Pages

Tuesday, January 10, 2012

China nafi ceroboh perairan Filipina



Gambar pemandangan dari udara salah sebuah pulau di Kepulauan Spratly yang didakwa oleh Filipina menjadi miliknya. - AGENSI


BEIJING 9 Jan. - China hari ini menafikan kapalnya menceroboh perairan Filipina pada bulan lepas dalam insiden terbaru, yang meningkatkan ketegangan dalam pertikaian maritim di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Liu Weimin berkata, dakwaan Manila itu tidak berasas kerana China mempunyai kedaulatan yang tidak boleh dipersoalkan di kawasan tersebut.

"Semua dakwaan itu tidak berasas. Saya berharap Filipina tidak cuba membangkitkan masalah dan membuat kacau," katanya pada satu taklimat ringkas mingguan di kementeriannya, di sini hari ini.

Filipina semalam mengemukakan bantahan kepada Beijing berhubung pencerobohan itu serta menyuarakan 'kebimbangan mendalam' kepada Kedutaan China di Manila selepas tiga kapal termasuk sebuah kapal tentera laut China, dilihat berhampiran Beting Sabina di Laut China Selatan pada 11 dan 12 Disember lalu.

Komander tentera wilayah, Leftenan Jeneral Juancho Sabban berkata, sebuah kapal peronda tentera laut Filipina dan sebuah pesawat tentera utara memantau dari jauh sehingga kapal-kapal China meninggalkan perairan negara itu.

Ketiga-tiga kapal China itu dipercayai datang dari arah Terumbu Mischief di Kepulauan Spratly, sebelum memasuki perairan Filipina dalam perjalanan pulang ke China sebagai sebahagian penggantian rutin angkatan bersenjata, kata Sabban.

Setiausaha Luar Filipina, Alberto del Rosa rio berkata, pencerobohan terbaru kapal-kapal China itu mencabul perjanjian 2002 antara Beijing dengan ASEAN yang melarang negara-negara yang mempunyai tuntutan terhadap Kepulauan Spratly daripada mengambil langkah agresif yang boleh mencetuskan ketegangan atau konfrontasi.

China, Filipina, Brunei, Malaysia, Vietnam dan Taiwan masing-masing menuntut seluruh atau sebahagian wilayah di Kepulauan Spratly, yang dipercayai memiliki sumber asli minyak dan gas di Laut China Selatan. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment