Pages

Tuesday, May 8, 2012

Dikenakan renjatan pada alat kelamin

Berita Harian Online | Dikenakan renjatan pada alat kelamin:
ABBAS (kiri) memberi keterangan di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.
ABBAS (kiri) memberi keterangan di Tribunal
Jenayah Perang Kuala Lumpur, semalam.

Jurutera beri keterangan di Tribunal Jenayah Perang 

KUALA LUMPUR: Jurutera elektrik dari Fallujah, Abbas Abid, 48, pernah memasang impian mempunyai 15 anak, namun hasrat itu berkecai selepas menjadi tahanan perang Iraq yang didalangi Amerika Syarikat (AS) sekali gus tidak mampu memberikan anak kepada isterinya.


Semalam, beliau memberanikan diri sebagai saksi memberi keterangan di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur, yang membicarakan tuduhan jenayah penderaan dan perang terhadap bekas Presiden AS, George W Bush dan tujuh sekutunya.
Abbas yang memberi keterangan dalam kandang saksi dengan melindungi wajahnya atas tujuan keselamatan, memberitahu tribunal beliau ditahan pada 28 Ogos 2005 apabila sekumpulan Tentera AS dan National Guard Iraq menyerbu rumah abangnya, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Briged Al Muthanna. 

“Di situ, mereka pukul saya dan tanya siapa pengganas di kawasan itu. Saya beritahu mereka, saya tidak tahu tetapi mereka tidak percaya dan terus memukul malah mengenakan renjatan elektrik kepada saya,” katanya sebelum Ketua Pendakwa, Prof Gurdial Singh Nijar meminta Abbas menunjukkan bagaimana renjatan itu dilakukan. 

Sambil bangun berdiri berhadapan lima hakim tribunal yang diketuai bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus, Abbas menjelaskan bagaimana renjatan elektrik itu dilakukan menggunakan dua rod disambung kepada kabel berarus elektrik yang diletakkan pada dua-dua tangannya yang digari ke belakang. 

“Kamu akan bertukar seperti penari, seperti tiada tindak balas, deria terhenti dan semuanya bergetar, ” kata Abbas menerusi penterjemah, Ahmed Madha Hiawe. 
Abbas yang juga bekas ketua jurutera di Kementerian Sains dan Teknologi di Baghdad ketika era pemerintahan Presiden Saddam Hussein berkata, selepas ditahan selama empat minggu beliau dipindahkan ke penjara rahsia Al Jadiria, Baghdad. 

Saksi itu memberitahu tribunal bagaimana beliau dikenakan renjatan elektrik di bahagian alat sulit, dipaksa minum sejenis minuman yang menyebabkan mahu kencing tetapi alat sulitnya diikat menggunakan gelang getah (supaya tahanan tidak dapat kencing), digantung ke dinding di mana benda berat turut digantung kepada alat sulitnya dan kuku tangannya dicabut menggunakan pemotong dawai. 

“Saya pernah mengimpikan untuk mempunyai 15 anak dan kami merancang mempunyai anak setiap dua tahun. Semuanya berjalan lancar sehinggalah saya ditangkap. 

“Selepas dibebaskan semua itu hilang, malah isteri saya turut kehilangan dua anak kembar dikandungnya ketika saya ditahan. Semua impian itu hancur remuk, tiada lagi anak,” kata bapa kepada lima anak itu sambil menambah tahanan juga hanya diberikan botol dan plastik yang digunakan untuk mengisi makanan dan air serta najis sebelum digunakan kembali. 

Peguam pendakwa yang juga pakar undang-undang dari AS, Prof Francis Boyle memberitahu tribunal negara kuasa besar itu sebagai occupying force pada ketika itu bertanggungjawab untuk campur tangan dan menghalang penderaan dan jenayah perang ke atas mangsa menerusi peruntukan konvensyen dan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949. 

Perbicaraan itu turut menyaksikan bekas tahanan Penjara Teluk Guantanamo yang juga warga Britain, Moazzam Begg memberi keterangan melalui akuan bersumpah. 

Bagi perbicaraan kali ini, Bush dituduh bersama bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor undang-undang, John Yoo, melakukan jenayah penderaan dan perang. 

Pembelaan diketuai peguam Jason Kay Kit Leon. Perbicaraan bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment