Pages

Wednesday, June 13, 2012

Keganasan di Rakhine masih belum reda

RAKHINE 12 Jun - Insiden tembakan dan pembakaran rumah-rumah penduduk terus berlaku di negeri Rakhine di barat Myanmar, hari ini ketika pasukan tentera terus bergelut bagi mengawal keadaan.
Beribu-ribu penduduk lari menyelamatkan diri sejak keganasan etnik dan agama tercetus di negeri itu pada Jumaat lalu.
Setakat ini, konflik melibatkan etnik Rakhine beragama Buddha dan etnik Rohinya yang beragama Islam itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beratus-ratus kediaman terbakar.
Presiden Thein Sein yang telah mengisytiharkan darurat dan menempatkan tentera di negeri itu untuk mengawal keadaan memberi amaran, ketegangan yang berlaku boleh mengancam pembaharuan demokrasi di negara ini.
Di ibu negeri Sittwe, polis hari ini melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan sekumpulan Rohingya yang membakar rumah-rumah penduduk di satu kawasan kediaman.
Seorang jurugambar Associated Press melihat ramai penduduk lari menyelamatkan diri.
Polis turut melepaskan tembakan amaran ke udara di satu lagi kawasan kediaman di ibu negeri Rakhine itu bagi menyuraikan beratus-ratus perusuh yang membawa kayu dan batu.
Kebanyakan kawasan di bandar pelabuhan itu dilaporkan masih tegang dengan sekolah-sekolah dan premis perniagaan ditutup.
“Ketegangan kini berada pada tahap tinggi dan situasi masih berbahaya," kata seorang etnik Rakhine.
Sementara itu, pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) memintas tiga bot yang membawa etnik Rohingya yang cuba memasuki negara itu, semalam.
Mejar Shafiqur Rahman berkata, ketiga-tiga bot yang cuba memasuki Bangladeh melalui Sungai Naf itu membawa 103 etnik Rohingya, termasuk 81 wanita dan kanak-kanak dari Sittwe. - AGENSI

No comments:

Post a Comment