Pages

Thursday, September 6, 2012

AS, Israel tiada beza: Iran



         
DUBAI: Iran tidak membezakan kepentingan Amerika Syarikat dan Israel serta berjanji akan bertindak balas ke atas kedua-dua negara jika diserang, kata seorang panglima tentera semalam.

Kenyataan itu dibuat selepas Rumah Putih menafikan laporan berita Israel bahawa mereka sedang berunding dengan Teheran bagi mengelakkan perang Israel - Iran.


Laporan itu juga mendakwa Presiden Barack Obama menafikan dia terlalu berlembut dengan Teheran. Panglima Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Iran, Ali Fadavi, berkata tiada sebarang perbezaan antara rejim Zionis dan AS.

“Kita tidak perlu mengiktiraf sebarang perbezaan antara kedua-duanya.


“Berdasarkan hakikat itu, hari ini AS mengambil langkah mengancam Republik Islam,” katanya dipetik agensi berita Fars.


Menurut Ali, jika AS melakukan “kebodohan” paling kecil pun, mereka tidak akan dibiarkan meninggalkan Teluk dengan selamat.

Iran memiliki peluru berpandu yang mampu sampai ke sasaran Israel dan AS di rantau Teluk.


Baru-baru ini, Teheran menjalankan latihan tentera dan mempamerkan senjata mereka yang dipertingkatkan keupayaannya bagi membuktikan kemampuan mereka mempertahankan diri jika diserang. Menurut Israel - negara tunggal Timur Tengah yang dipercayai memiliki senjata nuklear - Iran mengancam kewujudan negara Yahudi itu jika Iran dibenarkan memiliki bom nuklear. Teheran pula tetap mempertahankan diri dengan mendakwa, program nuklear mereka dibangunkan untuk keamanan. - Reuters

No comments:

Post a Comment