Pages

Tuesday, January 10, 2012

Syria: Misi pemantau diterus


KAHERAH 9 Jan. - Menteri-menteri Arab, memberi lampu hijau untuk meneruskan misi pemantau di Syria yang mendapat kritikan meluas serta menambah bilangan pemerhati ketika keganasan di negara itu semalam meragut lebih banyak nyawa.

Pertemuan jawatankuasa menteri-menteri Arab berhubung isu Syria, 'memutuskan untuk memberi pemerhati Liga Arab lebih masa bagi meneruskan misi mereka mengikut protokol', merujuk kepada tempoh sebulan misi yang dipersetujui sebelum ini.

Menteri-menteri itu turut bersetuju menambah bilangan pemerhati, selain bakal mendapatkan bantuan teknikal dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka bertemu di Kaherah semalam bagi mengkaji semula rekod pemerhati misi, di sebalik gesaan meminta blok menyerahkan peranan utama bagi menghentikan pertumpahan darah selama 10 bulan di Syria kepada PBB.

Jawatankuasa itu turut mengulangi desakan ke atas Syria supaya 'segera melaksanakan komitmennya secara menyeluruh' di bawah pelan Liga Arab, menggesa semua pihak agar 'menghentikan semua bentuk keganasan'.

Menteri-menteri itu berkata, ketua misi itu, Jeneral Mohammed Ahmed Mustafa al-Dabi akan mengemukakan satu laporan kepada Liga Arab pada 19 Januari ini berhubung pematuhan Syria terhadap pelan tersebut.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani yang mempengerusikan pertemuan itu semalam, turut mendesak Syria 'mengambil satu langkah bersejarah'.

"Kami berharap akan ada langkah-langkah tegas diambil kerajaan Syria bagi menghentikan pertumpahan darah," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Katanya, satu laporan oleh pemerhati yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut menunjukkan, pembunuhan telah berkurangan, tetapi satu pembunuhan juga disifatkan sebagai 'sangat keterlaluan'. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment