Pages

Thursday, August 9, 2012

'Saya nampak lembaga hitam menyeramkan duduk di kerusi penumpang'

MIRI 5 Ogos - Lelaki yang nekad terjun dari pesawat Airbus milik syarikat penerbangan tambang murah AirAsia sewaktu ia mula memecut untuk berlepas di Lapangan Terbang Miri, malam kelmarin, bertindak demikian kerana mendakwa ternampak hantu.
Lelaki yang dikenali sebagai Chong itu dikatakan melihat 'lembaga hitam' yang menyeramkan duduk di salah satu kerusi penumpang menyebabkannya ketakutan dan tidak dapat berfikir secara waras.
Ketika ditemui di Hospital Miri di sini hari ini, Chong berkata, oleh sebab itu dia meminta kebenaran untuk turun berkali-kali namun pramugari bertugas tidak mengendahkan permintaannya dengan alasan pesawat telah pun bergerak.
"Saya bimbang sesuatu tidak diingini berlaku semasa penerbangan, jadi saya bangun dan terus membuka pintu kecemasan.
"Walaupun pesawat itu bergerak, saya tiada pilihan lain kecuali nekad terjun ke atas landasan," katanya.
Bagaimanapun, Chong yang mengalami kecederaan ringan gagal memberi gambaran sebenar mengenai lembaga hitam berkenaan kerana fikirannya dipercayai belum benar-benar stabil.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Azmi Murad ketika dihubungi berkata, insiden tersebut adalah kes terpencil dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
Katanya, kejadian itu juga tidak bermakna kawalan keselamatan sama ada di lapangan terbang mahupun di dalam pesawat longgar dan lemah.
"Kes ini yang pertama seumpamanya dan luar biasa. Sebelum ini tidak pernah berlaku namun, kita minta syarikat penerbangan mengambil langkah sewajarnya supaya ia tidak berulang.
"Orang ramai juga tidak perlu berasa bimbang kerana keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya sambil memberitahu, MAHB menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes tersebut sebelum mengambil tindakan susulan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, polis belum merekodkan sebarang keterangan daripada Chong kerana lelaki itu masih menerima rawatan di hospital.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki bertindak nekad terjun daripada pesawat Airbus milik syarikat penerbangan tambang murah AirAsia sewaktu ia mula memecut untuk berlepas di Lapangan Terbang Miri.
Kejadian pada pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan kira-kira 200 penumpang pesawat berkenaan cemas dan menjerit ketakutan.
Tindakan lelaki itu mengakibatkan pesawat AirAsia tersebut berhenti mengejut dan penerbangan hanya dapat diteruskan pada pukul 11 malam.

No comments:

Post a Comment