Pages

Thursday, April 12, 2012

Misteri kambing hilang terjawab

Misteri kambing hilang terjawab
DIOH - Misteri kehilangan beberapa ekor kambing Boer milik seorang penduduk di sini, terjawab apabila dia menjumpai seekor ular sawa sepanjang 2.1 meter yang kekenyangan dipercayai menelan anak kambingnya di dalam kandang di Kampung Dioh Besar di sini, petang kelmarin.

Mohamad Zon Zakaria, 57, berkata, sebelum ini, ternakan kambingnya sering hilang, di mana dalam tempoh dua bulan, enam ekor kambing akan hilang berkemungkinan ditelan reptilia tersebut.

Menurutnya, kehadiran ular sawa itu disedari ketika dia datang ke kandang kambing untuk melepaskan ternakannya meragut di kawasan berhampiran.

“Setiap hari, pada jam 2 petang saya akan melepaskan 48 ekor kambing yang diusahakan sejak empat tahun lalu dan ketika itu anak kambing yang diletakkan berasingan senyap kerana kebiasaannya ternakan ini akan bising bila saya datang.

“Selepas itu, saya mula rasa bimbang dan hairan kenapa anak kambing tidak bising seperti biasa. Bila saya dekati kandang, saya terkejut apabila ternampak seekor ular sawa yang kekenyangan,” katanya.

Mohamad berkata, kira-kira jam 2.32 petang, dia menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Pilah untuk membantu menangkap ular sawa tersebut.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah, Hamdan Hashim berkata, sebaik sahaja tiba di kandang kambing tersebut, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menangkap ular sawa itu yang sudah kekenyangan.

“Ular sawa ini ditangkap ketika berada di dalam kandang kambing dan ia agak agresif kerana rasa diancam.

“Meskipun sudah kekenyangan selepas menelan anak kambing tetapi masih agresif dan kami berjaya menangkapnya dalam masa 10 minit,” katanya.

Katanya, ular tersebut dipercayai menjadikan kawasan kampung itu sebagai habitatnya kerana terdapat banyak sumber makanan di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment