Pages

Wednesday, May 30, 2012

Bendera Israel dikibar dalam al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Tentera Israel sengaja menimbulkan kemarahan penduduk Palestin dan umat Islam semalam apabila bertindak mengibar bendera kebangsaan negara Zionis itu dalam masjid al-Aqsa di timur Baitulmaqdis. 

Provokasi terbaru askar Yahudi itu didedahkan oleh organisasi yang memantau kawasan itu, Yayasan Wakaf Islam. Agensi berita Barat, bagaimanapun, melaporkan tindakan askar Israel berlaku di luar masjid berkenaan.
“Lebih daripada 180 anggota tentera unit khas Israel hari ini mengibarkan bendera besar Israel bertentangan dengan Masjid Kubah Emas yang juga satu provokasi besar,” kata Sheikh Azzam al-Khatib yang dipetik agensi berita Agence France Presse (AFP). Agensi berita Palestin pula melaporkan, anggota tentera Israel itu mengibarkan bendera yang panjangnya tiga meter sebelum mengambil gambar dalam masjidil Aqsa.

Sheikh Azzam berkata, seorang pengawal masjid itu menyuruh askar Yahudi menurunkan bendera negara mereka dan keluar dari situ tetapi mereka enggan dan sebaliknya memarahinya. 

Ini kali pertama askar Israel bertindak mengibarkan benderanya dalam masjid al-Aqsa sejak menawan Baitulmaqdis lebih enam dekad lalu. 

Kawasan bersiar-siar yang luas merangkumi Masjid al Aqsa yang bersebelahan masjid Kubah Emas di Kota Lama, Kota Suci ketiga umat Islam, selepas Makkah dan Madinah di Arab Saudi. 
Ia turut menjadi kota suci bagi Yahudi yang merujuknya sebagai ‘Temple Mount’ atau Haram al-Sharif bagi penduduk Palestin, atas dakwaan ia terletak di Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh tentera Rome pada 70 Selepas Masehi. 

Sheikh Azzam memberitahu, tentera Yahudi memasuki al-Aqsa ketika melakukan lawatan di situ atas tujuan bersiar-siar yang dilulus dan dianjurkan polis Israel. 

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada polis Israel dan pihak berkuasa Jordan. Jordan yang mempunyai perjanjian perdamaian dengan Israel pada 1994, adalah penjaga Kota Suci Muslim di Baitulmaqdis. 

Jurucakap polis, Luba Samri mengesahkan kejadian itu tetapi berkata ia hanya membabitkan bendera kecil dan pegawai kanan di tempat kejadian segera campur tangan untuk mengusir tentera dari kawasan itu. 

Beliau juga memberitahu, anggota tentera berkenaan akan berdepan dengan tindakan disiplin. Israel menakluk di timur Baitulmaqdis ketika Perang Enam Hari 1967 sebelum mengisytihar wilayahnya, langkah yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa. 

Bagi warga Israel, Baitulmaqdis adalah ibu negara mereka tetapi rakyat Palestin mendakwa bahagian timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota masa depan negara Palestin. – AFP/Agensi 

No comments:

Post a Comment