Pages

Wednesday, December 14, 2011

Rogol mangsa kemalangan, dipenjara 20 tahun


KUALA LUMPUR 13 Dis. - Seorang pekerja am Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihukum penjara 20 tahun dan sebatan tujuh kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah merogol seorang mangsa kemalangan, dua tahun lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid turut memerintahkan hukuman penjara Che Mohd. Sufian Che Rashid, 30, bermula hari ini setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Che Mohd. Sufian didakwa merogol wanita tersebut yang berusia 26 tahun di sebuah rumah beralamat No.17-0-1, Kelompok Nuri C, Jalan AU 25/26, Ulu Klang, Sentul di sini antara pukul 7.20 pagi dan 8.30 pagi, 20 November 2009.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan keterangan kes, sebelum kejadian berlaku, tertuduh didakwa memandu keretanya lalu melanggar wanita terbabit yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Lelaki itu kemudian membawa mangsa ke rumahnya untuk diberikan rawatan.

Apabila tiba di rumahnya, lelaki itu bertindak mengikat tangan mangsa lalu merogolnya, hingga menyebabkan wanita tersebut hampir lemas kerana mukanya tertindih di atas tilam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Amiyerra Awod memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh ekoran perbuatan yang dilakukan terhadap mangsa berdasarkan fakta kes yang dikemukakan kepada mahkamah.

Peguam bela yang mewakili Che Mohd. Sufian, Adenan Ismail pula merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah insaf dan menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, permohonan peguam bela untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi ditolak oleh Emelia Kaswati.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment