Pages

Wednesday, June 13, 2012

Yemen tawan semula pekan Jaar

Tentera Yemen melepaskan tembakan roket ke arah kubu al-Qaeda di Loder, selatan wilayah Abyan pada 10 Jun lalu. Tentera Yemen berjaya menawan semula pekan Jaar daripada militan al-Qaeda selepas berlaku pertempuran sengit di pekan itu, semalam. - AFP
ADEN 12 Jun - Tentera Yemen berjaya menawan semula pekan Jaar, hari ini selepas berlaku satu pertempuran sengit dengan militan al-Qaeda, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh.
Menurut saksi, saki-baki kumpulan militan tersebut telah berundur ke kawasan berdekatan Shuqra selepas tentera melancarkan serangan secara besar-besaran.
Penduduk tempatan berkata, mereka melihat kenderaan yang membawa militan dan senjata menuju ke timur Shuqra, yang dipercayai merupakan tempat persembunyian pemimpin al-Qaeda.
Kementerian Pertahanan berkata, sementara itu, pihak tentera masih berusaha untuk merampas semula wilayah Abyan yang ditawan oleh militan pada tahun lalu selepas meletus pemberontakan menentang Presiden Ali Abdullah Salleh pada tahun lalu.
Kumpulan pengganas itu turut menyebarkan risalah memohon maaf kepada penduduk tempatan atas kemusnahan di pekan Jaar akibat pertempuran antara kedua-dua belah pihak.
Namun, tentera kerajaan yang disokong Amerika Syarikat itu tidak memasuki Jaar dan mengekalkan kedudukan mereka dua kilometer dari pekan tersebut setakat awal pagi ini.
Sekurang-kurangnya 485 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 368 militan, 72 tentera, 26 anggota kumpulan bersenjata tempatan dan 19 orang awam sejak berlaku pertempuran dengan militan pada tahun lalu.
- REUTERS/AFP

No comments:

Post a Comment