Pages

Tuesday, February 14, 2012

Iran sekat Internet

TEHERAN: Akses untuk ke laman dan kemudahan Internet yang paling banyak digunakan berdepan dengan sekatan di Iran ketika suasana politik negara itu dalam keadaan tegang.

Ia menyekat saluran komunikasi untuk perdagangan tempatan, pelanggan bank dan media asing.


Cubaan untuk melayari Facebook, Gmail, Yahoo dan laman akhbar luar negara hanya berakhir dengan kemunculan laman berbahasa Farsi dengan kata-kata bermaksud: ‘Akses ke laman ini adalah pencabulan terhadap undang-undang jenayah komputer’ atau sambungan terlalu lembab hingga ke peringkat hampir tidak mungkin dapat disambung.

Sekatan itu adalah tambahan kepada penapisan online yang sudah sekian lama dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa republik Islam itu.


Sehingga kini, pengguna canggih Internet berjaya menangani sekatan itu dengan menggunakan perisian yang dikenali sebagai Virtual Private Network (VPN) yang penjualannya diharamkan di Iran.


Namun, sejak minggu lalu, kebanyakan VPN gagal menawarkan penyelesaian. Pembekal perkhidmatan Internet (ISP) yang di bawah kawalan kerajaan, dilihat menyasarkan laman sosal dan komunikasi paling popular.


Pihak berkuasa tidak memberi sebarang alasan secara umum mengenai sekatan bersistematik itu dan pada masa sama penapisan tambahan itu dilakukan ketika waktu paling sensitif dari segi politik bagi mereka.


Iran minggu lalu meraikan ulang tahun ke-13 revolusi Islamnya dan akan mengadakan pilihan raya Parlimen dalam masa tidak sampai tiga minggu.

Kumpulan pembangkang, Pergerakan Hijau akan mengadakan tunjuk perasaan berhubung sekatan Internet itu hari ini, tepat setahun selepas tunjuk perasaan yang menyebabkan tindakan dan penangkapan besar-besaran oleh pihak kerajaan.


Selain itu, kerajaan Iran berkata beberapa bulan lalu, ia bersiap sedia melancarkan ‘Internet kebangsaan’ yang tidak akan mengandungi hampir semua laman bukan Iran dan bukan Islam.


Bagaimanapun, seorang anggota jawatankuasa penapisan Internet Iran, Mohammad Sadegh Afrasiabi, menafikan rancangan itu ada kaitan dengan masalah Internet sekarang.


“Internet kebangsaan itu akan beroperasi dalam masa empat tahun lagi dan sekatan e-mel ketika ini bukan sebahagian daripadanya,” kata Mohammad Sadegh. - Reuters

myMetro | Iran sekat Internet:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment