Pages

Saturday, February 4, 2012

NYPD syak Syiah pengganas




2012/02/04

Polis tingkat pemantauan kesan hubungan Amerika, Iran tegang

NEW YORK: Jabatan Polis New York (NYPD) menyarankan anggotanya meningkatkan pemantauan terhadap beribu-ribu penduduk Syiah dan masjid milik mazhab itu, semata-mata kerana agama mereka bagi mencari petanda wujudnya pengganas dari Iran.
Ia terkandung dalam laporan sulit, yang disediakan oleh Pesuruhjaya Polis Raymond Kelly ketika ketegangan meningkat di antara Amerika Syarikat dan Iran mengenai isu nuklear Tehran.
Ketegangan juga dipertingkatkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta yang percaya Israel akan menyerang Iran seawal April ini bagi menghalang Tehran daripada memiliki bom nuklear.

“Panetta percaya ada kemungkinan kuat bahawa Israel akan menyerang Iran sama ada April, Mei atau Jun, sebelum Tehran ‘kebal’ apabila memiliki bom nuklear.

“Israel bimbang, Iran tidak lama lagi akan mempunyai bekalan uranium diperkayakan mencukupi untuk membuat senjata, dan hanya Amerika dapat hentikan mereka secara ketenteraan,” kata penulis akhbar Washington Post, David Ignatius.

Jadi, pemantauan rahsia itu dilakukan terhadap warga Syiah dan masjid dari kawasan Connecticut hingga Philadelphia meskipun sasaran tidak pernah ada rekod melakukan keganasan.
Malah, anggota polis berpakaian preman melakukan risikan di masjid, kafe dan kawasan penduduk Islam Syiah selepas serangan 11 September 2001 (9/11) dengan bantuan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang disifatkan kerjasama luar biasa.

Laporan perisikan bertarikh Mei 2006 itu bertajuk ‘Konflik AS-Iran: Ancaman terhadap New York’ dan mencadangkan operasi mengumpul maklumat lebih luas di masjid Syiah.

Penduduk Syiah di New York dianggarkan seramai 35,000 dengan 8,500 keturunan Iran. Malah, dokumen itu juga menggesa pemantauan dilakukan terhadap masyarakat Palestin atas kemungkinan adanya pengganas di kalangan mereka.

“Meskipun masyarakat Palestin bukan pengikut Syiah, mereka perlu diperiksa sama ada hadir anggota Hamas dan penyokongnya selain hubungan pergerakan itu dengan Iran,” kata penganalisis polis dalam laporan itu.

Dokumen itu mencetuskan semula perbahasan mengenai sikap NYPD terhadap orang Islam. Aktivis Muslim mendesak Kelly meletak jawatan baru-baru ini kerana berkata dalam satu video bahawa orang Islam mahu menyusup masuk dan menguasai Amerika.

NYPD menayangkan video itu kepada 1,500 anggotanya yang menjalani latihan. Ia bercanggah dengan peraturan NYPD sendiri termasuk undang-undang perbandaran untuk melakukan siasatan atas sebab agama.

Khamis lalu, Kelly menyifatkan dokumen itu sebagai ‘pelan kecemasan’ meskipun ia tidak disebut dalam dokumen berkenaan selain tidak menyebut apakah perkara yang boleh menyebabkan ia dilaksanakan. – AP/Agensi 

No comments:

Post a Comment