Pages

Thursday, March 15, 2012

‘Tunjuk bukti Tehran bina bom atom’

pix_gal0

WASHINGTON: Majoriti rakyat Amerika Syarikat menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran jika ada bukti Tehran sedang membina senjata nuklear, meskipun langkah itu menyebabkan harga petrol melambung. 

Tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan, 56 peratus rakyat Amerika menyokong negara mereka melancarkan tindakan ketenteraan jika ada bukti menunjukkan kewujudan program senjata nuklear Iran, manakala 39 peratus menentang serangan ketenteraan.
Ditanya sama ada mereka menyokong tindakan ketenteraan jika usaha itu membawa kepada kenaikan harga petrol, 53 peratus rakyat Amerika menyatakan sokongan sementara 42 peratus sebaliknya.
Tinjauan turut mendapati 62 peratus rakyat Amerika akan menyokong Israel melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran atas alasan sama. 

Presiden Amerika, Barack Obama, berkata Washington tidak menolak mengambil apa jua langkah termasuk tindakan ketenteraan terhadap Iran tetapi beliau meminta Israel menunggu lebih lama supaya sekatan ekonomi terhadap Iran memberi kesan. 

Iran sejak sekian lama berkata program nuklearnya adalah untuk keamanan. Harga petrol yang meningkat berikutan ketegangan di Asia Barat, meletakkan tekanan terhadap Obama yang akan bertanding supaya dipilih semula hujung tahun ini. 

Presiden yang juga pemimpin Demokrat dikritik pemimpin Republikan atas dakwaan terlalu berlembut dengan Iran dan tidak cukup kuat menyokong Israel. 
Pungutan suara menunjukkan penyokong Republikan bersedia menyokong tindakan ketenteraan oleh Amerika atau Israel berbanding Demokrat. 

Sebanyak 70 peratus penyokong Republikan menyokong tindakan Amerika, manakala 46 peratus Demokrat dan 51 peratus golongan berkecuali memberi pandangan sama. 

Pecahan itu sama apabila responden ditanya mengenai faktor kenaikan petrol atau sokongan mereka terhadap tindakan ketenteraan Israel. 

“Apa yang kita lihat ini ialah penyokong Republikan lebih beria-ria menyokong tindakan ketenteraan berbanding Demokrat atau pihak berkecuali. Republikan lebih mengutamakan keselamatan,” kata pegawai Ipsos, Cliff Young. 

Potensi konflik dengan Iran membayangi pilihan raya Amerika, yang dijangka dikuasai kebimbangan pengundi berhubung ekonomi tempatan. 

Obama menyifatkan calon presiden Republikan awal bulan ini sebagai ‘memalu gendang perang’ tanpa menimbang akibatnya. 

Bekas Senator Pennsylvania, Rick Santorum, salah seorang calon presiden Republikan memberitahu pelobi pro Israel AIPAC: “Jika Iran tidak mahu buang prasarana nuklearnya, kita sendiri yang akan menutupnya.” 

Walaupun rakyat Amerika menunjukkan tanda toleransi terhadap kenaikan harga petrol dalam pungutan suara itu, peluang Obama untuk kembali dipilih diancam dengan kenaikan harga bahan api itu. 

Tinjauan itu dijalankan dari 8 hingga 11 Mac di kalangan 1,084 responden dewasa seluruh Amerika.– Reuters
Berita Harian Online | ‘Tunjuk bukti Tehran bina bom atom’

No comments:

Post a Comment