Pages

Friday, March 16, 2012

ADO rentung dalam MPV

myMetro | ADO rentung dalam MPV:KOTA MARUDU: “Saya terdengar empat letupan sebelum melihat kenderaan itu terbakar,” kata Hisyamsul Hamza, 35, saksi kejadian yang mengorbankan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kota Marudu, Hilde Primus Peki @ Hilde Primus Kayau selepas Proton Exora miliknya terbakar di Jalan Ulu Tandek, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Hilde, 43, ditemui mati dalam keadaan rentung selepas anggota bomba memadamkan kebakaran kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan. Hisyamsul berkata, ketika kejadian dia dan isteri sedang memasang khemah untuk berniaga di Tamu Tandek, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik terdengar letupan itu dia bersama beberapa peniaga lain bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah MPV terbakar.
“Kami segera menghubungi bomba dan cuba memadamkan api, namun tidak berani menghampiri kenderaan yang marak terbakar itu kerana bimbang meletup,” katanya ketika dihubungi.

Hisyamul berkata, dia menyangka tiada mangsa di dalam kenderaan itu kerana keadaan agak gelap selain bahang panas menyukarkan mereka menghampiri MPV terbabit.

“Saya ingat tiada orang di dalam kenderaan itu tetapi terkejut apabila bomba menemui satu mayat rentung sebaik api dipadamkan,” katanya yang juga saksi pertama tiba di tempat kejadian.
Ketua Operasi Menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Marudu, Pegawai Bomba Larsson Majaya, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.09 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikerah ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba 15 minit kemudian, kami mendapati keseluruhan kenderaan sudah terbakar. Anggota bomba kemudian menemui satu mayat rentung dalam kenderaan itu,” katanya.
Larsson berkata, tiada identiti diri atau dokumen ditemui berikutan keadaan mayat yang rentung.

“Berikutan penemuan mayat itu, bomba menghubungi polis bagi melakukan siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba masih melakukan siasatan berhubung punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, berkata kejadian itu dipercayai akibat masalah pendawaian elektrik.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment