Pages

Sunday, April 22, 2012

Isteri cari lelaki muda selepas suami muflis

myMetroIsteri cari lelaki muda selepas suami muflis:

DISEBABKAN tuntutan tugas, Amran terpaksa hidup bersendirian di Johor Bahru dan berjauhan dengan isteri, Ena yang bertugas sebagai pegawai perhubungan awam sebuah syarikat di ibu kota.
Begitupun, Amran (bukan nama sebenar) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga yang dibina sejak 18 tahun lalu. Setiap Sabtu dan Ahad, dia cuba pulang ke ibu kota untuk bertemu Ena (bukan nama sebenar).

Bagaimanapun, bergelar suami hujung minggu dan perpisahan sementara itu menjadi punca keruntuhan rumah tangganya yang kini retak menunggu belah.
Amran tidak menafikan sebelum itu hubungan dengan isteri bermasalah gara-gara dia diisytiharkan muflis apabila syarikat miliknya terpaksa menghentikan operasi dan menanggung hutang bank.

Ini berikutan perniagaan dijalankan bersama abang kandung dan menggunakan namanya sebagai peminjam tidak mampu menanggung beban hutang lebih RM600,000.

Sebaik diisytiharkan muflis, dia terpaksa memulakan hidup baru dengan serba kepayahan. Ini kerana undang-undang memperuntukkan orang yang diisytihar muflis hanya layak ‘memegang wang RM10’ sehari, tidak boleh memiliki kad bank dan banyak halangan lain.
Buat permulaan, dia cuba mencari kerja lain tetapi banyak syarikat tidak mahu menerimanya dengan memberi pelbagai alasan.

Sebenarnya, Amran memiliki ijazah dalam bidang perniagaan dari universiti luar negara, namun ketika memohon pekerjaan, dia hanya menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya senang ditawarkan kerja.
Akhirnya permohonan menjadi pemandu peribadi kepada seorang usahawan diterima. Amran menunjukkan dedikasinya yang tidak berbelah bahagi.

Walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga beberapa hari dan minggu kerana mengikut majikan yang sering memantau kilang di Johor Bahru, Amran menghubungi isteri dan anak hampir setiap hari.

Pada mulanya Ena tidak merungut, tetapi lama-kelamaan dia seolah-olah tidak suka kerjaya Amran dengan alasan penat menguruskan tiga anak sendirian kerana suami tiada di sisi.

Amran tetap meminta isteri memahami keadaan dirinya kerana bukan senang orang yang diisytiharkan muflis mendapatkan pekerjaan, sedangkan dulu dia memiliki segala-galanya — harta, banglo dan kereta mewah.

Semakin lama dia merasakan ada sesuatu disembunyikan isteri, apatah lagi Ena yang bekerja di syarikat konglomerat terkenal dinaikkan pangkat selepas hanya enam bulan bekerja.

“Seorang teman rapat kemudian memberitahu, dia kerap nampak isteri saya keluar dengan lelaki lain. Saya menyangkal tuduhannya kerana tidak mungkin isteri bersikap begitu.

“Mungkin rakan saya sengaja mereka-reka cerita kerana cemburu dengan kebahagiaan kami, tetapi dakwaannya mula mengganggu fikiran.

“Ini membuatkan saya tertekan kerana jauh di sudut hati, saya mula terfikir yang bukan-bukan. Tambahan pula, layanan isteri terhadap saya makin hambar,” katanya.

Ini menyebabkan dia mengambil keputusan menyiasat kelakuan isterinya kerana enggan mendengar cerita tanpa usul periksa.

Amran berkata, dia membuat perancangan sendiri apabila memberitahu mahu pulang ke Johor Bahru tetapi sebenarnya mengambil cuti kerana hendak mengintip perbuatan isteri.

Dia juga mengupah seorang pengawal di tempat kerja Ena untuk mengintip kegiatan hariannya.

“Saya tahu tugas isteri sebagai pegawai perhubungan awam sering menemukannya dengan pelanggan daripada pelbagai syarikat dan individu, namun daripada cerita didengar, dia menjalin hubungan dengan rakan sekerja, menyebabkan rasa ingin tahu saya memuncak,” katanya.

Amran mengaku pernah ternampak kelibat isterinya dengan lelaki yang jauh lebih muda bergandingan ke restoran mewah dalam keadaan sungguh mesra dan sering berdua-duaan di hotel.

Semua cerita itu menghantui dirinya hinggalah satu hari dia nekad menceroboh dan memasuki pejabat isteri yang kebetulan ketika itu berbual mesra dengan seorang lelaki.

Ketika itu berlaku pertengkaran hebat membabitkan mereka bertiga hingga isterinya secara terang-terangan mengakui rasa cinta terhadap Amran sudah lama pudar lalu meminta cerai sambil disaksikan rakan sekerja.

“Isteri juga mengaku hubungannya dengan lelaki bujang itu sudah intim dan meminta dilepaskan kerana tidak mahu lagi hidup bersama saya. Saat itu, hati saya hancur luluh dan sungguh tertekan serta terbayang anak kami.” “Walaupun berkali-kali memujuk hinggakan saya sanggup memaafkan kesilapannya, isteri tetap berkeras mahu bercerai.” “Sikap lelaki itu yang langsung tidak mengakui kesalahannya membuatkan saya naik angin lalu bertanya apakah dia benar-benar mencintai isteri saya. Dia dengan selamba mengakui mencintai Ena.

“Bayangkan betapa hinanya saya saat itu. Saya kemudian ke pejabat agama untuk mendapatkan kaunseling sebelum memfailkan perceraian sesudah berfikir panjang, tak guna terus menyayangi orang yang tidak menyintai kita lagi.

“Hampir setahun berulang-alik ke mahkamah syariah, akhirnya kami disahkan bercerai dan bekas isteri kemudian berkahwin dengan lelaki itu dan anak diletakkan di bawah jagaannya.

“Tak tahan dengan pengalaman pahit itu, saya membawa diri ke luar negara mengikut bapa saudara saya menetap di sana selama lima tahun,” katanya.

Kini Amran kembali ke tanah air dan membuka perniagaan kecil, tetapi tidak mungkin berkahwin lagi kerana serik dengan apa yang pernah dilaluinya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment