Pages

Friday, January 13, 2012

Demonstrasi sempena genap 10 tahun kem Guantanamo


WASHINGTON 12 Jan. - Aktivis hak asasi manusia berpakaian jingga dan berselubung kepala berwarna hitam seperti tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba berarak di hadapan bangunan White House, semalam dalam protes menandakan hari ulang tahun ke-10 pembukaan kem tahanan tentera Amerika Syarikat (AS) itu.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan tanpa mempedulikan hujan lebat mengutuk penjara tersebut sebagai mencemari nilai-nilai hidup Amerika sambil membawa gambar-gambar tahanan dan sepanduk.

"Tutup Gitmo" dan "Siasat serta Dakwa Kes Penyeksaan AS", menurut sepanduk itu.

Washington menubuhkan kem tahanan di pangkalannya di Cuba itu selepas tentera AS menyerang Afghanistan berikutan insiden serangan militan pada 11 September 2001.

Kumpulan pertama seramai 20 orang tahanan tiba di Guantanamo pada 11 Januari 2002.

"Hari ini menandakan hari yang sangat memalukan, 10 tahun penahanan tanpa perbicaraan, 10 tahun penyeksaan, 10 tahun pencabulan kedaulatan undang-undang," kata penganjur protes, Frida Berrigan daripada pertubuhan hak asasi manusia, Witness Against Torture kepada beberapa ratus aktivis di Lafayette Park, di seberang jalan White House.

Profesor undang-undang City University of New York yang mewakili tahanan di Guantanamo, Ramzi Kassem berkata, tahanan memperingati hari ulang tahun itu dengan melancarkan mogok lapar selama tiga hari dan dengan tidak kembali ke bilik kurungan masing-masing.

Penunjuk perasaan itu terus berarak ke bangunan Mahkamah Agung dan berhimpun di sana sebelum bersurai.

Sejumlah 779 tahanan asing ditempatkan di Guantanamo dan sebahagian besarnya telah dibebaskan tetapi 171 orang masih ditahan.

Belum ada tahanan yang dibebaskan dalam tempoh setahun ini. - REUTERS

No comments:

Post a Comment