Pages

Tuesday, July 31, 2012

Amerika masih gila senjata api


       
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima atau enam tahun cuba mengangkat sepucuk raifal di sebuah kedai menjual senjata di Aurora.

“Sayang, ia terlalu besar untuk kamu. Kita cari yang lain,” kata ibunya.


, seolah-olah tidak tahu mengenai beramai-ramai yang berlaku di bandar Colarado itu beberapa hari sebelum ini.

Ia pemandangan biasa di negeri di tengah Amerika Syarikat itu, tempat yang mungkin memerlukan beberapa kejadian tembakan rambang hingga membunuh beberapa orang sebelum dapat menyedarkan rakyat yang bersemangat patriotik mengenai hak mereka untuk memiliki senjata seperti yang terkandung dalam Pindaan Kedua Perlembagaan negara itu. Pindaan Kedua Perlembagaan Amerika Syarikat memberi hak kepada rakyat negara itu memiliki dan menyimpan senjata.


Satu hujah yang dinyatakan oleh penyokong tegar hak untuk memiliki senjata itu ialah jika rakyat biasa mempunyai senjata, lelaki bersenjata tidak berakal seperti James Holmes akan ditembak mati sebelum dia membunuh lebih ramai orang.


“Jika saya ada di situ, saya sudah pasti membunuhnya,” itu yang diungkapkan mereka. Bercakap selepas Holmes menembak mati 12 orang dan mencederakan 58 yang lain dalam pawagam di Aurora, John Oberly, jurulatih ragbi berusia 51 tahun berkata, bukan hak untuk memiliki senjata yang mencetuskan masalah itu.

“Jika saya berada di situ, saya akan menghalang pembunuhan mangsa seramai itu. Malah, jika ada sesiapa yang membawa senjata, mereka pasti dapat menghalang sebahagian pembunuhan berkenaan,” katanya.


Pencabar Presiden Barack Obama pada pilihan raya November depan, Mitt Romney mengulangi sokongan padunya terhadap Pindaan Kedua Perlembagaan Amerika Syarikat seperti yang ditegaskannya minggu lalu bahawa kini bukan masanya untuk berusaha mewujudkan undang-undang baru mengenai senjata.

“Dengan keadaan emosi yang begitu tinggi ketika ini, sekarang bukan masa untuk berbincang mengenai politik yang berkait dengan apa yang terjadi di Aurora,” katanya.


Gesaan supaya dikaji semula undang-undang senjata meningkat selepas tragedi itu setelah diketahui Holmes membeli empat senjata berkenaan secara sah.


Selama lapan minggu dia mengumpulkan senjata dengan membelinya menerusi Internet. Ia termasuk 6,300 peluru: 3,000 untuk raifal separuh automatik AR-15, 3,000 lagi untuk dua pistol Glock dan 300 untuk senapang patahnya.


Holmes, 24, pelajar universiti, juga membeli satu magazin peluru khas untuk raifal AR-15 gaya tentera yang membolehkannya melepaskan 50 hingga 60 tembakan seminit.


Romney berkata, undang-undang senjata sudah cukup ketat dan tidak menjadi masalah.


“Saya masih percaya bahawa Pindaan Kedua kepada Perlembagaan Amerika Syarikat adalah hala tuju yang betul untuk mengekal dan mempertahankan diri dan saya tidak percaya undang-undang baru akan menghalang tragedi seperti itu daripada berulang. “Undang-undang amat ketat wujud di Aurora, Colorado. Pencabar kita bukannya undang-undang itu tetapi mereka yang mencabar undang-undang berkenaan, yang jelas terpesong daripada realiti dan melakukan perkara yang tidak pernah terfikir, terbayang dan yang tidak boleh kita jelaskan.


Oberly memerhati dengan teliti rak peluru di sebuah kedai menjual senjata di Aurora.


Khusus untuk memenuhi keperluan pemburu, kedai itu dihias dengan patung haiwan, termasuk singa, kerbau dan beruang serta menawarkan pelanggan senjata, raifal, pistol, kelengkapan pakaian dan perkhemahan. “Membeli senjata agak mudah sekiranya anda bukan penjenayah. Ia hanya memerlukan satu kertas kerja yang amat senang. Mereka akan memeriksa serta-merta dan selepas itu anda boleh membawa senjata itu pulang. Anda juga boleh meminta mereka menghantar senjata itu menerusi pos,” katanya.


Memang benar. Seorang wartawan AFP mendapati dia hanya perlu memberikan lesen memandu kepada penjual. Dengan lesen berkenaan, penjual terbabit boleh memeriksa rekod jenayah pembeli dan jika tidak ada, proses jual-beli itu boleh dilaksanakan dalam masa seminit.


Kerana itu Holmes boleh mengumpulkan senjatanya — dia tidak mempunyai rekod jenayah kecuali satu kesalahan memandu laju.


Aurora kini termasuk dalam senarai bandar di Amerika Syarikat yang pernah mengalami tragedi menggerunkan membabitkan senjata. Bandar lain termasuk Columbine (1999), Virginia Tech (2007) dan Tucson (2011).


Aktivis yang menyokong kawalan ketat terhadap senjata berkata, Amerika lebih terdedah kepada kejadian menembak secara rambang yang mengorbankan ramai mangsa berbanding negara lain kerana undang-undang di kebanyakan negeri di Amerika adalah terlalu longgar.


Mereka kecewa dengan pendirian Presiden Barack Obama. Bagaimanapun, pemerhati politik berkata, Obama boleh dianggap membunuh diri jika menjadikan soal undang-undang senjata sebagai isu pilihan raya ketika ini.


Beberapa kawasan penting yang menjadi rebutan pada pilihan raya November depan - Ohio, Pennsylvania dan Virgina misalnya, mempunyai populasi mesra senjata yang kekal dengan hak mereka untuk memiliki dan menyimpan senjata. - AFP

No comments:

Post a Comment