Skuad bom Thailand memeriksa tempat kejadian letupan di tengah Bangkok pada 14 Februari lalu. Tiga kejadian letupan dipercayai dilakukan oleh suspek warga Iran. - AFP |
BANGKOK 17 Feb. - Tiga suspek rakyat Iran yang terbabit dalam komplot serangan bom yang menjadikan diplomat Israel di Bangkok sebagai sasaran, pergi bercuti di Pattaya beberapa hari sebelum kejadian itu.
Menurut seorang pegawai Imigresen Pattaya yang enggan dikenali, ketiga-tiga suspek itu tinggal di hotel berasingan ketika berada di pulau pelancongan itu.
''Polis berjaya menjejaki seorang wanita Thailand dikenali sebagai Nancy yang mengiringi seorang daripada lelaki Iran berkenaan, Mohamad Khazaei ketika dia tinggal di sini.
''Bukti paling penting kami temui adalah gambar dalam telefon bimbit Nancy yang diambil pada malam 11 Februari lalu, membuktikan ketiga-tiga suspek saling mengenali,'' katanya.
Akhbar Bangkok Post melaporkan, wanita Thai itu juga berada dalam bilik hotel berkenaan tetapi dia tidak melihat sebarang kesangsian kecuali ketika dihalang mendekati almari dalam bilik tersebut.
Akhbar bahasa Inggeris itu juga menyiarkan sekeping gambar yang dikatakan menunjukkan ketiga-tiga suspek berada di bar sebuah hotel dengan dua wanita Thai dengan tajuk 'Suspek berparti di Pattaya''.
Dalam pada itu, polis Thai hari ini berkata, pihaknya sedang menjejaki dua lagi suspek komplot tersebut.
Pesuruhjaya Polis Bangkok, Leftenan Jeneral Winai Thongson berkata, seorang daripada suspek baru itu mungkin memberi latihan tentang penggunaan bahan letupan kepada ketiga-tiga lelaki Iran yang ditahan tersebut selepas komplot itu diketahui.
Winai berkata, lelaki tersebut dilihat meninggalkan rumah yang didiami oleh rakyat Iran dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Rumah tersebut musnah selepas bahan letupan meletup dengan tidak sengaja pada hari sama.
''Kamera tersebut turut mengambil gambar tiga lelaki Iran yang ditahan itu. Seorang suspek baru merupakan seorang lelaki berusia 52 tahun dan berketurunan Asia Barat tetapi tidak diketahui kewarganegaraannya,'' ujarnya.
Beliau berkata, polis juga menjejaki suspek yang pernah menyewa rumah tersebut dengan seorang wanita Iran yang kini dipercayai sudah pulang ke Teheran. - AGENSI
No comments:
Post a Comment