Pages

Thursday, May 17, 2012

Buntu tiada sijil lahir, MyKad

Berita Harian Online | Buntu tiada sijil lahir, MyKad:
ALOR SETAR: Empat beradik berusia antara lapan hingga 16 tahun, termasuk seorang daripadanya sudah berkahwin, buntu apabila mereka tidak mempunyai sijil kelahiran dan MyKad berikutan ibu bapa mereka dipercayai bernikah menggunakan sindiket jurunikah palsu di Kelantan 17 tahun lalu. 

Berikutan itu, mereka bukan saja tidak dapat bersekolah dan masa depan empat beradik itu gelap kerana buta huruf.
Bapa mereka, Mat Isa Ali, 68, dari Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, di sini dikatakan bernikah dengan Mariam @ Jawahir Yusof, 37, seorang warga Thailand yang menetap di sini sejak dilahirkan juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Empat beradik terbabit, Nik Muhammad Affan Mat Isa, 8, dan dua kakaknya, Nik Putri Balqis, 11, dan Nik Isma Asmira, 15, tidak berani keluar rumah disebabkan tidak memiliki sijil kelahiran serta MyKad kerana bimbang berlaku sesuatu tidak diingini. 

Kakak sulung mereka, Nik Isma Rizana, 16, yang sepatutnya bersekolah di Tingkatan Empat tahun ini pula berkahwin pada usia 15 tahun kerana kesempitan hidup dan kini tinggal bersama suaminya berusia 25 tahun. 

Mat Isa berkata, beliau bernikah dengan Mariam melalui jurunikah di Pasir Puteh, Kelantan pada 1995 dengan bayaran RM800 tanpa wali pihak perempuan tetapi mereka tidak diberikan sijil nikah selepas majlis nikah selesai. 

Beliau berkata, dia memilih bernikah melalui sindiket itu 17 tahun lalu kerana mahu bernikah mudah, selain bimbang isteri keduanya itu ditangkap pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri walaupun dilahirkan di negara ini. 
Ibu bapa Mariam adalah warga Thailand yang pernah tinggal di negara ini. 
“Jurunikah itu mendakwa sudah menikahkan ramai pasangan dan dilantik sebagai jurunikah bertauliah dari Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand, untuk membantu pasangan bermasalah. 

“Pernikahan itu dijalankan di rumah jurunikah terbabit. Dia memberi alasan akan menyerahkan sijil nikah beberapa bulan kemudian tetapi sampai kini tidak menerimanya,” katanya. 

Mat Isa berkata, ketika pergi bertemu jurunikah berkenaan, dia terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu sudah meninggal dunia. 

“Saya hanya menggunakan surat dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya sebagai dokumen membawa anak ke klinik jika tidak sihat termasuk isteri yang kerap berulang alik ke hospital kerana sakit jantung. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Datuk Noh Dahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya meminta Mat Isa datang ke pejabatnya di Bahagian Undang-undang Keluarga untuk mendapatkan maklumat lengkap pernikahan mereka. 

Katanya, jika gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan dan didapati bernikah dengan sindiket jurunikah palsu, pihaknya akan membantu beliau memproses semula pernikahan dengan syarat perlu mengemukakan dokumen untuk membantu memudahkan urusan berkaitan pendaftaran semula pernikahan. 

“Kita tidak boleh mengesahkan pernikahan itu tidak sah kerana banyak perkara perlu disiasat dan dirujuk. Biasanya perkahwinan menggunakan khidmat jurunikah di luar negara, pasangan perlu mendaftar pernikahan di pejabat agama di negara ini bagi memudahkan sebarang urusan,” katanya.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment