.

“Doakan saya,” kata Pope baru itu, memakai jubah putih rasmi buat kali pertama, menggesa ratusan ribu penganut agama itu yang menanti di dataran.

Pemilihan Bergoglio, pope Amerika Latin dan Jesuit pertama, diumumkan oleh kardinal Perancis, Jean-Louis Tauran, dengan perkataan Latin, ‘Habemus Papam’ (Kita memiliki Pope).

Francis menjadi Pope ke-226 dalam sejarah 2,000 tahun gereja itu pada masa krisis paling hebat, dengan gereja dikritik berhubung skandal penderaan seks kanak-kanak dan berpecah berikutan perselisihan dalam birokrasi Vatican.

Walaupun berfikiran konservatif dari segi teologi, Francis dikenali kerana prihatin terhadap golongan miskin dan dijangka membawa perubahan radikal.
Ini ditunjukkan dengan menggunakan nama St Francis of Assisi buat kali pertama, tokoh yang meninggal dunia pada 1226 selepas hidup dalam kemiskinan dan kesederhanaan.

Beliau segera menunjukkan perbezaan dengan Pope terdahulu, Benedict, dengan merendah diri, meminta orang ramai merahmatinya.

Bergoglio tidak menggunakan limosin selepas muncul di balkoni dan memilih menaiki bas bersama kardinal lain balik ke kediaman di Vatican, untuk minum petang.

Bergoglio juga dikenali sebagai seorang yang menjalani kehidupan sederhana dan tenang tanpa kesombongan, menaiki pengangkutan awam dan tinggal di pangsapuri kecil di pinggir Buenos Aires.

Beliau bersedia mencabar kepentingan lebih berkuasa dan amat bimbang mengenai kualiti buruk sosial di Argentina dan negara lain di Amerika Latin.

Beliau juga pernah berdepan masalah dengan Presiden Cristina Fernandez dan mendiang suaminya yang juga presiden sebelum itu, Nestor Kirchner. Francis juga menentang perkahwinan sejenis.

REUTERS

No comments:

Post a Comment