Pages

Tuesday, May 8, 2012

Bayi selamat kemalangan

Bayi selamat kemalangan - Pahang - Sinar Harian:

Bayi selamat kemalangan
Seorang anggota polis memeriksa kereta mangsa yang remuk selepas dibawa ke Balai Trafik Kuantan, semalam.
KUANTAN - Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke rumah mereka di Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan di Kertih, Terengganu berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka terbunuh selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 205.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang dekat sini, petang kelmarin.
Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu, pengatur cara komputer, Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31 dan isterinya, Siti Rohani Abdul Halim, 26 yang bekerja di sebuah bank di Shah Alam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Lebih memilukan, anak sulung pasangan itu, Ahmad Uzair, 6 bulan mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dari kereta setelah terlepas dari pangkuan ibunya sebelum jatuh di permukaan jalan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, tiga sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kertih menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Mohd Hakimi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan dan melanggar pengadang di tengah jalan lalu tercampak ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta dipandu, Kow Hong Seng, 31, dari Lorong Seri Kuantan, di sini, datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan cuba mengelak kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu turut terbabas melanggar besi pengadang di tengah laluan,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.
Mohd Jasmani berkata, bagaimanapun pemandu itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba ke lokasi selepas dihubungi.
“Anak mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan oleh saudara mara yang tiba di tempat kejadian setelah menyedari kemalangan menimpa mangsa itu,” katanya.
Menurutnya, mayat pasangan itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.
“Polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa pasangan itu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment