Pages

Saturday, June 2, 2012

1,758 anak dibuang sejak kecil tiada pengenalan diri

1,758 anak dibuang sejak kecil tiada pengenalan diri - Selangor & KL - Sinar Harian:
PETALING JAYA – Sebanyak 1,758 anak-anak yang dibuang dijaga rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri. Presiden Pertubuhan   Kebajikan Sosial Malaysia (Perbak),Muhammad Khairul Hafiz Abdullah berkata, ke semua anak-anak itu sekarang sudah dewasa dan telah pun keluar dari pusat kebajikan kini hidup merempat dan tidak dapat bekerja kerana ketiadaan dokumen berkenaan.

“Ini realiti yang berlaku mereka sukar untuk mencari kerja apatah lagi mahu berkahwin dan kebanyakan mereka berputus asa dan merempat dan menjadi golongan kutu rayau,”katanya pada sidang media di sini, semalam. Menurutnya  masalah seperti itu bukan perkara asing dan dia juga mengalami nasib yang sama seperti itu. “Saya adalah satu contoh anak yang dibuang dan ditemui di tong sampah tidak mempunyai identiti tetapi hanya selepas 24 tahun baru  saya dapat kad pengenalan,”katanya.

Menurutnya, dia hanya memperolehi taraf kewarganegaraan tahun lalu dan sebelum ini dia hanya menggunakan dokumen pemaustautin sementara yang perlu diperbaharui setiap tahun dari Jabatan Imigresen. “Saya didaftarkan oleh  JKM sebagai anak Cina dan diserahkan kepada keluarga angkat, selepas didera oleh mereka saya kembali ke rumah kebajikan. 

Anehnya ketika hendak mengambil kad pengenalan saya mempunyai satu lagi nama iaitu Marvan Tan sedang nama yang didaftarkan JKM ialah Leong Sesee Hsin,”katanya. Tambah rumit ketika keluar dari rumah kebajikan pada tahun  2004 dia hanya dibekalkan wang RM 500 dan dengan duit itu dia perlu meneruskan kehidupan sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada tahun 2010. “Malaysia adalah sebuah negara Islam, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sudah jelas mana-mana bayi yang ditemui di kawasan orang Islam tidak diketahui identiti perlu didaftarkan dengan agama Islam tetapi di pusat kebajikan perkara ini tidak membawa maksud apa-apa,”katanya.

Jelasnya, perkara ini telah cuba disuarakan melalui agensi terlibat namun usahanya dihalang pihak tertentu dengan alasan perkara yang hendak diketengahkan terpencil. “Paling saya terkilan apabila ada pegawai kerajaan yang secara  terang-terangan memberitahu perkara ini jika didedahkan tidak akan membantu BN untuk memenangi pilihanraya akan datang, saya bukan bela nasib mereka atas tiket politik tetapi atas niat mahu pusat atau rumah kebajikan mempunyai satu garis panduan jelas,”katanya. Jelasnya, tiga perkara yang perlu dilakukan kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak dipinggirkan ialah pastikan anak-anak ini dapat kerakyatan, diberi bantuan kewangan sekurang- kurangnya setahun dan jaminan pekerjaan.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment