Pages

Friday, June 22, 2012

Angka korban di Rakhine cecah 80 orang

YANGON 21 Jun - Lebih 80 orang maut dalam keganasan agama dan etnik di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak ia bermula pada awal bulan ini, kata pegawai kerajaan hari ini.
Pegawai itu berkata, kira-kira 71 orang mati dalam pertempuran sejak keganasan bermula lebih seminggu lalu selain 10 orang penganut Islam yang dibunuh oleh sekumpulan penganut Buddha kerana mahu membalas dendam terhadap kejadian seorang wanita tempatan dirogol dan dibunuh pada 3 Jun lalu.
"Sebanyak lapan mayat etnik Rakhine Buddha ditemui di kampung Yathedaung, 65 kilometer dari Sittwe.
"Mereka terbunuh dalam pertempuran dengan etnik Rohingya,'' katanya kepada AFP.
Rakhine digemparkan dengan rusuhan, kebakaran dan serangan melibatkan etnik Rakhine beragama Buddha dan etnik Rohingya Islam, mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Pegawai Myanmar dan rakyatnya termasuk etnik Rakhine Buddha menganggap Rohingya sebagai pendatang asing dari Bangladesh.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 800,000 orang Rohingya tinggal di Myanmar dan merupakan penduduk minoriti paling ditindas di dunia.
Bangladesh di mana kira-kira 300,000 orang Rohingya tinggal, bertindak mengusir mereka apabila etnik tersebut cuba melarikan diri dari kawasan pertempuran tersebut.
Pemimpin Rohingya berkata, angka sebenar mereka yang maut mungkin lebih tinggi daripada yang diberikan oleh pihak berkuasa. - AFP

No comments:

Post a Comment