Pages

Saturday, June 2, 2012

'Maafkan Su mak, maafkan Su ayah...'

'Maafkan Su mak, maafkan Su ayah...'
Suriani (tengah) memeluk ibunya sambil diperhatikan ayahnya.
SEPANG – Hanya ungkapan maaf yang mampu diluahkan Suriani Abd Wahab, 21, kepada ibu yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Rabu lalu.

Dengan langkah longlai disertakan linangan air mata, Suriani atau dipanggil Su oleh keluarganya, terus mendakap erat ibunya, Siti Jeleko Wahab, 51.

“Maafkan Su mak...maafkan Su ayah,” tubuh tua itu dipeluknya. Satu demi satu.

Dilihat tindakan dan raut wajahnya, jelas terpancar seribu penyesalan selepas meninggalkan keluarganya sejak empat tahun lalu.

Mengimbas kembali detik itu, Su nekad membelakangkan keluarganya untuk mengikut teman lelaki ke Lombok, Indonesia.

Kerana cinta yang mendalam, dia lupa setiap pengorbanan ibu dan bapanya.

Selama empat tahun Su di sana, dia dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ismadani, 3, selepas mendirikan rumah tangga bersama kekasihnya itu.

Biarpun jauh di rantauan, hati kecilnya tetap merindui keluarga di desa. Dia pernah menghubungi ibunya dan meluahkan hasrat untuk pulang.

Mungkin kehidupan di sana tidak seperti disangka.

Bagaimanapun, hasratnya itu hanya dipendam kerana Su sedar, dia masuk ke negara orang secara haram. Belum tentu dia dapat pulang.

Tanpa Su, rumah mereka di Baling, Kedah sunyi. Tanpa Su juga, keluarga mereka tidak lengkap terutamanya ketika menyambut perayaan Aidilfitri.

Mendung yang disangka sepanjang hari kembali cerah. Rupa-rupanya, ibu dan ayahnya, Abd Wahab Salleh, 52, meminta bantuan daripada Kelab Putera 1Malaysia.

Atas bantuan itu, Su dapat pulang ke pangkuan keluarganya. Su berjanji pada ibu dan ayahnya bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

“Su sayang mak, Su sayang ayah,” air mata sesal terus mengalir.

No comments:

Post a Comment