Pages

Wednesday, May 30, 2012

Ikan tuna AS ada unsur radioaktif

WASHINGTON: Ikan tuna sirip biru yang ditangkap di perairan Amerika Syarikat didapati mengandungi bahan radioaktif dari loji nuklear Fukushima. 

Penyelidik mendapati isotop radioaktif itu berada pada ‘tahap pertengahan’ dalam 15 tuna sirip biru yang ditangkap di perairan San Diego, California pada Ogos 2011.
Kajian terbaru mengenai penemuan itu disiarkan dalam talian oleh jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS).
Penyelidik berkata, tahap radioaktif meningkat itu tidak menjejaskan kesihatan umum kerana ia lebih rendah daripada tahap keselamatan Jepun dan isotop semula jadi lain. 

Kajian ditulis oleh Daniel Madigan dari Universiti Stanford, California dan Zofia Baumann serta Nicholas Fisher dari Universiti Stony Brook, New York. 

Kajian mendapati tahap radioaktif cesium-134 dan cesium-137 yang tinggi sedikit dalam 15 ikan tuna itu berbanding tuna sirip biru yang ditangkap di perairan sama sebelum bencana nuklear Fukushima dan pada tuna sirip kuning di timur Pasifik, ditangkap sebelum dan selepas bencana di Fukushima. 

Kajian itu menunjukkan bukti sahih bahawa ikan terbabit membawa bahan radioaktif loji Fukushima merentasi lautan ketika perpindahan mereka. 
“Penemuan ini menunjukkan bahawa tuna sirip biru Pasifik boleh memindahkan radioaktif dari satu kawasan di Jepun ke tempat lain yang lebih jauh dan menunjukkan haiwan yang berpindah penting sebagai satu alat pengangkutan,” katanya. 

Penyelidik menekankan, isotop cesium tidak membahayakan kesihatan umum terutama ia membawa kadar radiasi jauh lebih rendah berbanding potassium-40, unsur isotop semula jadi yang ditemui dalam semua spesies ikan. 

Gempa magnitud 9 menyebabkan tsunami pada 11 Mac 2011 membunuh beribu-ribu penduduk dan melumpuhkan sistem penyejukan loji Fukushima. – AFP

No comments:

Post a Comment