Pages

Thursday, May 17, 2012

Lima tak hadir ambil RM5,000

Berita Harian Online | Lima tak hadir ambil RM5,000:
MARAN: Lima daripada lapan peneroka yang sebelum ini memfailkan injunksi untuk menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) adalah antara penerima `durian runtuh' yang diadakan di FELDA Jengka 15, dekat sini, semalam. 

Sejumlah 385 peneroka FELDA Jengka 15 termasuk lima peneroka terbabit menerima cek RM5,000 bagi pembayaran pusingan pertama membabitkan ketua keluarga yang diserahkan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.
Namun, kelibat lima peneroka terbabit ataupun wakil mereka langsung tidak kelihatan di lokasi penyerahan cek di Dewan Orang Ramai FELDA berkenaan selepas nama mereka dipanggil beberapa kali untuk menerima cek.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) FELDA berkenaan, Adnan Darus, berkata rasa malu mungkin menjadi punca menyebabkan lima peneroka terbabit tidak hadir untuk menerima cek berkenaan. 

“Sebagai pengerusi JKKK saya mengenali lima peneroka ini termasuk sepasang suami isteri dan mereka pastinya malu untuk berdepan rakan peneroka lain yang berpusu-pusu datang ke dewan ini, kerana sebelum ini merekalah lantang membantah hingga membawa perkara ini ke mahkamah. 

“Hari ini (semalam) semua peneroka di sini gembira mendapat apa yang dijanjikan kerajaan namun bagi lima individu terbabit, mereka masih angkuh dan sombong. 

“Bagaimanapun, saya percaya mereka pasti akan datang ke pejabat FELDA di sini untuk mengambil cek mereka beberapa hari lagi,” katanya. 
Adnan berkata, selepas tindakan memfailkan injunksi di mahkamah, lima peneroka terbabit seakan menjauhkan diri serta kurang bergaul dengan penduduk lain di FELDA berkenaan. 

“Mungkin selepas gambar mereka terpampang di akhbar, wujud rasa malu dengan penduduk lain, namun bagi saya tidak ada gunanya membantah kerana penyenaraian itu memberi faedah besar kepada golongan peneroka dan negara,” katanya. 

Sementara itu, Ismail berkata, terpulang kepada individu terbabit untuk menerima atau menolak pemberian durian runtuh berkenaan kerana dasar kerajaan tidak memilih memberikannya kepada pembangkang atau penyokong kerajaan. 

“Selagi mereka adalah peneroka, mereka layak menerima wang ini tidak kira parti apa sekali pun atau di negeri mana mereka berada,” katanya. 

Beliau turut kesal dengan dakwaan golongan terbabit yang mendakwa durian runtuh itu adalah wang haram dan mengingatkan sesiapa saja supaya tidak mudah menjatuhkan hukum tanpa usul periksa. 
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment