Pages

Saturday, January 21, 2012

Beria mahu pindah


Beria mahu pindah

KUALA TERENGGANU - “Rizal beria-ria paksa saya jual pemain cakera padat (VCD) milik saya kepada dia sebaik saja dia dapat tau Faris dipilih jadi warden, sebab dia nak bawa VCD itu sekali bila tinggal bersama Faris nanti.”

Demikian cerita, Mohd Farid Mat Isa, 27, ketika ditanya mengenai perbualan terakhir bersama Mohd Rizal Ibrahim, 30, yang maut bersama seorang lagi rakan mereka Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mohamad berhampiran Taman Semarak di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, tingkah laku Rizal amat menghairankannya walaupun dia tahu kedua-dua mereka memang amat rapat sejak menjadi tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini pada 2009 yang lalu.

“Rizal memang periang manakala Faris pula agak pendiam, tetapi Rizal tidak pernah begitu gembira dan bersungguh-sungguh nak ikut Faris pindah seolah-olah mereka berdua memang tidak boleh berpisah.
“Ramai yang tak tahu kerana selain rapat dan mula bekerja pada masa yang masa, Rizal dan Faris juga berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 9 Jun yang lalu,” katanya di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Selain Rizal dan Faris, turut maut dalam kemalangan ngeri itu adalah pemandu serta penumpang Perodua Kancil, Mohd Zaini Abdul Razak, 43, dan Nor Azni Mat Jusoh, 21.

Dalam pada itu, Farid berkata, dia sepatutnya menemani dua rakan sekerjanya itu ke stesen bas bagi mendapatkan tiket pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina pada jam 8 malam kelmarin.

“Tapi selepas `punch card’, Rizal dan Faris keluar tanpa beritahu saya ke mana mereka pergi. Sedar-sedar, saya terima satu panggilan mengatakan mereka terlibat dalam kemalangan.

Sementara itu, Pengarah ILP Kuala Terengganu, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya akan me­nguruskan segala perbelanjaan bagi uru­san pengebumian kedua-dua kakitangannya itu.
“Kali terakhir saya jumpa dia (Faris) Selasa lepas untuk memaklum dia bakal menjadi warden di sini dan pihak ILP akan menyediakan kemuda­han kediaman untuknya.

“Dia (Faris) juga ada memaklumkan akan mengajak Rizal untuk tinggal bersamanya dan daripada apa yang saya tahu, Faris adalah seorang pensyarah yang begitu disenangi,” katanya.

Menurutnya, Faris adalah pensyarah di dalam bidang Mekanikal Industri manakala Rizal pula mengajar mata pelajaran Paip Sanitari (pembetungan) dan mereka berdua berpotensi untuk maju lebih jauh.

Justeru, Abdul Halim berkata, kehilangan mereka berdua amat dirasai seluruh warga ILP di sini.

No comments:

Post a Comment