Pages

Saturday, January 21, 2012

Tiada bukti kukuh Mubarak bersubahat


Hosni Mubarak

KAHERAH - Peguam bela kepada bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, kelmarin mempertikaikan kebe­na­­­ran dakwaan pihak pendakwa raya bahawa anak guamnya mengarahkan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan yang dilihat sebagai tidak berasas sebaliknya tuduhan itu dilemparkan akibat tekanan dari orang ramai.

“Kes terhadap Mubarak telah difailkan pada 24 Mei lalu, dan sehingga kini pihak pendakwa raya masih tidak menemui bukti kukuh bahawa bekas presiden tersebut bersubahat untuk mengarahkan polis menembak mati kira-kira 850 penunjuk perasaan,” menurut Farid El-Deeb.

Dalam perbicaraan pada 3 Januari lalu, peguam negara, Mostafa Suleiman menyifatkan Mubarak sebagai pemimpin yang kejam dan pada masa ini pasukan pendakwa berusaha untuk membuktikan bekas pemimpin kuku besi tersebut melakukan jenayah terancang itu.

“Mubarak seharusnya dikenakan hukuman berat atas penyalahgunaan kuasa dan kekejamannya terhadap rakyat Mesir,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Dr Yasser Abdel Kader menyatakan bekas presiden tersebut tidak akan menjalani rawatan kemoterapi selepas didakwa oleh peguamnya bahawa dia sedang menderita barah.

“Kami masih menjalankan ujian susulan untuk memastikan dia tidak menghidap penyakit berbahaya itu. Hasil pemeriksaan awal mendapati Mubarak hanya mengalami masalah lemah otot akibat pergerakan terhad,” jelasnya.

Kenyataan ringkas tersebut dikeluarkan selepas beberapa pihak mula mempersoalkan tahap kesihatan Mubarak yang terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter dan diusung untuk masuk ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment