Pages

Saturday, February 18, 2012

Tukang tilik wanita mati ditetak


ALOR SETAR 17 Feb. - Seorang tukang tilik wanita maut akibat ditetak dengan parang oleh bekas suaminya manakala dua anak perempuan mereka parah dalam kejadian amuk di Taman Saga, Alor Mengkudu di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.17 tengah malam itu, Ung Siew Lin, 46, mati dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat cedera parah di kepala, tangan dan perut.
Anak angkat mangsa, Chn'g Sheve Mei, 26, cedera di kepala serta patah tangan kanan manakala anak kandungnya, Wong Chiew Ying, 26, patah tangan kiri.
Dua adik perempuan Chiew Ying, Wong Chiew Shen, 22, dan Wong Shene Mei, 21, sempat menyelamatkan diri serta meminta pertolongan orang ramai.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, suspek yang berusia 54 tahun tidak bekerja dan telah berpisah dengan mangsa tiga tahun lalu.
"Suspek datang ke rumah mangsa dan memanggil bekas isteri dan anaknya supaya keluar dari rumah namun semua mereka tidak mempedulikannya.
"Berang dengan keengganan ahli keluarganya itu, suspek dikatakan bertindak membakar kereta Perodua MyVi milik bekas isterinya itu yang diletakkan di depan rumah sebelum masuk ke dalam rumah menerusi pintu belakang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.
Baharom memberitahu, berlaku pertengkaran antara suspek dengan bekas isteri dan anak-anaknya.
"Semasa bertengkar, dua anak mangsa lari meminta pertolongan manakala mangsa serta dua lagi anaknya lari ke tempat letak kereta depan rumah mereka.
"Di situ, suspek dikatakan menetak isterinya. Anggota bomba dan penyelamat yang sedang memadamkan kebakaran kereta MyVi kemudian segera menyembur air ke arah suspek," ujarnya.
Tambahnya, suspek yang cuba melarikan diri selepas menetak isteri dan mencederakan anaknya diberkas oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.
"Suspek diserahkan kepada pihak polis dan dia yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut. Dua anak suspek yang cedera kini dirawat di hospital yang sama.
"Motif kes dipercayai berpunca daripada masalah keluarga kerana suspek dikatakan sering datang ke rumah mangsa sejak berpisah dengan mangsa," katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung turut melawat dua mangsa yang dirawat di HSB.

No comments:

Post a Comment